Taman bandar bakal jadi tarikan utama TRX

Taman bandar bakal jadi tarikan utama TRX

Di tengah kesibukan kota raya Kuala Lumpur, anda mungkin tidak menyangka wujudnya ruang kehijauan dan segar di tengah bandar. Lebih menakjubkan lagi, ruang penuh kehijauan dan damai ini mampu memberi ketenangan terletak di pusat ekonomi yang pesat.

Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd, Datuk Azmar Talib, berkata salah satu strategi utama dalam membina hab kewangan antarabangsa negara adalah dengan menyediakan ruang awam bertaraf dunia yang penuh kehijauan, dan mesra pejalan kaki sebagai faktor kelainan.



Ini termasuklah dengan mereka ruang plaza, laluan pejalan kaki yang teduh dan taman-taman poket yang terletak di antara bangunan-bangunan di pusat kewangan antarabangsa ini. Tarikan utama ruang awam TRX adalah taman awam seluas sepuluh ekar di atas bumbung.

Taman Bandar TRX ini yang ditempatkan di aras bumbung pusat membeli-belah The Exchange TRX akan dibuka pada penghujung tahun ini, dan mampu mengubah cara warga kota bekerja dengan mengintegrasikan ruang kerja luar dan dalam pejabat.

“Taman Bandar TRX merupakan taman awam utama pertama di Kuala Lumpur dalam tempoh lebih daripada 20 tahun. Taman ini bakal menjadi salah satu taman atas bumbung terbesar seumpamanya di rantau ini dan juga dunia. Ini adalah sumbangan kami untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Sejak dilancarkan pada tahun 2012, TRX berjaya menarik syarikat terkemuka seperti bank HSBC, Affin, Prudential, Lendlease International dari Australia dan Kumpulan Mulia dari Indonesia untuk melabur di TRX.



“Sebagai pemaju induk TRX, kami mencipta pemboleh ekonomi baharu untuk Kuala Lumpur. Kini TRX yang menggunakan poskod 55188 merupakan poskod berprestij di bandaraya Kuala Lumpur dan semakin menjadi lokasi pilihan syarikat multinasional. Ia juga sedang berkembang pesat, malah bakal menjadi penanda aras hartanah baharu ibu kota,” katanya lagi.

Ketika COVID-19 melanda seluruh dunia, Azmar berkata pihaknya turut terkesan apabila jadual pembinaan terjejas. Walau bagaimanapun kini terdapat peningkatan dalam minat untuk menjalankan pelaburan bersama TRX.

Ini terutamanya sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkasakan mandat TRX sebagai sebuah Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) serta meletakkan TRX sebagai sebuah destinasi pelaburan berkualiti tinggi dalam ucapan Bajet 2023. Ia telah berjaya melonjakkan minat pelabur terhadap TRX.



Selain daripada pusat membeli-belah The Exchange TRX, ia juga terdiri daripada beberapa menara pejabat seperti The Exchange 106, Menara Affin Bank, Menara Prudential dan Menara IQ.

TRX juga mempunyai dua projek kediaman dan sebuah hotel yang akan disiapkan tidak lama lagi.

“Selain daripada institusi kewangan tersohor serta bank digital dan syarikat teknologi kewangan lain, TRX juga menempatkan syarikat antarabangsa seperti Huawei, Accenture dan Agoda.

“Sejak beroperasi pada 2019, lebih 20,000 orang sudah mula bekerja di TRX. Dijangka 40,000 pekerja profesional akan bekerja di TRX sebaik ia siap sepenuhnya selain 12,000 penduduk dan lebih 10,000 pekerja runcit,” kata Azmar.



Jelas beliau, pusat beli-belah The Exchange TRX yang dibangunkan dengan kerjasama antara TRX City dan Lendlease International, mempunyai 2.2 juta ruang lantai kasar (GFA) untuk sektor runcit dan hab gaya hidup.

Ia dijangka bukan sahaja menjadi tarikan untuk warga kota malah bakal menjadi destinasi utama pelancong.

“The Exchange TRX dijangka mempunyai lebih 400 jenama terkemuka termasuk, Seibu dari Jepun yang akan membuka rangkaian pertamanya di Malaysia. Kami amat yakin gabungan hab gaya hidup ini dan taman di atas bumbungnya mampu menjadikan TRX pusat sosial baharu di ibu kota,” katanya.

Gabung elemen pintar



Azmar berkata, TRX dengan visi sebagai IFC turut direka untuk memenuhi pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta menyokong aspirasi kerajaan dalam meningkatkan pengangkutan awam. Contohnya, sekitar 25 hingga 30 peratus pekerja di TRX menggunakan pengangkutan awam, menikmati kemudahan stesen MRT Tun Razak Exchange yang merupakan satu-satunya stesen penukaran MRT di ibu kota.

“Bagi memastikan TRX dapat bertahan untuk jangka masa panjang, ia tampil dengan satu ekosistem di mana semua pemilik plot perlu mengambil bahagian dalam menentukan jenis, kualiti dan tahap perkhidmatan serta kos perkhidmatan yang ditawarkan,” kata Azmar.

“Pelbagai elemen pintar dan mampan turut digabungkan sebagai persediaan untuk masa hadapan.

“Perancangan digital dan keselamatan turut dititikberatkan kerana ia penting untuk perniagaan antarabangsa.”



Malah TRX turut menjalankan kajian penanda aras IFC terbaik dunia termasuk di Canary Wharf, London; Pudong, China; Marina Bay Sands, Singapura; Dubai IFC dan Wall Street,” katanya.

Azmar berkata, semua bangunan pejabat di TRX telah mendapat pengiktirafan Bangunan Emas oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI) atau Alam Sekitar dan Reka Bentuk Tenaga (LEED).

Selain itu katanya, ia turut mempunyai Pelan PraPersijilan Emas LEED Pembangunan Kejiranan Pertama di Asia Tenggara berikutan ciri-ciri loji rawatan air sisa dan kitar semula yang diwujudkan. BH

Taman bandar bakal jadi tarikan utama TRX

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Baby Shima dah jadi Mondy Tatto (Video)

La Luna ada unsur soft porn?

Bapa Mondy minta maaf

Peluk ok, cium bibir tak boleh – Fedi Nuril

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker