Peningkatan Covid-19 generasi muda

 

Peningkatan Covid-19 generasi muda. Data global menunjukkan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan golongan muda seperti bayi dan kanak-kanak meningkat.

Kes jangkitan ini amat membimbangkan kerana mereka menjadi antara golongan berisiko dijangkiti selepas warga emas.

Sekolah Perubatan Harvard mengesahkan dengan kemunculan ancaman varian baharu, risiko kanak-kanak dijangkiti adalah lebih kerap khususnya mereka di bawah 12 tahun yang belum divaksin.

Jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital turut menunjukkan peningkatan ketara selaras dengan penularan varian Delta yang semakin dominan di negara ini.

Sehingga 30 Mei, terdapat 82,341 kanak-kanak dijangkiti iaitu peningkatan 10 kali ganda berbanding 2020.

Daripada jumlah tersebut, 19,851 kes di bawah umur empat tahun manakala 8,237 kes lagi melibatkan mereka yang berumur lima hingga enam tahun.

Bagi kes kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, sebanyak 26,851 kes dicatatkan manakala yang berumur 13 hingga 17 tahun pula sejumlah 27,402 kes dilaporkan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 41 kematian direkodkan sejak Januari hingga 30 Ogos lalu dalam kalangan mereka berbanding hanya enam kematian pada 2020.

Kategori usia 13 hingga 17 tahun menyaksikan peningkatan ketara dengan 89,087 kes dan 16 kematian berbanding, 4,142 kes serta dua kematian pada 2020.

Data juga mencatatkan sejumlah 322,694 orang menjadi pesakit cilik Covid-19 sejak pandemik bermula hingga 30 Ogos 2021.

Situasi sama juga direkodkan berlaku di negeri-negeri.

Di Kelantan misalnya, sehingga 4 Ogos 2021, jumlah pesakit Covid-19 dalam kalangan bayi dan kanak- kanak berusia kurang sebulan hingga 12 tahun dilaporkan meningkat sehingga 30 peratus.

Di Sabah, pada 26 Ogos sahaja, daripada 3,487 jumlah keseluruhan kes positif Covid-19, jangkitan dalam kalangan bayi berumur kurang daripada satu tahun merekodkan 31 kes manakala 297 kes lagi adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu hingga lima tahun.

Golongan dewasa bertanggungjawab melindungi remaja, kanak-kanak dan bayi daripada dijangkiti Covid-19.

Ini kerana buat masa sekarang, mereka hanya bergantung kepada imuniti kelompok golongan dewasa serta penjagaan daripada ibu bapa masing-masing yang mengamalkan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Natijahnya imunisasi perlu diberikan kepada populasi mereka berumur di bawah 18 tahun di samping meneruskan pematuhan SOP.

Vaksin untuk remaja

Peningkatan kes melibatkan kanak-kanak berserta penularan varian Delta menyaksikan kembalinya gesaan agar kerajaan melaksanakan pemvaksinan ke atas remaja.

Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, risiko mengalami keradangan jantung akibat jangkitan Covid-19 bagi kelompok usia 12 hingga 17 tahun ialah 13 kali ganda untuk lelaki dan 24 kali ganda bagi perempuan.

Justeru, Amerika Syarikat misalnya telah meluluskan pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech untuk dua dos kepada kanak-kanak berumur 12 sehingga 15 tahun dan lebih 1 juta kanak-kanak dilaporkan telah menerima suntikan dos pertama.

Lantaran itu, keputusan yang diambil kerajaan untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak dan remaja adalah langkah yang dinanti-nantikan.

Faktor lain adalah golongan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun merangkumi 30 peratus populasi masyarakat.

Sebanyak 80 peratus masyarakat perlu divaksin untuk mencapai imuniti kelompok.

Maka, pemberian vaksin kepada kanak-kanak sebagai sebahagian Keluarga Malaysia dilihat sebagai kunci penting bagi mencapai imuniti kelompok sekali gus melawan pandemik Covid-19.

Pakar kesihatan awam turut berpandangan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun perlu diberikan imunisasi lengkap Covid-19 sebelum dibenarkan kembali ke sekolah secara fizikal.

Sarawak dijangka akan menjadi pertama melaksanakan PICK kepada remaja berusia 18 tahun ke bawah.

Vaksin terbukti menyelamatkan nyawa iaitu melindungi jutaan manusia daripada penderitaan, kesengsaraan dan kecacatan.

Namun, kita tidak dapat menolak hakikat terdapat segelintir yang cenderung menolak vaksin.

Natijahnya, tindakan ini berupaya mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada pelaku, tetapi juga masyarakat sekitar khususnya golongan muda negara.

Enggan menerima vaksin adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal menafikan hak masyarakat seperti pelajar sekolah untuk bebas daripada penyakit berjangkit selain boleh menggagalkan usaha mencapai imuniti kelompok.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Peningkatan Covid-19 generasi muda


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buka sekolah tahun depan saja, sekarang tumpu vaksin pelajar – PIBGN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker