4 asas kepemimpinan Islam

4 asas kepemimpinan Islam

oleh Dr Azri Bhari

Pada tanggal 10 Oktober 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari itu selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).



Proses pemilihan kepemimpinan adalah berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Kepemimpinan dalam Islam bertanggungjawab menzahirkan sistem politik yang benar dan tepat dengan kehendak Islam sama ada dalam perkara dasar atau pendekatan supaya agenda pembangunan masyarakat dapat dijalankan secara komprehensif dan efisien.

Ibn Khaldun mendefinisikan kepemimpinan Islam ialah membawa seluruh manusia berada di atas landasan syarak bagi kepentingan akhirat dan urusan keduniaan yang menguntungkan akhirat kerana segala urusan dunia bagi Allah SWT semuanya diukur penerimaannya mengikut neraca akhirat. Justeru itu, khilafah adalah mengganti pihak Allah dan Rasul di dalam mengawal agama dan mengurus urusan keduniaan berdasarkan agama.

Definisi yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun ini adalah hampir sama dengan definisi yang diberikan oleh al-Mawardi dengan memberi penekanan bahawa agama adalah landasan di dalam mengendalikan urusan keduniaan (pentadbiran negara).



Terdapat pelbagai definisi yang diberikan sarjana dalam menjelaskan konsep sebenar kepemimpinan dalam Islam melalui penggunaan perkataan berbeza, namun tetap mengandungi empat asas yang sama.

Pertama, kepemimpinan Islam adalah memikul tugas bagi pihak Nabi SAW. Kepemimpinan hendaklah beriltizam dengan manhaj Nabi SAW dalam menguruskan hal ehwal rakyat dan negara. Seterusnya, hendaklah menepati perundangan syarak yang telah diturunkan oleh Allah SWT.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi, sesungguhnya nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (Riwayat Abu Daud)

Nabi SAW meninggalkan warisan ilmu kepemimpinan kepada umatnya supaya beriltizam dengan kepemimpinan Islam dalam menjalankan tugas mentadbir urusan umat dan agama.



Kedua, kepemimpinan Islam adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan rakyat. Perkara ini telah dilaksanakan sepenuhnya oleh khulafa’ al-rasyidin dan khalifah Islam.

Kaedah fiqh menegaskan bahawa pihak pemerintah perlu menyediakan kemaslahatan kepada rakyat iaitu ‘polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.’

Sejarah telah mencatatkan bahawa Khalifah al-Mu’tasim yang memahami tanggungjawab ini telah mengerahkan bala tenteranya untuk menyerang kerajaan Rom sehingga tewas melalui peperangan Amuriyyah apabila seorang wanita Islam ditawan pada tahun 222H.

Ketiga, kepemimpinan Islam adalah menjaga dan mendaulatkan agama Islam. Kepemimpinan secara Islam memikul amanah yang sangat besar dan berat kerana menjaga kepentingan dan mengawal keselamatan Islam yang memerlukan pelbagai kekuatan dan persediaan.



Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali-Imran: 19)

Kepemimpinan yang tidak melaksanakan tanggungjawab memelihara agama, maka pelbagai gejala negatif akan menimpa masyarakat dan negara. Seterusnya, gejala tersebut akan memusnahkan kesatuan dan membawa kepada kehancuran masyarakat.

Sejarah telah merakamkan bahawa gejala keruntuhan pernah menimpa umat Islam di zaman kepemimpinan kerajaan Bani Abbasiah melalui penyalaan api kebangsaan Arab sehingga tercetus semangat pengkelasan di antara Arab dan bukan Arab yang membakar kesatuan umat Islam.

Lantaran itu, kerajaan dan negara menjadi lemah kerana tercetus perpecahan umat yang tidak dapat dibendung dan dielakkan. Selain itu, segelintir pemimpin turut lalai dan terpesona dengan habuan dunia sehingga lupa terhadap tugas memelihara kesucian dan keutuhan Islam.



Keempat, kepemimpinan Islam adalah mengurus dan mentadbir negara mengikut landasan Islam. Pentadbiran dan pengurusan perlu berlandaskan kepada nas al-Quran, sunah dan ijtihad.

Seseorang pemimpin tidak wajar mengadakan atau melaksanakan undang-undang, peraturan, program atau aktiviti-aktiviti mengikut pandangan akal semata-mata, sebaliknya perlu merujuk kepada ketetapan Islam dari aspek hukum.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (Surah al-Zariyat: 56)

Ayat di atas menjelaskan perintah yang menyeluruh dan bersifat wajib iaitu tugas asasi manusia dan jin adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Menurut konteks kepemimpinan Islam, pengabdian diri kepada Allah SWT hendaklah dilaksanakan meliputi tugas-tugas keagamaan dan keduniaan.



Konsep pengabdian ini tidak dapat dizahirkan dalam institusi kepemimpinan Islam kecuali dengan menegakkan kedua-dua tugas iaitu mendaulat dan mempertahankan Islam serta menjalankan pentadbiran negara mengikut landasan Islam.

Jelas bahawa kepemimpinan dalam Islam mendukung konsep pengabdian diri kepada Allah SWT bagi menjamin serta mencapai kesejahteraan manusia di dunia dan juga akhirat.

Demikianlah, asas-asas kepemimpinan dalam Islam yang perlu dilaksanakan secara keseluruhan. Sekiranya tidak ditegakkan asas-asas tersebut, maka matlamat politik Islam tidak akan tercapai, malah akan mencetuskan percanggahan dan pertentangan dengan dasar Islam. HM

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

4 asas kepemimpinan Islam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


100 anggota polis sujud mohon maaf

Neelofa akhirnya tunjuk wajah Bilal

PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker