Battersea Power Station kejayaan kerajaan BN

Battersea Power Station kejayaan kerajaan BN

LONDON: Tanpa Malaysia, maka tiada pembangunan semula Battersea Power Station (BPS) yang menjadi contoh penting kerjasama antara Malaysia dan United Kingdom (UK) mengubah dan mengembalikan semula kegemilangan mercu tanda ikonik London yang terhenti operasinya sejak lebih 30 tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company (BPSDC), Simon Murphy.

“Projek ini tidak akan ada di sini jika bukan kerana Malaysia. Ramai pelabur yang mencuba (sebelumnya) tetapi gagal. Jika bukan kerana pemegang saham (Sime Property Bhd, S P Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka tidak akan berjalan projek ini.

“Ini adalah kali pertama konsortium pemegang saham yang datang dengan ketahanan, ketetapan, keupayaan dan pengetahuan untuk bersama pasukan dari UK dalam memberi nafas baharu kepada bangunan berkenaan. Tidak dapat dinafikan lagi tanpa kumpulan pemegang saham, tanpa sokongan mereka, mungkin tiada bangunan ini, di sini, hari ini.

“Kini, ia adalah detik istimewa selepas hampir 4,000 hari (selepas hampir 10 tahun diambil alih konsortium Malaysia dan kerja pembangunan semula dimulakan). Kata-kata yang kita dengar daripada orang ramai yang dibawa masuk ke dalam bangunan ini adalah ‘wow’,” katanya pada taklimat kepada media Malaysia sempena majlis pembukaan semula BPS kepada orang ramai esok.

Hadir sama, Pengerusi Battersea Project Holding Company (BPHC), Datuk Jagan Sabapathy.

Majlis dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

BPS yang kini berwajah baharu tersenarai sebagai hartanah Gred II*, bermakna bangunan itu mempunyai kepentingan bersejarah dan seni bina khusus, serta tertakluk kepada peraturan yang melindungi ciri uniknya.

Murphy menambah, perkara yang sukar, tidak akan terjadi dengan mudah, namun semua pihak sudah berusaha melakukan yang terbaik dengan sokongan pemegang sahamnya.

“Susulan itu, saya berpendapat kami akan menyampaikan sesuatu yang pasti tidak mengecewakan. Ia memerlukan kerja keras, keazaman, dan komitmen berterusan pemegang saham Malaysia sejak 10 tahun lalu untuk membawa BPS kembali kepada keunggulannya suatu ketika dahulu.

“Membuka bangunan itu kepada orang awam buat kali pertama dalam sejarah adalah detik penting untuk projek itu dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan pengunjung awal, dan mempelawa kepada komuniti tempatan, warga London dan seluruh dunia, untuk menikmati keindahan bangunan bersejarah, yang telah diubah suai menjadi destinasi paling unik di London ketika ini,” katanya.

Menyingkap kembali, setelah hampir 40 tahun sejak lampu BPS dipadamkan, bangunan ikonik itu kini kembali dan bersedia untuk menjadi salah satu destinasi membeli-belah dan percutian paling menarik di London.

Pada zaman kemuncaknya, BPS membekalkan satu perlima tenaga elektrik ke kota London, sebelum operasi ditamatkan pada 1983.

BPS juga pada satu ketika dahulu adalah menjadi lokasi penggambaran filem popular, budaya pop dan rock di UK, termasuk menghiasi kulit album kumpulan muzik terkenal negara itu seperti The Beatles dan Pink Floyd.

Selepas operasi ditamatkan, terdapat beberapa percubaan untuk membangunkannya semula, namun gagal sehinggalah konsortium dari Malaysia mengemuka cadangan mengambil alih.

Pada Jun 2012, Sime Darby, SP Setia, dan KWSP membentuk konsortium untuk bersama-sama membida projek pembangunan semula BPS di selatan London.

Pada September 2012 konsortium itu memuktamadkan pembeliannya pada harga £400 juta (RM1.972 bilion).

Sime Darby Property dan S P Setia masing-masing memegang 40 peratus ekuiti dalam konsortium dan KWSP memiliki baki 20 peratus, sementara pengurusan pembangunan projek itu dilaksanakan oleh BPSDC.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) pula adalah pemegang saham terbesar dalam Sime Darby Property dan SP Setia.

Tawaran pembangunan semula tapak berkenaan bukanlah yang pertama, susulan percubaan sebelum ini gagal kerana sebahagiannya mendapat tentangan daripada sebahagian masyarakat.

Konglomerat Malaysia pada waktu itu menjadi pembida pilihan bagi mengambil alih kawasan berkenaan untuk diberi nafas baharu.

Ia mengenepikan dua lagi pembida ternama antarabangsa, iaitu konsortium yang diterajui pelabur hartanah veteran British, Godfrey Bradman yang berhasrat menjadikannya sebagai tempat letak kereta dan jutawan hartanah Reuben Brothers, selain daripada tawaran oleh pemilik Chelsea pada masa itu, Roman Abramovich yang bercadang membina stadium 60,000 tempat duduk di tapak itu.

BPS telah dibangunkan semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Battersea Power Station kejayaan kerajaan BN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bilal viral di TikTok, Neelofa tersinggung

Risiko besar buat PH, Pas jika tidak bubar DUN

Netizen kritik hasrat Mahathir mahu bertanding lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker