Tak mustahil Sanusi menghadap Sultan mohon bubar DUN Kedah

Tak mustahil Sanusi menghadap Sultan mohon bubar DUN Kedah

Politik Kedah sentiasa unik, dalam keadaan tenang sekalipun, ia mampu berubah pada bila-bila masa.

Rekod membuktikan bagaimana bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika bersama UMNO, ‘dijatuhkan’ pada 2016 akibat masalah dalaman parti sebelum Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, juga daripada UMNO menggantikannya.



Namun, tidak sampai dua tahun, giliran Ahmad Bashah pula hilang jawatan akibat tsunami politik 2018 yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang tiga daripada 36 kerusi DUN selepas tewas kepada Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Mukhriz yang sudah keluar UMNO selepas bersama-sama bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa individu lain menubuhkan BERSATU serta menyertai PH, kembali ke pejabat lamanya di Wisma Darul Aman.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi ‘dijatuhkan’ akibat krisis dalaman PH pada 2020 sebelum Kedah diambil alih PAS yang melantik Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar.

Kedudukan Muhammad Sanusi mungkin tidak akan tergugat sekurang-kurangnya sehingga Mac tahun depan berikutan laporan sebelum ini memetik PAS tidak akan membubarkan DUN Kedah sehingga menghampiri penghujung penggalnya.



Dinamik dalam politik sentiasa berubah. Suatu ketika dahulu, PAS boleh duduk semeja dengan DAP dan PKR melawan BN, namun ketika ini, PAS masih berharap UMNO dapat menerima kerjasama atas nama perpaduan ummah.

Begitu juga dalam konteks semasa di Kedah. Tidak mustahil sekiranya Muhammad Sanusi menghadap Sultan Kedah dalam tempoh terdekat bagi memohon perkenan baginda bagi pembubaran DUN untuk Kedah menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jika tiada pembubaran bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak dengan peringkat Parlimen, maka parti politik perlu sekali lagi masuk gelanggang tahun hadapan, dijangka antara April hingga Julai, untuk meraih undi rakyat Kedah.

Walaupun kedudukan DUN Kedah masih dalam teka-teki, bahang politik menjelang PRU-15 tetap dirasai rakyat negeri ini sejurus pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin.



Tidak sampai dua jam pengumuman itu, bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, Datuk Dr Nordin Yunus, mengumumkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar, menjadikannya individu pertama di negeri ini menawarkan diri menjadi calon PRU-15.

Dr Mahathir pertahan kerusi

Menyusul kemudian, pengumuman Dr Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) merangkap Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dimenanginya pada PRU-14 lalu.

Sebagai tokoh veteran dengan pengaruh yang masih kuat di Langkawi, bekas Perdana Menteri berusia 97 tahun itu dijangka mampu mempertahankan kerusi disandangnya walaupun berkemungkinan tidak mampu mencatat majoriti 8,893 undi seperti diperoleh pada PRU-14.



Lawan beliau yang diramal adalah bekas ketua setiausaha sulit kepada tiga Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj mewakili UMNO, yang dilihat aktif bergerak dalam pelbagai program di Langkawi sejurus bersara daripada perkhidmatan awam awal tahun lalu.

Turut menarik tumpuan adalah kedudukan Mukhriz, kini Presiden PEJUANG di Parlimen Jerlun yang disandangnya kerana dijangka berdepan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru membabitkan bekas penyandang kerusi, Datuk Othman Aziz mewakili UMNO dan calon PAS.

Pemerhati politik melihat kedudukan Mukhriz agak goyah di Jerlun, sekali gus menimbulkan desas-desus beliau mungkin bertukar ke Parlimen Kubang Pasu, kerusi yang disandang Setiausaha Agung PEJUANG, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Sekiranya itu berlaku, beliau dijangka ditentang Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang pada PRU-14 lalu tewas di Parlimen Pendang kepada calon PAS, Datuk Awang Hashim.



Kejutan juga mungkin berlaku di Parlimen Alor Setar apabila Ketua UMNO Bahagian Kota Setar, Datuk Mohd Yusuf Ismail sudah mengumumkan sedia bertanding di kerusi itu, yang selama ini secara tradisi ditandingi calon MCA.

Siri kekalahan MCA di kerusi mempunyai kira-kira 65 peratus pengundi Melayu itu, menyebabkan Mohd Yusuf menawarkan diri berdasarkan gerak kerja dilakukan UMNO sejak 2018, termasuk ketika membantu penduduk sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Di pihak PAS pula, parti itu menyasarkan menang sekurang-kurangnya lapan daripada 15 kerusi Parlimen selepas hanya menang tiga pada PRU-14, iaitu Parlimen Pendang, Jerai dan Sik.

Harapan PAS menambah bilangan kerusi dilihat cerah sekiranya mampu mempertahankan tiga kerusi terbabit, selain merampas kembali kerusi Pokok Sena dan Kuala Kedah serta mencipta kejutan di Langkawi, Padang Terap dan Baling.



Antara nama disebut-sebut bakal dipertaruhkan PAS di Pokok Sena adalah bekas kapten skuad Hijau Kuning era 90-an, Radhi Mat Din dan EXCO Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Romani Wan Salin.

PAS berdepan pelbagai isu

Penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dijangka dikekalkan partinya bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi dengan majoriti 5,588 pada PRU-14 lalu.

Hakikatnya, PAS yang menjadi tunjang kerajaan negeri berdepan tugas berat dalam memastikan kemenangan calonnya pada PRU-15 berikutan pelbagai isu yang dihadapi sejak mengambil alih Kedah pada 2020.

Bermula dengan bencana banjir lumpurGunung Inas di Kupang, Baling pada Julai lalu.

Kedua-dua tragedi itu menjadi medan menguji kecekapan kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi menguruskan Kedah, termasuk memastikan nasib rakyat dan mangsa bencana mendapat pembelaan sewajarnya.

Pendedahan kegiatan mencuri unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpang Enggang, Sik, seperti dilaporkan baru-baru ini juga mengejutkan kerana ia dikatakan berlaku sejak hampir dua tahun lalu tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Dari sudut lain, Kedah seharusnya berbangga apabila dilapor berjaya mencatat nilai pelaburan diluluskan mencecah hampir RM20 bilion pada suku kedua 2022, menjadikannya negeri paling tertinggi mencatatkan pelaburan di Malaysia.

Kepesatan dan pelbagai ribuan peluang pekerjaan baharu juga dapat dilihat terutama di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) yang terus menjadi antara lokasi tarikan utama pelabur asing masuk ke negara ini.
BH

Tak mustahil Sanusi menghadap Sultan mohon bubar DUN Kedah
Tak mustahil Sanusi menghadap Sultan mohon bubar DUN Kedah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bilal viral di TikTok, Neelofa tersinggung

Risiko besar buat PH, Pas jika tidak bubar DUN

Netizen kritik hasrat Mahathir mahu bertanding lagi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker