Belajar ilmu agama sahih

Belajar ilmu agama sahih

oleh Dr Azri Bhari

Kewujudan golongan sesat sentiasa wujud pada setiap masa dan tempat disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.



Ajaran sesat didefinisikan sebagai ajaran yang bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, sunah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah, syariat dan akhlak yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.

Kategori dan ruang lingkup ajaran sesat merangkumi tiga aspek iaitu kepercayaan atau akidah, pengamalan atau syariat dan akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya.

Terdapat beberapa impak negatif ajaran sesat yang timbul dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia yang wajar diambil tindakan dan dibanteras segera kepada individu serta golongan terbabit.

Pertama mencemari kesucian ajaran Islam. Dakwaan bahawa semua agama adalah sama atau penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu adalah suatu kesesatan.



Misalnya, ajaran pluralisme agama yang mendakwa tiada satu pun agama tunggal dan eksklusif yang boleh disifatkan sebagai agama yang benar.

Sedangkan, Islam adalah agama yang telah lengkap dengan pengutusan nabi dan rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, dakwaan wujud kitab lain selain al-Quran, nabi baharu sama ada nabi yang bersifat universal atau setempat seperti Rasul Melayu, syariat baharu atau tafsiran baharu terhadap syariat yang telah jelas dalam al-Quran dan sunah adalah ajaran menyeleweng dan sesat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah: 3)

Kedua mendewa dan mengagungkan pemimpin secara salah. Perbuatan keterlaluan yang menganggap pemimpin adalah suci seperti bersifat maksum (tidak berdosa), sebagai Imam Mahdi, nabi, jelmaan Tuhan atau Tuhan.



Misalnya, ajaran Qadiani menganggap pemimpin mereka sebagai Imam Mahdi kemudian sebagai Nabi Isa. Selain itu, wujud dakwaan pemimpin atau guru ajaran mereka memegang kunci pintu syurga dan dapat menentukan siapa yang dijamin masuk syurga. Seterusnya, wujud dakwaan pemimpin atau guru boleh menebus dosa dengan wang atau dengan penyerahan diri zahir dan batin.

Islam membenarkan perbuatan menghormati, menyantuni, berkhidmat serta mentaati guru atau pemimpin dalam batas yang dibenarkan syarak. Namun, apabila ketaatan kepada guru atau pemimpin menafikan ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT maka itu adalah kesalahan dan kesesatan.

Allah SWT telah menegur sikap Bani Israel yang telah mengagungkan pendeta bahkan mempertuhankan Nabi Isa AS dalam ayat yang bermaksud: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.” (Surah al-Taubah: 31)

Ketiga terpengaruh dengan idea dan kepercayaan campur tangan terhadap perkara ghaib. Dakwaan mengetahui perkara akan datang atau mampu berinteraksi dengan jin, syaitan, roh, wali, nabi dan malaikat.



Misalnya, amalan menyeru nama orang yang telah meninggal dunia atau roh tertentu dengan jampi sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh, dukun atau pawang yang mengamalkan ilmu hitam.

Sedangkan, perkara ghaib adalah perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja dan manusia terpilih yang diizinkan Allah SWT untuk mengetahuinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah al-Naml: 65)

Jelas bahawa tiada ajaran yang istimewa sehingga mampu mengetahui, memahami dan mentafsir perkara ghaib. Apatah lagi perkara ghaib yang didakwa itu bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.



Masyarakat Islam disarankan sentiasa belajar meningkatkan ilmu pengetahuan agama yang sahih dan berpegang dengan akidah ASWJ yang betul, selamat, jelas dan tiada kekeliruan bersandarkan sumber al-Quran, sunah, ijmak dan qias.

Akhirnya, pihak berautoriti agama perlu memainkan peranan yang penting dalam pemeliharaan agama selaras maqasid syariah terutama ketika masyarakat Islam mudah terpengaruh dengan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu yang tular dalam kecanggihan teknologi masa kini.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Belajar ilmu agama sahih




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker