Serangan jantung Mahathir dan sepucuk surat buat Anwar

Bekas rakan sekerja saya di DJE (firma PR Daniel J Edelman) meminta saya bekerja sambilan bersama mereka untuk menjayakan beberapa projek. Semasa perjalanan bersama mereka ke Singapura pada Januari 1989, saya menerima panggilan telefon pada awal pagi daripada suami: Ayah mengalami serangan jantung dan berada di hospital.

Saya tergesa-gesa mengemas barangan, meninggalkan nota untuk bos dan bergegas ke Changi untuk menaiki penerbangan pulang. Rakan yang menjemput di lapangan terbang Subang berkata dia hampir tidak mengenali saya kerana saya kelihatan seperti “hantu”. Saya berasa amat bersalah kerana ini berlaku ketika tidak bersama ayah.

Setiba di Hospital Besar KL, emak membawa saya berjumpa ayah. Saya tidak dapat mengelak daripada terkejut melihat keadaan ayah. Saya tidak biasa melihatnya begitu lemah dan tidak berdaya, saya langsung tidak bersedia melihatnya terlantar di katil dengan pelbagai tiub dan mesin yang dipasang. Dia baru berusia 63 tahun pada ketika itu, tetapi agak berat, dan perlu menjalani pembedahan jantung. Jantungnya perlu dihentikan seketika semasa ia diperbaiki dan kemudian didenyutkan semula – pembedahan ini sentiasa berisiko.



Walau bagaimanapun, pakar bedah beliau adalah yang terbaik yang kami ada di Malaysia. Dr Yahya Awang, seorang lelaki tinggi lampai dan terkenal yang kebetulan juga adalah menantu Hussein Onn, berjaya mengumpulkan satu pasukan terkemuka pakar bedah kardio-toraks Malaysia, pakar bius dan jururawat.

Dia mengambil berat untuk memberi taklimat kepada kami tentang prosedur yang bakal dilakukan dan apabila saya bertanya tentang pelan susulan jika apa-apa berlaku kepada ayah sebelum pembedahan, dia tersenyum lembut dan berkata ayah akan ditidurkan supaya dia boleh berehat dan segar sebelum dia menyediakan pisau bedahnya.

Ayah juga tahu tentang risiko pembedahan besar itu, yang perlu dilakukan dalam masa seminggu selepas serangan itu. Pada hari sebelum pembedahan, saya kebetulan duduk di tepi katilnya. Dia tidak tidur dan cukup kuat untuk menulis sepucuk surat yang diserahkan kepada saya. Saya merenung surat itu dan kemudian menoleh ayah dengan rasa hairan.

“Jika apa-apa berlaku kepada saya, berikan ini kepada Anwar.”



Anwar Ibrahim pada masa itu adalah menteri pendidikan dan anak didik kesayangan ayah.

“Dan jangan buka!”

Saya tidak tahu sehelai kertas di dalam sampul surat itu boleh terasa seberat surat yang diberikannya pada saya pada hari itu pada tahun 1989. Tetapi, seperti ditakdirkan, saya tidak mempunyai sebab untuk membukanya mahupun menyampaikannya kepada Anwar. Selama bertahun-tahun saya telah menyimpannya dengan selamat, malah ketika saya berpindah rumah, saya tidak membukanya. Mungkin harinya akan tiba apabila saya dapat membacanya.

Tekanan kerja



Tidak mengejutkan ayah mengalami serangan jantung pada penghujung tahun 80-an. Pada tahun-tahun sebelum itu, dia berdepan pelbagai krisis, antaranya cabaran terhadap kepimpinan Umno pada 1987, dan peristiwa yang membawa kepada Operasi Lalang. Ini adalah kejadian yang merisaukan ibu semasa dia bersama saya di Kobe dan dia berasa sangat sedih dan bersalah kerana meninggalkan ayah.

Walaupun ayah tidak mengalami serangan jantung sehingga dua tahun kemudian, saya berpendapat tekanan yang terkumpul terlalu banyak untuk dihadapinya. Doktor juga mendapati ayah tidak mempunyai masalah kolestrol, tetapi semua itu dipercayai akibat tekanan yang berkaitan dengan kerja. Kemudian, saya menyedari bahawa salah satu punca serangan jantung adalah sikap panas baran atau cepat naik marah.

Ada satu hari apabila, atas sebab-sebab yang saya tidak ingat lagi tetapi tidak mungkin sangat penting, ayah agak kecewa dengan saya semasa kami minum teh di rumah. Saya sangat terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba, sesuatu yang sudah lama saya tidak saksikan dan saya pulang dengan linangan air mata.

Saya rasa ayah juga sedar selepas penilaian semula hidupnya selepas pembedahan bahawa tidak berbaloi untuk terlalu marah. Saya jarang melihat dia hilang sabar sejak itu. Malah, dia selalunya orang yang paling tenang apabila berlaku krisis, kerana terdapat banyak lagi yang akan datang pada tahun-tahun berikutnya.



Kami gembira kerana pembedahan berkenaan berjaya, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk negara. Kami juga lega kerana ayah menilai semula cara dia menguruskan tekanan, memahami bahawa kesihatannya bergantung padanya. Dia mula mengamalkan disiplin yang cuba disemaikannya ke atas diri kami dan mereka yang bekerja untuknya, dengan cara makan yang betul dan tidak terlalu berlebihan, sentiasa pastikan senaman dan tidur yang mencukupi serta tahu bila untuk berehat dan relaks.

Setiap tahun dia akan cuba pergi bercuti dengan ibu, sebaik-baiknya di suatu tempat yang cukup terpencil sehingga tiada yang boleh melawat mereka. Jika boleh kami menyertai mereka kerana seronok melihat dia tidak memikirkan tentang kerja sebaliknya bergelak ketawa dan bergurau senda dengan kami.

Serangan jantung Mahathir dan sepucuk surat buat Anwar


Artikel ini adalah terjemahan daripada petikan buku terbaru Marina Mahathir, The Apple and the Tree. Ia diterbitkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA. Buku ini boleh didapati di Popular, MPH, Kino, Czip Lee, Biblio Paper Boy, Lit Books, Gerak Budaya.




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Shahrir jawab kritikan Muhyiddin



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker