PRN Melaka: Calon PN hanya mampu jaja nama ‘Abah’

Langkah Perikatan Nasional (PN) berkempen menggunakan faktor ‘Abah’ telah mencetuskan pelbagai soalan sama ada hanya 28 calon diketengahkan parti itu hanya sekadar menumpang pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

Satu lagi persoalan dibangkitkan adalah sama ada calon diletakkan mereka kurang dikenali atau sebaliknya, jadi adalah perlu untuk menggunakan pendekatan berkenaan bagi menarik perhatian pengundi.

Hal ini memandangkan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung, PN menggunakan wajah Muhyiddin sebagai poster boy sebagai bahan kempen mereka.

‘Melaka sayang Abah’ dan ‘Kami Sayang Abah’ merupakan antara kata-kata digunakan dalam poster dan gegantung yang digantung di ceruk-ceruk kawasan negeri ini termasuk di luar bandar.

Namun ada pihak yang membangkitkan kewajaran tindakan berkenaan memandang­kan Muhyiddin bukanlah antara 28 calon gabungan itu dalam PRN Melaka, malah bukan anak mahupun pemimpin Melaka.

Berbanding Barisan Nasional (BN), mereka mengetengahkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai poster boy memandangkan beliau adalah calon Ketua Menteri BN di samping bertan­ding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Maka tidak menjadi isu sekiranya muka Sulaiman digunakan sebagai bahan manifesto dan kempen sepanjang pilihan raya itu berlangsung.

Namun ketika ditanya kewajaran tindakan PN itu, beberapa calon parti berkenaan mengakui mereka terpaksa me­numpang populariti jasa Muh­yiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Hal ini kerana calon-calon diletakkan PN kurang dikenali orang ramai, jadi pengaruh Muhyiddin amat diperlukan dan secara langsung dapat menarik sokongan pengundi.

“Rata-rata calon-calon PN masih baharu, maka ada yang tidak kenal kami. Jika menggunakan faktor Abah (Muhyiddin), ia boleh menarik perhatian rakyat untuk mengenali kami,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini. -UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker