Kecam, boikot tapi jangan hina – Fazura

Kecam, boikot tapi jangan hina – Fazura

ISU kemanusiaan sejagat menggerakkan jiwa nurani aktres Nur Fazura untuk bangkit menyalurkan pandangan dengan satu harapan agar keganasan lenyap terus dari muka bumi.

Konflik berdarah di Gaza, Palestin yang berdepan kekejaman rejim Zionis membuatkannya menggunakan laman sosial sebagai platform menyalurkan sokongan terhadap mereka yang tertindas.



Tidak hairan, semangat ditunjukkan bintang filem Gol & Gincu itu secara tidak langsung mengajak peminatnya menunjukkan solidariti, sekali gus membantu saudara seagama yang teraniaya biarpun hanya menerusi gelanggang maya.

“Kita mungkin tidak mampu turut berperang atau sekuat mereka, namun kita boleh membantu dengan suntik semangat.

“Suara kita serta ramai lagi masyarakat dunia yang prihatin terhadap isu global dihadapi rakyat Palestin ini setidak-tidaknya menunjukkan amaran serta amarah kita terhadap Zionis dan Israel.

“Pada masa sama, kita teruskan doa supaya penduduk Gaza terutama wanita dan kanak-kanak dilindungi Allah,” katanya sedikit beremosi memulakan bicara.



Turut menyokong jihad kecil menerusi usaha memboikot produk berkaitan Israel, Fazura, 40, menyeru supaya masyarakat kental melaksanakan kempen berkenaan bagi menunjukkan bantahan terhadap kekejaman Zionis.

“Banyak barangan dari luar yang punya kaitan dengan Israel boleh kita tukar kepada produk tempatan atau lain kerana ada kesannya kepada ekonomi mereka.

“Ramai berpendapat boikot tak berkesan, hakikatnya semua itu sudah menampakkan kesan apabila dilakukan serata negara dan akhirnya, memberi impak terhadap saham jenama popular serta menjejaskan operasi perniagaan Zionis.

“Biar mereka dengar suara dan tahu tindakan kita yang akan terus berjihad demi rakyat Palestin,” katanya dengan nada penuh semangat.



Lama berehat dari dunia lakonan, Fazura bakal muncul dengan sebuah projek baharu berjudul Lelaki Itu tidak lama lagi.

Boikot, jangan hina

Kendatipun, isteri kepada aktor Fattah Amin itu berharap orang ramai tidak mengecam pekerja premis produk mahu pun perkhidmatan yang mempunyai kaitan dengan Israel.

Dedahnya, mana-mana individu tidak wajar melemparkan hinaan terhadap orang lain, terutama terhadap golongan orang kelainan upaya (OKU) hanya kerana marahkan Zionis.



“Kita jangan luahkan kemarahan secara melulu dengan menjadikan orang lain sebagai sasaran kerana hinaan dan kutukan seumpana itu juga satu bentuk buli serta kekejaman.

“Kita semua tahu, bukan mudah untuk golongan insan istimewa mencari pekerjaan, namun jenama syarikat berkenaan membuka peluang (pekerjaan) untuk mereka.

“Cuma kita jangan kecam mereka hanya kerana mereka bekerja dengan jenama tersebut demi menyara keluarga. Tindakan kasar sebegitu bukan tuntutan Islam.

“Memang senang untuk kita usulkan supaya cari kerja lain, tetapi dalam situasi mereka, mana lagi syarikat yang berikan ruang kepada mereka,” ulasnya lagi.



Perkasakan wanita

Menukar perbualan kepada hasrat memperkasakan ekonomi kaum hawa pula, Fazura mengakui pelancaran minuman TrullyCaffe sebagai jawapan membantu golongan wanita.

Berkonsepkan jualan secara dalam talian dan menerusi ejen serta stokis, katanya konsep sedemikian sememangnya memberi peluang kepada individu lain menjana pendapatan.

“Sebenarnya saya berbangga melihat ramai wanita termasuk suri rumah aktif menambah pendapatan keluarga dengan menjual barangan dalam talian.



“Mereka mempunyai semangat kental selain wajar dipuji kerana dalam kesibukan menguruskan keluarga tetap mengejar peluang mencari rezeki.

“Bagi syarikat saya sendiri, selepas enam bulan melakukan penyelidikan dan pembangunan, maka terhasil kopi ini yang mempunyai khasiat tersendiri,” katanya.

Pada masa sama, ibu kepada Nur Fatima Aisya, 3, itu tetap tidak melupakan arena hiburan yang menjadi landasan pertama dirinya bertapak sejak hampir dua dekad lalu.

Biarpun mempunyai jadual padat, Fazura masih menggerakkan aktiviti nyanyian serta lakonannya menerusi pembabitan dalam beberapa projek baharu.

Antaranya adalah muncul dengan single berunsur ketuhanan berjudul Jika Cinta Allah bersama penyanyi dan komposer tersohor Indonesia, Ahmad Dhani.

“Lagu yang pernah dipopularkan Ahmad Dhani ini mempunyai makna mendalam sehingga saya terus jatuh cinta dengan lirik dan melodi yang begitu dekat di hati saya.

“Lirik lagu Jika Cinta Allah ini juga sangat indah yang meminta kita sebagai hamba perlu sentiasa bergantung kepada Allah,” ungkapnya mengenai dendangan yang dilancarkan September lalu itu.

Dalam cabang lakonan pula, aktres jelita itu kembali semula ke set drama berjudul Lelaki Itu terbitan produksi, Rumah Karya Citra Sdn. Bhd. K Online

Kecam, boikot tapi jangan hina – Fazura

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

FD3: ‘Wahab’ jadi usikan Mas Idayu

GV10: Liza Hanim dapat ‘5M’ daripada Hetty Koes Endang

FD3: Syarif dan Syaiful juara minggu ke enam

GV10: Noryn Aziz tersingkir

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker