Puteri Gunung Ledang, Mat Kilau tak cukup

Puteri Gunung Ledang, Mat Kilau tak cukup

Siapa mampu menidakkan kejayaan Puan Seri Tiara Jacquelina, 55, melalui syarikat diasaskannya, Enfiniti (M) Sdn Bhd dalam mengangkat karya epik, Puteri Gunung Ledang (PGL) ke layar perak, hampir dua dekad lalu.

Ditayangkan pada 2004, filem arahan Saw Teong Hin dan skrip dihasilkan Allahyarham Mamat Khalid mencipta rekod sebagai filem Melayu paling mahal diterbitkan, ketika itu, pada kos dianggarkan RM20 juta.



Selepas PGL, tidak banyak naskhah mengangkat kisah legenda dibawa ke layar perak. Antara yang terbaharu adalah Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios yang diarah Yusry Abdul Halim pada 2011 dan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn Bhd arahan Syamsul Yusof, tahun lalu.

Tiara mengaku tidak ramai penerbit dan pengarah berani menghasilkan filem epik. Berbeza dirinya, Tiara mengambil risiko kerana menganggap sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai penggerak seni yang cintakan budaya tempatan.

“Saya hasilkan filem epik kerana minat. Setiap pembikin filem ada minat yang berbeza. Ada yang suka genre seram, aksi dan sebagainya.

“Saya mengaku kita perlu ada semua genre filem. Namun, saya suka jika ada lebih banyak kisah legenda dihasilkan agar anak-anak kita membesar dengan cerita rakyat.



“Usaha ini perlu agar mereka tidak dihidangkan semata-mata dengan cerita luar. Anak-anak zaman sekarang membesar dengan kisah Iron Man, Spiderman, Wonder Woman dan sebagainya.

“Mereka kurang tahu cerita kita. Kalau kita paksa mereka baca buku sejarah, mungkin tidak berhasil sebab sekarang zaman teknologi.

“Cara untuk menarik mereka sukakan kisah rakyat, bukan lagi seperti cara kita dahulu. Jadi, sebagai pencinta budaya, saya tetap mahu ketengahkan cerita rakyat dan legenda pada generasi akan datang,” katanya pada sidang media projek terbaharunya, Dream Forest Langkawi di Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya, kelmarin.

Bagaimanapun, Tiara tidak menolak anak-anak menonton naskhah luar negara, namun, pada masa sama, biarlah ilmu mengenai cerita rakyat lebih mendalam.



“Kita boleh menonton karya dari Barat, pada masa sama, asas mengenai budaya kita sendiri, kena kuat,” katanya.

Apabila PGL dirujuk sebagai naskhah yang menjadi penanda aras dalam penerbitan filem epik, Tiara sangat berbesar hati. Tiara berharap lebih ramai pembikin filem meneruskan usahanya dalam mengetengahkan cerita rakyat.

“Saya bangga jika PGL disebut-sebut sebagai filem penanda aras. Saya terima pengiktirafan itu dengan besar hati.

“Tetapi ketika saya memulakan naskhah epik, saya tidak sasar ia jadi penanda aras. Apa yang saya buat didorong minat mendalam terhadap seni budaya kita.



“Apabila kita buat sesuatu dengan ikhlas dan penuh minat, ia akan berhasil dengan baik mengikut apa yang diperjuangkan. Jadi, saya harap lebih ramai angkatan muda yang mengambil alih tugas ini kerana sampai bila saya mahu hasilkan naskhah sama.

“Saya masih bertenaga, bukanlah saya kata saya akan pencen dalam masa terdekat. Tetapi saya harap lebih ramai golongan muda akan teruskan usaha mengetengahkan naskhah sedemikian,” katanya.

Bertanya mengenai pementasan muzikal PGL yang terpaksa dibatalkan akibat penularan pandemik COVID-19, Tiara mengaku belum bersedia meneruskan projek terbabit biarpun 2024 bakal menjadi ulang tahun ke-20 filem berkenaan.

Tiara berkata, Enfiniti perlu berevolusi dalam mengetengahkan projek baharu selain pementasan PGL.



“Sebagai sebuah syarikat, Enfiniti mahu melakukan evolusi. Kami sudah pentaskan PGL sebelum ini dan kami sudah bawa muzikal seperti P Ramlee dan Ola Bola. Jadi, saya fikir, kami perlukan cabaran baharu.

“Mungkin kami boleh teruskan penceritaan sama, namun, menggunakan platform berbeza. Mungkin kami boleh pentaskan teater berkonsep ‘environmental’, iaitu sesuatu yang berbeza daripada lingkungan Istana Budaya (IB). Ini untuk mencabar keupayaan kami sebagai penggerak seni.

“Tapi saya tidak pernah kata tidak. Saya tidak boleh janjikan apa-apa. Mana tahu, suatu hari saya bangun tidur dan fikir mahu buat balik (pentaskan PGL mengikut perancangan asal),” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Enfiniti mengumumkan keputusan sukar iaitu membatalkan pementasan muzikal PGL yang dirancang sejak 2019.



Berkongsi mengenai projek baharunya, Dream Forest Langkawi, Tiara berkata, produk pelancongan itu terletak di Hutan Kampung Buku, Lubuk Semilang, Langkawi.

Tiara berkata, Dream Forest Langkawi dianggap produk merangkumkan pengalaman terbaiknya di pentas perfileman, seni persembahan dan kebudayaan.

“Sebagai pencinta budaya, saya cuba mempromosikan budaya kita melalui Dream Forest Langkawi. Diharap ini menjadi cara untuk anak-anak kita tahu mengenai kisah legenda seperti Merong Mahawangsa dan sebagainya,” katanya.

Tiara mengaku sukakan bidang pelancongan sejak dahulu lagi.

“Sebenarnya, ramai tidak tahu saya bermula dengan bidang pelancongan. Kemudian saya menjadi penari bersama rakan-rakan termasuk Nasha Aziz, Aida Rahim dan Maria Farida.

“Jadi, jiwa saya memang terhadap sektor pelancongan. Ketika menghasilkan naskhah seni, saya selalu terfikir bagaimana hendak tarik pelancong asing menonton naskhah saya. Sekarang, Dream Forest Langkawi adalah langkah seterusnya,” katanya.

Tiara berkata, projek Dream Forest Langkawi mengambil masa empat tahun untuk direalisasikan dengan bajet hampir RM20 juta.

“Kami bangunkan Dream Forest Langkawi sejak 2019, tetapi dengan konsep berbeza. Disebabkan pandemik COVID-19, kami ubah konsepnya.

“Syukur akhirnya Dream Forest Langkawi akan dibuka mulai 1 Mei,” katanya.

Dream Forest Langkawi yang diusahakan Enfiniti Interactive Xperiences Sdn Bhd adalah hutan rekreasi yang menggunakan teknologi projection mapping atau peta unjuran.

Projek dibangunkan sepenuhnya tenaga tempatan itu membawa pengunjung menelurusi hutan sepanjang 1.2 kilometer sambil mendekati kisah legenda Langkawi seperti Tasik Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan banyak lagi.

Terdahulu, penangan PGL, filem dibintangi Tiara sebagai tunjang utama dan Datuk M Nasir yang melakonkan watak Hang Tuah ‘menyapu’ lima trofi Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-18 pada 2005.

Lebih membanggakan, PGL menduduki tangga ke-49 senarai tapisan kategori Filem Bahasa Asing Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) 2004. BH

Puteri Gunung Ledang, Mat Kilau tak cukup

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Che Nom raih RM360,000 sebulan?

Roti Canai nombor 2 di dunia ‘Best Street Foods’

Wasiat secara lisan wajib ditunaikan mengikut permintaan arwah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker