Stacy lega akhirnya

Stacy lega akhirnya

SEJAK mengesan dirinya pernah berdepan ‘anxiety’ (gangguan keresahan), penyanyi Stacy Anam mulai faham betapa besarnya impak masalah kesihatan mental dalam hidup seseorang. Hanya individu yang pernah derita hal itu akan faham.

Bagaimanapun, Stacy Anam, 33, atau pemilik nama Ummu Syaikhah Stacy Anam percaya dia mainkan peranan penting untuk mendidik ramai betapa seriusnya topik berkenaan.



Disebabkan itu, penyanyi kelahiran Penampang, Sabah ini memutuskan untuk zahirkan kisah peribadinya dalam lagu baharunya Teriak. Menurutnya, proses penghasilannya ada sisi menarik tersendiri.

“Sepanjang proses pembikinan Teriak, tiada tercetus semula perasaan mengalami ‘anxiety’ sebelum ini. Ia lebih kepada penerimaan dan pemahaman. Impak, sakit, dan sedih itu tak macam dulu, lebih menikmati pengalaman yang pernah berlaku.

“Yang menariknya, judul Teriak dipilih kerana setiap kali saya nyanyi lagu ini, kepala rasa mahu pecah. Terutama ketika nak cari ‘groove’, nota dan penghayatan. Sampai waktu rakaman pun, rasa kepala nak pecah,” katanya.

Stacy berkata, emosi dalaman yang mengiringi perjalanan merakam lagu itu sukar untuk dijelaskan. Ada kecelaruan yang menimpanya kerana dalam pada merasa ‘sakit’, pengakhirannya tetap satu kelegaan besar.



Tetap memilih untuk bekerjasama dengan suaminya, Akim Ahmad dalam projek itu, memberi mereka kelebihan. Ini kerana sinergi disalur mereka seiring, lagi-lagi ingin pastikan hasil akhir karya itu sangat memuaskan.

“Rasa itu seperti yang pernah saya alami waktu kecil dulu. Ketika itu, bila sakitnya menyerang memang kepala macam nak pecah, susah saya nak jelaskan, tapi begitu saya hadapi. Tapi, bila sudah siap (lagu), dah okay pula.

“Lagu itu dirakam tak lama sangat, dalam sekitar dua jam. Yang mengendalikan pun komposer bersama lagu ini, suami saya, Akim. Jadi, perbincangan serta hal lain mempercepat lagi masa.

“Rakamannya baru saja dibuat bulan ini (Februari). Tapi, sebenarnya ia dihasilkan sejak November tahun lalu. Liriknya berbulan nak siapkan kerana melodi yang kami tampilkan lain daripada kebiasaan,” katanya.



Mengakui berdepan cabaran dari aspek penghayatan, Stacy tabik dengan dirinya kerana berjaya mengerah emosi ke tahap lebih jauh. Misi utama jadi pemangkin untuk kerja lebih keras.

“Penghayatan yang perlu disalurkan tak boleh biasa-biasa. Jadi, ia agak berat pada bahagian itu. Bila sudah jumpa (lirik dan melodi tepat), kami ragu-ragu kalau orang boleh terima. Macam berat sangat pula.

“Namun, kami kembali ingatkan diri apa tujuan asal hasilkan karya. Tidak lain, kepuasan. Bukan nak kata syok sendiri, tapi adalah sedikit elemen itu,” katanya.

Sepanjang proses itu juga sebenarnya mengajar Stacy untuk lagi berkobar bantu individu lain mengenai kesedaran terhadap isu kesihatan mental. Menurutnya, dia sangat ambil berat terhadap orang yang mengalaminya.



Mana tidak, dia sebelum ini cuma memendam ‘kecelaruan’

yang disangkalnya hal remeh sebelum kenali penyakit itu. Katanya, dia sangat beria-ia kongsi cerita peribadi sendiri.

“Betul. Maksudnya saya tidak bercerita pasal pengalaman orang lain. Saya kongsikan perasaan serta apa yang pernah saya alami sendiri. Terutama bila sudah makin terdedah dengan isu ‘anxiety’ ini.

“Saya simpan lama hal ini disebabkan awalnya tak rasa ia teruk. Dulu-dulu mana ada sangat dan kita pun tak tahu. Mungkin saya kini berani kongsikan hal ini kerana saya semakin tak rasai serta sudah boleh mengawalnya,” katanya.



Kian dalami ilmu seni

Sejak mencipta nama pada 2008 selepas dinobat juara Akademi Fantasia 6 (AF6), transisi Stacy sebagai anak seni terlalu ketara. Dia sudah sebaris dengan nama handalan yang melakar legasi ikonik di industri tempatan.

Dari gelaran Ratu Tari awal-awal dulu, kematangannya serta nilai artistik yang ditonjolkan sangat mengagumkan. Terlalu banyak pencapaian hebat sudah dibuktikannya sebagai penghibur disegani.

Namun, Stacy mengakui dia baru benar-benar mendalami serta menggali pelbagai sisi artistik dan ilmu seni beberapa tahun kebelakangan ini. Menurutnya, ia bermula ketika berkurung pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.



“Ketika itu, tawaran persembahan tiada dan disekat. Jadi, bila berada di rumah, banyak masa dihabiskan dengan mengimbas semula hasil kerja sebelum ini. Saya dapati dulu saya anggap menyanyi sebagai kerja hampir setiap masa.

“Contohnya menjelang persembahan, saya akan berlatih tanpa henti, turunkan berat badan, bersenam kononnya naikkan stamina. Tapi, sebenarnya banyak perkara lebih penting saya kena utamakan,” katanya.

Paling ditekankannya adalah mengenai fokus yang cukup kuat dalam setiap tugasan seni. Baginya, memiliki mental kuat adalah senjata terpenting yang boleh menjadi jerat berbahaya buat penghibur.

Stacy tidak malu meletakkan penyanyi Aina Abdul adalah rujukan terkininya jika menyentuh mengenai soal fokus. Katanya, dia sangat kagum betapa cerdiknya penyanyi lagu Terus Hidup itu mengawal fokusnya terutama bila berada atas pentas.

“Bila cakap pasal persembahan, orang ingat cukup latihan itu adalah hal paling utama. Memang betul, dulu saya pun begitu juga. Tapi, sebenarnya saya sedar fokus adalah yang paling penting.

“Kalau sudah cukup persediaan pun, bila tiba-tiba ‘blank’ atas pentas pun mampu jadi ‘mimpi ngeri’ juga. Saya sangat kagum aspek fokus itu sangat ketara terserlah pada Aina. Saya sangat teringin nak ada kelebihan itu,” katanya. HM

Stacy lega akhirnya

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Che Nom raih RM360,000 sebulan?

Roti Canai nombor 2 di dunia ‘Best Street Foods’

Wasiat secara lisan wajib ditunaikan mengikut permintaan arwah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker