PRN Johor, BN dijangka sekali lagi menang besar

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti dua pertiga sekiranya peratusan rakyat negeri itu keluar mengundi rendah dan di bawah 60 peratus.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, pandangan itu merupakan salah satu daripada dua senario yang mungkin berlaku pada PRN Johor memandangkan akar umbi UMNO dan BN terlalu besar selain kawasan luar bandar serta Felda merupakan kubu kuat parti berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan akan berubah sekiranya kadar peratusan rakyat keluar mengundi menjadi tinggi dan mencecah 80 peratus di mana situasi ini akan memberi kelebihan kepada parti pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH).



“Dahulu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO dan BN kalah di Johor disebabkan berlakunya gelombang peralihan sokongan pengundi atas pagar dan pengundi Cina di mana majoriti mereka yang tinggal di luar negeri itu, sanggup balik semata-mata untuk mengundi.

“Namun, sekiranya trend peratusan keluar mengundi menjadi rendah dengan pengundi luar tidak ghairah untuk pulang disebabkan kelesuan politik serta bimbang ancaman varian Omicron, UMNO dan BN bakal mempunyai kelebihan besar susulan memiliki pengundi subjek yang kukuh,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peluang parti-parti yang bakal bertanding pada PRN Johor susulan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah memperkenankan permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri berkenaan.

LABA SOKONGAN



Ketika ini, kerajaan Johor adalah merupakan kerajaan campuran BN dan Perikatan Nasional (BN) susulan kerajaan PH Johor tumbang pada tahun 2020.

Desas-desus pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN Johor sudah diperkatakan sejak bekas Menteri Besar Johor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Allahyarham Datuk Osman Sapian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan agihan terkini adalah UMNO dan DAP masing-masing menyandang 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), Parti Amanah Negara (9) dan PKR (4).

Mengulas lanjut, Mazlan turut menjangkakan PH akan menerima laba sokongan rakyat sekiranya pelbagai gelombang isu rakyat terus dimainkan koalisi itu di sepanjang pelaksanaan PRN Johor.



Ujarnya, gerakan-gerakan demonstrasi jalanan bagi mempertikaikan kes siasatan terhadap Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam tidak mustahil akan disusuli dengan protes jalanan lain seperti membantah kenaikan harga barang bagi membolehkan PH membangkitkan kemarahan rakyat terhadap BN dan PN.

“PH juga menyedari sekiranya UMNO mampu menang majoriti dua pertiga pada PRN Johor, mereka akan pergi solo pada PRU15, ditambah dengan situasi koalisi pembangkang yang berpecah belah ketika ini,” katanya.

Mengenai peluang PN yang dianggotai Bersatu dan Pas, Mazlan melihat mereka bukan pencabar sebenar kepada UMNO dan BN serta berkemungkinan mengulangi prestasi pada PRN Melaka apabila sekadar memenangi satu atau dua kerusi.

“Namun fokus sebenar pastinya tertumpu kepada kerusi DUN Gambir disandang Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana UMNO pastinya mahu menjadikan PRN Johor sebagai platform untuk memalukan bekas Perdana Menteri itu dan Bersatu.



“Ditambah dengan kemenangan Muhyiddin di DUN Gambir dan Parlimen Pagoh banyak bergantung kepada undi kaum Cina, ada kemungkinan besar sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu kalah di DUN Gambir, masa depan Bersatu dan PN menjelang PRU15 menjadi semakin tidak menentu,” katanya.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker