Tak faham nas agama punca perpecahan ummah

Tak faham nas agama punca perpecahan ummah

oleh Mohd Khairul Naim Che Nordin

Dalam sejarah Islam, gejala kafir mengkafir terhadap saudara seagama telah muncul seawal era sahabat. Khawarij merupakan kumpulan pertama yang muncul mengkufurkan golongan yang tidak sealiran pandangan dengan mereka. Gejala seperti ini berterusan sehingga ke masa kini.



Ia lebih genting apabila wacana tentang kafir, munafik, fasik dan lain-lain diukur nilai menurut lensa politik dan bukannya menurut perspektif akidah yang sahih. Gejala ini lebih berleluasa dengan perkembangan media sosial di mana wacana tentang hukum akidah ini dibahas pula oleh orang awam yang majoritinya tidak berkeahlian dan cenderung pula kepada perspektif pegangan politik yang tertentu.

Walau apa pun bentuk perkembangannya, faktor utama kepada gejala kafir mengkafir ini berlaku apabila salah faham terhadap maksud nas sama ada dalam al-Quran dan juga hadis. Dalam ajaran Islam, selain nas sebagai sumber agama, kaedah dalam memahami nas juga adalah setara penting bagi mencapai tujuan makna yang dimaksudkan oleh Allah dan Nabi Muhammad.

Bagaimana boleh ditentukan seseorang itu salah dalam memahami nas? Pertama, kefahaman itu adalah berdasarkan kesimpulan sendiri dan bukannya didasari dengan kaedah yang tepat seperti yang ditunjukkan oleh para ulama.

Kedua, istilah iman, kufur, syirik, nifaq dan jahiliyyah yang terdapat dalam nas ditafsirkan secara literal dan digunakan secara umum untuk semua konteks dan keadaan. Sedangkan, setiap istilah yang digunakan dalam nas ada makna dan tujuannnya yang tersendiri.



Sebagai contoh, penggunaan lafaz iman dalam al-Quran dan hadis digunakan untuk merujuk kepada iman yang sempurna dan bukan bermaksud iman semata-mata. Ini kerana jika sesuatu nas merujuk kepada iman semata-mata maka seseorang yang disebut tidak mempunyai iman telah kufur sedangkan nas tidak bermaksud sedemikian.

Dalam surah al-Anfal ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”

Maksud “orang yang beriman” dalam ayat di atas ialah orang yang sempurna imannya. Ia tidak bermaksud jika seseorang itu tidak gementar hatinya atau tidak bertawakkal maka dia telah kafir kerana tidak beriman.

Maksud yang sama boleh dirujuk kepada firman Allah dalam surah al-Mu’minun ayat 1-10. Sebahagian ayat itu bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (Iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.”



Ciri-ciri iman dalam ayat di atas merujuk kepada mereka yang sempurna imannya iaitu antaranya ialah khusyuk dalam solat dan menjauhi perbuatan yang melalaikan. Ini tidaklah bermakna mereka yang tidak khusyuk dalam solat itu telah kafir dan tidak beriman.

Hal yang sama boleh dilihat dalam hadis-hadis sabda Nabi SAW. Ia boleh diteliti khususnya dalam hadis tentang cabang-cabang iman.

Contohnya ialah hadis: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Begitu juga hadis: “Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah dia tidak beriman! Iaitu sesiapa yang jirannya tidak merasa selamat daripada kejahatannya.”

Selain itu Nabi bersabda: “Dia tidak beriman dengan aku. Iaitu sesiapa yang bermalam dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya lapar padahal dia mengetahuinya.”



Oleh itu hadis-hadis ini tidak menafikan keimanan pelaku. Apa yang dinafikan dengan sebutan “tidak beriman” itu ialah menafikan kesempurnaan iman. Hal ini juga tidak menjadikan seseorang yang melakukan dosa besar sebagai kafir dan terkeluar dari agama. Ini seperti sabdaan Nabi: “Seorang penzina tidak akan berzina, jika ketika itu dia beriman. Seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia beriman…”

Lafaz tidak beriman ini adalah tiadanya kesempurnaan iman bagi seseorang yang melakukan dosa besar.

Atas sebab tersebut, hukuman yang dikenakan kepada pelaku zina dan peminum arak ialah hukum had dan bukannya tertakluk kepada hukum murtad. Oleh itu, Ahli Sunnah wal Jamaah jelas berpendirian bahawa pelakuan maksiat dan dosa besar tidak akan mencabut keimanan dari hati seseorang.

Manakala lafaz kufur pula perlu diteliti berdasarkan konteks ayat. Ada kufur yang bermaksud pengkufuran secara langsung kepada Allah dan ia disebut kufur akbar. Dalam al-Quran kufur untuk kategori ini boleh difahami dalam dua bentuk.



Pertamanya kufur asal seperti kufurnya golongan dahriy yang menolak kewujudan Allah, atau mereka yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad. Ia seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 136: “Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya…” Keduanya ia merujuk kepada kufur yang mendatang iaitu kufur yang membawa kepada murtad. Sebagai contoh, seseorang yang menolak keyakinan terhadap perkara asas dalam agama atau menukar keyakinan akidahnya.

Namun, istilah kufur juga digunakan untuk perbuatan maksiat. Ia dimaksudkan secara kiasan (majaz) dan bukan hakiki iaitu tidak menyebabkan seseorang pelaku itu kafir. Lafaz kufur ini digunakan antaranya untuk menunjukkan sesuatu perbuatan yang dilakukan serupa seperti mana amalan orang kafir atau dengan maksud kufur nikmat (tidak bersyukur dengan nikmat Allah).

Nabi SAW bersabda: “(Penghubung) antara seorang lelaki dengan syirik dan kufur ialah meninggalkan solat.” Dalam hadis yang lain Nabi bersabda: “Ikatan janji antara kita dengan mereka ialah solat. Sesiapa yang meninggalkannya, dia telah kufur.”

Istilah yang lain seperti nifaq, syirik dan lain-lain juga adalah sama seperti yang dibincangkan di atas. Ada munafik dalam konteks akidah iaitu mereka yang menzahirkan keimanan dengan lidah dan tindakan, dan ada pula munafik dalam perbuatan sahaja iaitu yang merujuk kepada Muslim yang mempunyai perangai dan akhak seperti orang munafik namun mereka membenarkan apa yang ada dalam akidah.



Pelabelan seseorang sebagai kafir atau munafik sebenarnya membawa implikasi pada aspek syariat. Oleh kerana itu dalam Islam, penentuan seseorang itu kafir atau tidak hanya akan diputuskan oleh hakim. Penentuan itu pula mestilah berdasarkan bukti yang jelas dan bukannya berdasarkan andaian semata.

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya Kubra al-Yaqiniyyat menyatakan, “Allah tidak membebankan kepada kita dalam perkara di sebalik yang zahir (aspek keimanan seseorang). Maka tiada hak bagi seseorang untuk memberi hukum ke atas sesuatu yang ghaib terhadap orang lain (tidak diketahui secara zahir).”

Melabel seseorang tidak cukup Islam atau lebih buruk disebut terkeluar dari agama sebenarnya tidak menjadikan iman kita lebih baik. Kesempurnaan iman dicapai dengan mengukuhkan keyakinan sendiri, memperbanyakkan amalan dan mendalami ilmu agama. Mk

DR MOHD KHAIRUL NAIM CHE NORDIN adalah Penulis pensyarah kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Tak faham nas agama punca perpecahan ummah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dia raba dada saya – Sarimah

Tuduhan PM peliwat, laporan polis di seluruh negara ke atas Radzi

Tudung Nelydia Senrose terbang?

Caprice dakwa Bapa Mondy kena ‘payung’

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker