Tiada layanan istimewa untuk Dr Mahathir dalam Dewan Rakyat – Nazri Aziz

Tidak ada mana-mana ahli parlimen yang berhak mendapat layanan istimewa ketika sesi perbahasan dalam Dewan Rakyat biarpun pernah menabur jasa kepada negara.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan semua ahli parlimen perlu bersedia untuk dikritik ketika sesi perbahasan.

Beliau menjelaskan jika terdapat mana-mana ahli parlimen yang tidak mahu diserang ketika perbahasan, jalan terbaik dalam meletak jawatan.

“Kita kena ingat, walaupun kita orang besar ke atau orang berjasa ke tetapi kalau kita bersetuju untuk masuk dalam gelanggang, macam pepatah Melayu yang berbunyi, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.
“Jadi tidak ada dua peraturan dalam dewan, semuanya akan dilayan serupa sahaja, kalau bangun berucap dan kena lanyak berterusan, itu kena terima sebab tidak ada siapa paksa dia jadi ahli parlimen,” katanya kepada Astro AWANI. baru-baru ini.

Beliau mengulas pandangan setengah pihak yang mempertikai layanan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membahaskan usul pertukaran Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin.

Nazri menjelaskan pihak-pihak yang mempertikaikan perkara berkenaan perlu faham bahawa ahli parlimen Langkawi itu tidak boleh mengharapkan layanan istimewa hanya kerana beliau bekas perdana menteri.

“Beliau menawarkan diri untuk menjadi calon di Langkawi dan bila tidak lagi menjadi perdana menteri, jadi ahli parlimen biasa macam saya, kena terima lah.

“Tidak boleh mengharapkan satu layanan yang lebih baik kerana dia bekas perdana menteri, eh tak ada tu, masuk dalam gelanggang kena sedialah.

“Janganlah kata orang ini kurang ajar kerana tidak ada dua peraturan untuk ahli-ahli parlimen, semua sama sahaja, tidak ada satu peraturan untuk kita, satu peraturan untuk Tun, tidak boleh.

“Kalau tidak mahu dilayan sedemikian, jalan terhormat dia perlu undur diri,” katanya.

Nazri menjelaskan, Dr Mahathir tidak boleh mengharapkan ahli-ahli parlimen UMNO akan berdiam diri sekiranya bekas perdana menteri itu memberi gambaran buruk kepada parti itu ketika sesi perbahasan.

“Kalau beliau menyerang kita macam kata UMNO jijik, saya tak boleh terima sebab UMNO jijik itulah yang telah menjadikan beliau sebagai perdana menteri selama 22 tahun.

“Kalau ada mana-mana ahli parlimen itu yang beliau marah, sebutlah, ahli parlimen Padang Rengas ke, sebutlah tapi jangan sebut UMNO,” katanya lagi.

Nazri juga berkata, tindakan Dr Mahathir melabelkan UMNO jijik menyebabkan ahli-ahli parti yang berada di kampung juga terguris.Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker