Pemimpin UMNO kecam cadangan Ngeh

Pemimpin UMNO kecam cadangan Ngeh

Pimpinan UMNO membantah cadangan Ahli Parlimen Beruas daripada DAP, Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan, awal bulan ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi berkata, cadangan Koo Ham supaya Badan Peguam menjadi ahli jawatankuasa berkenaan, tidak boleh diterima.



“Badan itu mahu cabar keputusan pengguguran kes Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), tetapi tidak pula cabar kes lain yang digugurkan walaupun ada ‘prima facie’.

“Seolah-olah pendirian badan itu asalkan bukan UMNO. Badan peguam itu kekal senyap isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) (bekas Peguam Negara) Tan Sri Tommy Thomas, walaupun memoir Tommy Thomas banyak kontroversi.

“Mungkin boleh dipertimbangkan seorang pakar perundangan bukan Islam yang tidak memihak duduk dalam jawatankuasa tersebut. Asalkan bukan ‘Bar Council’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di media sosial malam tadi pula menyifatkan, saranan pemimpin DAP itu tidak berpijak di bumi yang nyata dan boleh mencetuskan polemik dalam negara.



Kata beliau, Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam, malah proses menambah-baik dan menaik taraf Mahkamah Syariah sentiasa mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah meliputi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah serta bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah mencabuli hak bukan Islam.

Tambah beliau, ia juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

“Berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini. Apa juga dapatan jawatankuasa ini kelak, pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan (Negara),” katanya.



Dalam nada yang lebih keras, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyifatkan cadangan tersebut sangat bodoh selain mengingatkan Koo Ham bahawa undang-undang syariah adalah terpakai untuk umat Islam sahaja.

“Ini adalah contoh antara pemimpin yang tidak mahu memahami sensitiviti orang Islam di negara ini. Pemimpin seperti ini yang menjadi duri dalam daging bagi Kerajaan Perpaduan.

“(Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke Siew Fook, sila pilih sama ada mahu melindungi pemimpin seperti ini atau mahu memelihara hubungan sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika mahu menjaga pemimpin seperti ini, maka kita boleh lupakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan. Cukup-cukuplah. Noktah!,” katanya.



Media baru-baru ini melaporkan Koo Ham mengemukakan cadangan tersebut dengan pendapat, ia bagi mengambil kira pandangan bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau dipetik berkata, Perlembagaan Negara dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik. K Online

Pemimpin UMNO kecam cadangan Ngeh

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Puteri Sarah sudah disunting?

Pelakon biadap, rasa diva sebab ramai followers – Kismah Johari



Muhammad nama paling popular di UK bagi tahun 2023

Aplikasi Al-Inarah menjawab segala kemusykilan agama anda

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker