Hukum pemandu mabuk penyebab kematian dengan hukuman lebih berat – Zahida

Sudah sampai masanya untuk negara ini memperketat dan menambah hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Kemalangan jiwa berpunca daripada pemandu di bawah pengaruh alkohol tidak sepatutnya hanya didakwa di bawah seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, demikian menurut Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Menurut beliau saban hari makin meningkat kemalangan jiwa yang melibatkan kematian angkara pemandu mabuk dan hukuman lebih berat serta setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol walaupun pertama kali melakukan kesalahan.

“Hukuman berat iaitu denda sehingga RM100,000, 20 tahun penjara dan lesen memandu digantung seumur hidup perlu terus dikenakan walaupun ia kesalahan pertama.

“Jika perkara ini tidak ditangani segera… saya lihat ia akan lebih berbahaya berbanding wabak yang melanda negara ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi negara kehilangan seorang lagi wira negara yang maut akibat dilanggar ketika bertugas dalam sekatan jalanraya kuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

“Saya menggesa agar dilakukan pindaan untuk dakwa pesalah berkenaan sebagai kesalahan jenayah membunuh di bawah kanun keseksaan kerana hukuman penjara mengikut undang-undang sedia ada tidak mencukupi,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker