Serbuan di KK Mart Johor, satu diarah tutup, ada kena denda

Serbuan di KK Mart Johor, satu diarah tutup, ada kena denda

Pihak berkuasa telah menyerbu beberapa kedai serbaneka KK Mart di seluruh Johor semalam.

Tindakan ini susulan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang meminta pihak berkuasa untuk bertindak tegas terhadap kontroversi yang melibatkan penjualan stokin yang bertulis kalimah Allah.

Sekurang-kurangnya tiga majlis perbandaran memerika beberapa kedai KK Mart di lokasi masing-masing, tetapi tiada stokin seumpama itu ditemui.

Majlis Perbandaran Segamat melalui laman Facebook rasminya mengesahkan operasi mereka diwakili Jabatan Kesihatan Awam, Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Segamat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Operasi pemeriksaan yang dijalankan terhadap premis KK Supermart berdekatan Jementah mendapati kedai itu beroperasi dengan lesen perniagaan yang sah dan tiada penjualan dan penyimpanan stoking bertulis kalimah Allah yang mencetuskan kemarahan orang ramai, khususnya umat Islam.

Namun hasil pemeriksaan mendapati minuman keras disimpan di premis tanpa lesen, menjurus kepada rampasan 196 botol di bawah undang-undang kecil tempatan.

Kedai tersebut kemudiannya diarahkan untuk menghentikan operasi dengan serta-merta disebabkan pengasingan minuman keras dan ringan yang tidak sesuai.

Di Batu Pahat, Majlis Perbandaran Batu Pahat di laman Facebooknya pagi ini, memaklumkan operasi khas pemeriksaan lima premis KK Supermart dan Superstore telah dilaksanakan pada 20 Mac, semalam.

Operasi itu diketuai oleh Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat bersama sembilan anggota yang turut membabitkan kakitangan daripada Majlis Perbandaran Batu Pahat.

Namun, pemeriksaan tersebut tidak menemukan sebarang barang yang menjadi kebimbangan, khususnya stoking yang tertera kalimah Allah.

Kompaun dikeluarkan kepada sebuah kedai atas kesalahan tidak memiliki lesen pengiklanan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Iklan (MPBP) 2010.

Sementara itu, serbuan sama turut dijalankan di daerah Muar semalam.

Menurut Sinchew Daily, lapan anggota dari pihak berkuasa agama tempatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan PDRM telah menggeledah dua cawangan KK Mart.

Serbuan tersebut berakhir juga tanpa penemuan sebarang stoking kontroversi tersebut.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkata, kecuaian bukanlah alasan bagi rangkaian kedai serbaneka untuk menjual stoking yang bertulis kalimah Allah.

Menurut baginda, isu tersebut mesti ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa, sama ada ia dilakukan dengan sengaja atau tidak, atau produk tersebut dihasilkan di dalam negeri atau di luar negeri.

“Tidak masuk akal untuk sebuah syarikat, yang menggaji penduduk tempatan, untuk tidak peka terhadap hal seperti ini.

“Kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum selama ini. Kesilapan berkaitan dengan kaum dan agama seperti ini tidak boleh diterima dan seharusnya tidak dibenarkan berlaku lagi,” titah Seri Paduka.

Minggu lepas, gambar stokin yang bertulis kalimah Allah yang dijual di cawangan KK Mart Bandar Sunway menjadi tular di media sosial.

Susulan kekecohan tersebut, KK Mart telah memohon maaf atas kecuaian pihaknya kepada pelanggan, khususnya kepada umat Islam. Mereka juga telah menghentikan penjualan produk tersebut.

Pembekal stokin tersebut, Xin Jian Chang Sdn Bhd juga telah membuat permohonan maaf dan menyatakan produk tersebut adalah sebahagian dari stok yang dibeli secara tidak sengaja dari pembekalnya dari China. MK

Serbuan di KK Mart Johor, satu diarah tutup, ada kena denda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bekas isteri Safee Sali dedah cerita sebenar

Mia Khalifa gaduh dengan Makcik Israel

Saya dah pindah ke Mongolia – Abby Abadi

Farhash rakan perniagaan Sultan Muhammad V

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker