Syor hentikan kemelut politik bawah naungan Agong perlu direalisasikan

Pada 6 September tahun lalu, sidang pengarang kumpulan akhbar terbesar tanah air, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), menyarankan semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dinaungi Majlis Raja-Raja untuk menamatkan kekalutan politik.

Walaupun saranan ini mendapat sokongan banyak pihak, malangnya ia tidak mendapat sambutan daripada parti politik. Namun, saranan ini kembali bernyala setelah Sultan Ibrahim Iskandar selamat melafazkan sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Januari lalu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.

Melalui lafaz sumpah ini, Sultan Ibrahim
berikrar dengan sesungguh dan sebenarnya mengaku akan taat setia menjalankan dengan adilnya bagi pemerintahan Malaysia mengikut sebagai mana undang-undang dan Perlembagaan disah dan dimasyhurkan pada masa hadapan ini.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula melafazkan ikrar akan mendukung sepenuhnya titah Sultan Ibrahim ingin melihat penerusan tadbir urus baik, telus, pemacuan ekonomi mampan serta pemberian sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat hidup rakyat.

Jika sebelum ini masih ada pihak cuba menggugat kestabilan Kerajaan MADANI, dengan bertakhtanya Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diyakini cubaan sebegini sendirinya terhenti secara automatik.

Hubungan baik Sultan Ibrahim dengan Anwar sudah diketahui umum. Dalam temu bual disiarkan The Straits Times pada 10 Disember lalu, baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubungi baginda untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.

Titah lain juga menunjukkan hasrat baginda sealiran dengan aspirasi Anwar dan Kerajaan MADANI, selain menghentikan amalan rasuah dan memburu semua orang korup yang juga aspirasi Anwar dan Kerajaan MADANI.



Ini termasuk badan kehakiman negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dipastikan benar-benar bebas, malah akan menjadi pemangkin kepada lebih cepat berlakunya reformasi institusi.

Seperti pernah dinyatakan Anwar , aspirasi beliau dan Kerajaan MADANI melaksanakan reformasi berhadapan rintangan akibat ketidaksetujuan pihak tertentu. Dengan dukungan kuat Sultan Ibrahim pastilah rintangan ini lebih mudah diatasi.

Hubungan baik Sultan Ibrahim, Anwar

Hubungan baik Sultan Ibrahim dengan Anwar dapat dilihat nyata apabila baginda antara Raja-Raja Melayu pertama yang beliau menghadap setelah diberi pengampunan diraja pada 16 Mei 2018 dengan sesi menghadap di Istana Pasir Pelangi itu berlangsung pada 21 Mei 2018.



Malah, apabila Anwar menjalani prosedur pembedahan tulang belakang dan bahu kanannya kerana ‘lumbar central stenosis’, baginda berkenan menziarahi beliau walaupun jauh di luar negara, iaitu di Hospital Medipol, Turki, pada 28 Julai 2018.

Setelah Anwar dilantik Perdana Menteri Ke-9 pada 24 November 2022, Sultan Ibrahim antara Raja-Raja Melayu pertama yang beliau menghadap di Kuala Lumpur, iaitu 27 November 2022.

Cubaan pihak tertentu menyerang Anwar kerana memakai kasut mewah ketika menerima kunjungan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, pada 28 November 2022 juga memakan diri apabila kasut itu dihadiahkan Sultan Ibrahim dua tahun sebelumnya.

Hubungan baik ini berterusan apabila Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap di Istana Bukit Serene pada 30 Disember 2022 dan Istana Bukit Pelangi (3 September 2023), malah baginda juga berangkat ke kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana pada 4 Februari 2023.



Dalam temu bual disiarkan The Star pada 23 Mac 2023, Sultan Ibrahim mengakui baginda dapat bekerjasama lebih baik dengan Anwar berbanding Perdana Menteri terdahulu kerana mereka berdua kerap berunding dan bertukar-tukar idea.

Dalam temu bual disiarkan Sin Chew Daily pada 27 Ogos 2023, Sultan Ibrahim bertitah mempunyai hubungan baik dengan Anwar: “Ada kalanya beliau meminta pandangan beta dan ada masanya beliau memberikan cadangan kepada beta.”

Dalam temu bual ini dan dalam temu bual The Straits Times pada 10 Disember 2023, Sultan Ibrahim bertitah supaya Anwar diberikan lebih banyak masa untuk meningkatkan ekonomi negara kerana faham cabaran kewangan dihadapi pentadbirannya.

Titah Sultan Ibrahim lagi, semua rakyat perlu memberi peluang kepada Anwar untuk membuktikan kemampuannya sebagai Perdana Menteri kerana tidak mungkin menukar negara dan membuat perubahan mendadak dalam hanya satu tahun.



Di sebalik semua ini, jika masih ada pihak cuba mengumpulkan akuan berkanun daripada Ahli Parlimen bagi menjatuhkan Anwar dan Kerajaan MADANI daripada tampuk kuasa, usaha mereka pastinya sia-sia jika tidak mengundang kemurkaan.

Perlu diingat, sewaktu belum menjadi Yang di-Pertuan Agong lagi, Sultan Ibrahim bertitah keras pada 3 Mei 2023 bahawa gerakan cuba menggagalkan kestabilan adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan negara di peringkat antarabangsa.

Titah dikeluarkan Sultan Ibrahim itu amat jelas dan tegas: “Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan.”

Lebih tegas lagi, titah Sultan Ibrahim pada 22 November 2023 bahawa keutamaan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong bukan menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat, sebaliknya 33 juta rakyat akan menjadi kepentingan dan keutamaan.



Bagi lebih menstabilkan keadaan, amat elok semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang merealisasikan saranan sidang pengarang kumpulan NSTP supaya mereka membuat MoU dinaungi Majlis Raja-Raja di bawah pimpinan Yang di-Pertuan Agong.

Dengan ini, rakyat tidak lagi terpaksa menghadapi kemelut politiking berpanjangan. MoU dibantu hubungan istimewa ini akan membolehkan rakyat menuai hasil terbaik apabila Kerajaan MADANI dapat fokus usaha memulih dan membangunkan negara.

Penulis adalah Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Skandal Spanco, siapa terbabit?

Cikgu Fadli bersara kerana tak mahu jadi tetamu biadab

Memang kami lepak dengan Hot Daddy

Saharul Ridzwan jual rumah pula

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker