Bersatu kian parah berpecah
Bersatu kian parah berpecah
Perpecahan dalam Bersatu hingga dikatakan wujud dua ‘kem’, didakwa makin parah dan mengundang kritikan ahli parti yang mempertikaikan apa keutamaan pucuk pimpinan.
Ia dikatakan bermula dengan episod empat ahli Parlimennya (MP) mengisytihar sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November tahun lalu, disusuli dua lagi dan terbaharu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.
Zulkafperi mengisytihar sokongan kepada Anwar pada Rabu lalu selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Jumaat lalu, Syed Abu Hussin mendakwa 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri menjelang pembukaan sidang Parlimen pada 26 Februari ini, iaitu lima dari utara, tiga dari Pantai Timur serta dua, masing-masing dari Selangor dan Melaka.
Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, langkah berkenaan kerana ahli Parlimen terbabit amat kecewa dengan parti, berasa tidak dihargai dan terjaga serta melihat parti tiada arah tuju yang jelas.
MPT Bersatu bermesyuarat malam tadi
Isu berkenaan dipercayai antara agenda mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu negara, malam ini.
Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu dari Selangor, ketika ditanya perkembangan semasa dalam parti, memberitahu BH, jika keadaan ketika ini berterusan, beliau berpandangan lebih baik mereka kembali menyertai parti asal.
“Dalam Bersatu, ada pemimpin menampakkan seperti mereka suci, jumpa akar umbi kata tak ada duit, minta semua berkorban, tetapi mereka sendiri ambil keuntungan. Saya lihat selagi ada orang lama ada, susahlah ahli baharu nak naik.
“Namun, itu hakikat dalam mana-mana pertubuhan, siapa pun naik, yang penting organisasi mesti sihat. Macam Umno, organisasi sihat, presiden kuat, ada hala tuju walau apa pun orang kata. Umno kini dalam kerajaan, bukankah itu bukti Umno kuat,” katanya.
Ada pemimpin didakwa jumpa PM
Beliau turut mendakwa, dimaklumkan ada perjumpaan membabitkan pemimpin kanan Bersatu dengan Anwar di kediaman Perdana Menteri malam tadi, tetapi tidak tahu tujuan pertemuan berkenaan.
Sementara itu, pemimpin Bersatu yang lain mendakwa, selain perjumpaan pemimpin tertentu dengan Anwar, ada juga desas-desus kemungkinan Datuk Seri Hamzah Zainudin digantikan sebagai setiausaha agung parti.
“Perpecahan dalam Bersatu makin parah, ada kemungkinan presiden lantik setiausaha agung baharu. Namun, presiden mungkin ambil langkah selamat dengan tolak dakwaan ada perpecahan dalam parti,” katanya.
Seorang pemimpin Bersatu dari Johor pula mempertikaikan pucuk pimpinan yang dilihatnya tidak meletakkan parti sebagai keutamaan, sebaliknya didakwa mengutamakan agenda peribadi sehingga mewujudkan ‘kem’ dalam parti.
“Ketika presiden mahu lepas jawatan semasa perhimpunan agung tahunan parti, mengapa yang lain tak bersuara, tegaskan perlu pertahan hala tuju parti. Sebaliknya mereka menangis sedih, kata sokong presiden, tapi kemudian ada gerakan untuk guling presiden,” katanya.
Dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2022 November lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti, tetapi ia ditolak secara sebulat suara dalam usul perhimpunan berkenaan.
Usul daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dibentangkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan disokong Hamzah.
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kemudian menarik balik hasratnya dan membuat keputusan untuk memegang jawatan berkenaan untuk satu penggal lagi yang dianggap terakhir.
Sokong Hamzah ganti Muhyiddin
Mengulas lanjut dakwaan perpecahan dalam Bersatu, pemimpin parti dari Johor itu, mendakwa ada ahli Parlimen Bersatu menyokong Hamzah menggantikan Muhyiddin dan yang lain mahu Ahli Parlimen Pagoh dikekalkan, semua kerana kepentingan masing-masing.
“Ada kerana kepentingan perniagaan, ada mahu selamatkan diri daripada pendakwaan jenayah. Ada juga kerana mahu kuasa dan kedudukan dalam parti,” dakwanya lagi.
Sementara itu, Syed Abu Hussin mendakwa, mereka yang mahu menyatakan sokongan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan, termasuk lima nama besar dalam Bersatu dan kini sedang mencari kaedah terbaik untuk berbuat demikian.
Beliau turut mempertahankan kenyataannya mengenai 10 Ahli Parlimen Bersatu yang didakwanya akan menyatakan sokongan kepada Anwar, iaitu tiga dari Kelantan dan Terengganu, lima dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang serta tiga dari Selangor dan Melaka.
“Bagaimana dan bila, biar mereka buat keputusan sendiri, sama ada mahu jumpa Anwar dulu atau tunggu persidangan Parlimen akan datang. Apa pun cara mereka, tunggu sahaja, mereka akan sokong kerajaan,” katanya. HM
Bersatu kian parah berpecah
Baca Artikel Menarik:
- Tertuduh kes Bella ditahan sejurus kembali dari umrah
- Polis buru suspek tembak kereta peronda
- Haikal didakwa bunuh Bella
- Kes hasutan Sanusi bukan rumit pun
- Remaja baling batu ke arah kereta di jalan
- ‘Sampai hati buang kucing dengan cara sekejam ini’ [VIDEO]
- Pemandu bas ditawar gaji sebanyak RM17,666 sebulan
- Mahathir mengeluh teruk jadi Tun
- Saya diperlakukan seperti penjenayah – Mahathir
- ‘Saya berdoa mereka ke neraka atau mereput dalam penjara’
- Berambus dari hidup aku – Zarina Zainuddin
- Penjawat awam kini hanya dilantik secara kontrak
- Mamat Exists didakwa ambil, miliki dadah Meth
- Kuasa itu singkat, isteri Daim beri ‘amaran’ kepada Anwar
- Ilmuwan Islam cipta peta pertama dunia
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.