Serangan paling ganas Israel

Serangan paling ganas Israel

“Kami tak perlukan wang, cukup sekadar doa untuk kesejahteraan buat saudara kami di sini dan buat kita semua,” kata rakyat Palestin, Dr Mohamad Kullab, 36, yang berada di Gaza.

Mohamad adalah warga Palestin bertanggungjawab menjaga sekolah pendidikan awal kanak-kanak diberi nama Afwa & Aafiyah di Gaza yang ditubuhkan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menerusi Yayasan Nurjiwa.



Dia berkata, sebelum ini dia mempunyai pilihan untuk bekerja di Malaysia yang harmoni namun memilih kembali ke Gaza untuk berbakti kepada anak bangsa sendiri.

“Mungkin (pulang ke Gaza) bukan pilihan terbaik tapi, saya tidak pernah menyesal, malah berbangga dengan tindakan ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kawasan persekitaran sekolah musnah dan sekolah itu turut mengalami kerosakan akibat serangan rejim Zionis yang dianggap paling ganas sejak konflik terbaru tercetus.

Mohamad berkata, dia memilih kembali ke Gaza untuk berbakti kepada anak bangsa sendiri.



“Saya tidak pernah menyesal,” katanya yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dia yang berkomunikasi dengan penulis melalui pengantara turut berusaha merakamkan keadaan sekolah jagaannya untuk tatapan rakyat Malaysia.

“Saya berada berhampiran sempadan Rafah, jadi masih dapat berhubung kerana ada talian internet namun terpaksa mematikan telefon untuk menjimatkan bateri.

“Rakyat Palestin kini sangat memerlukan sokongan moral dan doa umat Islam seluruh dunia.



“Tolong perbanyakkan Qunut Nazilah dan setakat ini kami masih bertahan walaupun hidup dalam ketakutan,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya makan roti yang disimpan sejak beberapa hari lalu selepas bekalan makanan terputus.

“Selain makanan, bekalan ubat-ubatan juga tidak dapat masuk kerana pintu sempadan sudah musnah.

“Sempadan Rafah sudah musnah, semua bekalan tidak dapat masuk sama ada dari negara asing atau pihak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dalam atau luar Palestin sendiri,” katanya.



Sementara itu, seorang wanita Palestin sempat mengirimkan teks terakhir kepada penulis sebelum terputus hubungan.

Dia yang enggan nama disiarkan berkata, dia dan anak-anaknya kini berlindung di sekolah milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, rakyat Malaysia diminta jangan melayan permintaan individu di laman sosial yang mahu mengutip wang untuk menghantar bekalan makanan segera kepada rakyat Palestin.

“Itu semua pembohongan kerana kami tidak dapat menerima sebarang makanan dari luar setakat ini. Tolong hentikan, kami hanya perlukan doa dan sokongan moral.



“Jika ada kutipan untuk penghantaran bantuan selepas keadaan reda mungkin ia sesuatu yang logik, jika ia bantuan segera tolong hentikan ia satu pembohongan,” katanya.

Siti Nurhaliza sentiasa pantau perkembangan

“Setakat hari ini, kami sentiasa memantau perkembangan di Gaza dan apa yang dimaklumkan kepada kami, masjid yang tidak jauh dari kawasan sekolah, kini sudah musnah. Saya berharap agar sekolah serta anak-anak kami akan dilindungi Allah dari musnah dan terkorban,” kata Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, mengenai Sekolah Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin yang dibukanya menerusi Yayasan Nurjiwa bersama suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K.

Siti berkata, sahabat Datuk K iaitu Dr Mohamad Kullab yang menjadi tulang belakang untuk menguruskan sekolah itu sentiasa menghantar gambar dan video untuk memberitahu perkembangan di Gaza.



“Setakat hari ini, saya belum menerima berita sama ada, ada anak-anak yang terkorban. Saya difahamkan, kawasan yang musnah tidak jauh dari sekolah itu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Siti berkata, dia juga terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang terus menerus menghulurkan sumbangan kepada tabung yang ditubuhkan, Nurjiwa Foundation bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan akibat perang.

“Alhamdulillah, sejak saya muat naik mengenai tabung ini di media sosial, saya sangat terharu kerana rakyat Malaysia begitu prihatin.

“Dari hari ke hari, kutipan yang diperoleh melebihi RM10,000 setiap hari.

“Kami tidak menunggu lama untuk memberikan bantuan kerana apa yang harus kita lakukan agar segera berusaha membantu atas apa jua keperluan dan sampai ke sana,” katanya.

Siti juga berdoa agar rakyat negara itu terus dilindungi dan menyeru agar masyarakat Malaysia bersama-sama menitipkan doa serta menyumbangkan pelbagai bentuk bantuan. HM

Serangan paling ganas Israel

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kahwin wanita Kazakhstan tak perlu wang hantaran – Fadlan Hazim

Adik lelaki bongkar Shila Amzah jual rumah sebab duit

Jangan nanti malaikat maut pun kau maki

GV10: Sah Elly Mazlein undur diri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker