Ziela Jalil kena sabotaj?

Ziela Jalil kena sabotaj?

Dari getar suara di hujung talian tatkala ditanya mengenai kedudukan syarikat produksi, Pena Creative Pictures Sdn Bhd yang diasaskannya, jelas tergambar perasaan bercampur baur yang sukar diterjemah.

Barangkali penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Ziela Jalil sudah penat dengan apa yang berlaku. Bukan sekali dua, malah, sudah terlalu kerap beliau meluahkan perasaan apabila masih belum diberi rezeki menghasilkan drama bagi siaran stesen televisyen (TV), namun, hasilnya tetap sama.



Meskipun banyak kertas kerja yang dihantar, namun, sehingga kini, tiada satu pun naskhah yang ‘tersangkut’ atau diluluskan untuk digerakkan proses penerbitannya.

Enggan membiarkan fikiran kusut dan diri terus dibelenggu persoalan yang tidak tahu jawapannya, Ziela tidak lagi mahu memikirkan soal itu. Beliau meletakkan segala-galanya kepada takdir.

“Buat sementara waktu ini, saya tak mahu fikir soal itu (terbit drama). Saya hanya mahu menjalani kehidupan hari ini untuk hari ini tanpa perlu fikir apa yang akan berlaku esok.

“Saya hanya mahu hidup dengan aman. Segala perasaan sedih dan kecewa sudah saya buang jauh. Apa sahaja yang berlaku pada masa hadapan, saya hanya bertawakal pada Yang Maha Esa.



“Biarlah Allah yang atur segala-galanya. Dunia hari ini sudah cukup memberi bebanan dan saya tak mahu menambahkan lagi tekanan dengan perkara yang boleh mengusutkan fikiran,” luahnya kepada BH Online.

Kali terakhir produksi milik Ziela menghasilkan karya adalah menerusi drama rantaian popular, 7 Hari Mencintaiku.

Ditanya apakah situasi sukar yang dihadapinya ada kaitan dengan sabotaj mana-mana pihak, Ziela atau nama sebenar, Norzilah Abdul Jalil, enggan bersangka buruk, sebaliknya, menyifatkannya sebagai bukan rezeki.

“Saya tak hendak sentuh atau cakap mengenai perkara itu (sabotaj). Saya anggap belum rezeki. Situasi ini mengingatkan saya kepada pesanan seorang agamawan.



“Katanya, kalau hendakkan sesuatu, mintalah dengan Allah. Jangan berharap pada makhluk kerana kalau permintaan itu tidak ditunaikan, kita akan kecewa,” katanya.

Mengulas dakwaan syarikat produksinya ‘gulung tikar’ selepas sudah lama tidak lama beroperasi, Ziela menafikan perkara itu.

“Syarikat itu masih ada, cuma ia tidak berfungsi kerana tidak ada aktiviti penggambaran yang dilakukan sejak lima tahun lalu.

“Buat masa ini, saya tidak ada perancangan menerbitkan drama.



“Fokus saya ketika ini adalah untuk keluarga. Lebih kurang sebulan dari sekarang, saya akan pergi menziarah anak bongsu saya, Ibrahim yang belajar agama di Yaman.

“Saya akan ke sana bersama anak lelaki dan suami.

“Sekembalinya ke Malaysia tahun depan, saya akan buat apa-apa kerja yang patut sebelum kembali ke Yaman pada Ramadan. Selepas itu, saya akan ke Ireland, untuk ziarah anak perempuan, menantu dan cucu di sana.

“Hanya selepas itu barulah saya fikirkan mengenai hala tuju serta masa depan produksi ini. Buat masa ini, saya hanya mahu tenang-tenang sahaja dan jalani kehidupan seharian dengan sebaiknya,” ungkap pelakon filem Mr Os dan Perawan Malam ini.



Terdahulu, menerusi temu bual bersama sebuah portal, Ziela berkongsi kekecewaan apabila kurang mendapat tawaran menerbitkan drama daripada stesen TV, sejak lima tahun lalu.

Terkilan dengan sikap stesen yang seakan tidak menghargai hasil kerja syarikatnya itu, Ziela mengambil keputusan untuk menghentikan seketika operasi Pena Creative Pictures.

Mula menceburkan diri dalam bidang lakonan melalui filem komedi, Mr Os arahan AR Badul pada 1987.

Pernah membintangi filem kerjasama dengan penerbit Indonesia seperti Tarzan Rimba, Pancasona, Jurus Dewa Naga dan Pendekar Mata Satu. BH



Ziela Jalil kena sabotaj?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Peminat mahu Kak Lina Pom Pom kembali, Elly Mazlein tak gedik

Ira Kazar terima kifarah – Nur Nilam

Jiggy komen pakaian renang Dhabitah

Tuah wajah iras Mira Filzah dapat watak utama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker