Kerap babit model baharu

Kerap babit model baharu

Apa faktor yang menyebabkan kenderaan model baharu boleh terbakar mendadak termasuk ketika sedang dipandu?

Persoalan itu timbul susulan kekerapan kes kenderaan terbakar yang dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejak seminggu lalu.



Terbaharu, sebuah pacuan empat roda model Toyota FJ Cruiser terbakar mendadak ketika diletakkan di parkir pusat beli-belah di Mutiara Damansara di sini, jam 4 petang kelmarin.

Jurucakap JBPM berkata, kebakaran membabitkan bahagian papan pemuka kenderaan yang memusnahkan 15 peratus bahagian hadapan kenderaan itu.

“Pada hari sama, sebuah kereta model Proton Preve turut dilaporkan terbakar di Jalan Sungai Renggam Taman Berjaya, Shah Alam. Kebakaran membabitkan bahagian fuse box sebelum anggota bomba berjaya memadamkan api.

“Sebelum itu sebuah kenderaan Utiliti Sukan (SUV) model Proton X70 dikesan terbakar di Jalan Soket 15/20, Seksyen 15, Shah Alam. Kebakaran menyebabkan 90 peratus kenderaan itu musnah dan api berjaya dipadamkan pada jam 12.20 tengah malam Khamis lalu,” katanya.



Menurutnya, sehari sebelum itu, sebuah kereta model BMW turut dilaporkan terbakar mendadak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

“Dalam kejadian jam 9.28 malam, Rabu lalu, kebakaran dikesan bermula pada bahagian enjin sebelum memusnahkan 70 peratus bahagian kenderaan itu.

“Sehari sebelum itu sebuah kenderaan Proton Exora turut musnah terbakar 100 peratus berhampiran Jalan Ampang, Bukit Langat, Selangor,” katanya.

Katanya, semua kebakaran itu berjaya dipadamkan anggota bomba dan penyelamat yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.



“Punca sebenar semua kejadian masih disiasat oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM,” katanya.

‘Mudah terbakar jika buat pendawaian tambahan’

Litar pintas dikesan menjadi punca utama kebanyakan kereta terbakar apabila terbabit dengan kemalangan.

Bekas Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia dan kini Penasihat DIMD Automotif Consultant, Datuk Ir Mohamad Dalib berkata, kebakaran mudah tercetus terutama jika kenderaan itu ada melakukan pendawaian tambahan yang tidak mengikut spesifikasi standard ditetapkan pengeluar.



“Model standard dari kilang dipasang dengan pendawaian dari fius yang mengikut spesifikasi ditetapkan undang-undang dalam memastikan keselamatan aliran tenaga elektrik kenderaan jika berlaku kemalangan.

“Namun kebanyakan pemilik gemar melakukan pendawaian tambahan sendiri dan tidak mengikut prosedur betul terutama ketika memasang aksesori. Ini membolehkan kenderaan terbakar jika berlaku kemalangan,” katanya.

Menurutnya ada juga kes berpunca pembuangan puntung rokok dalam kenderaan menyebabkan kenderaan boleh terbakar.

“Kereta tidak boleh terbakar sendiri tanpa ada punca atau sebab yang menyebabkan ia terjadi.



“Selain itu, kebanyakan model baharu terutama dengan enjin bantuan tenaga hibrid mempunyai ciri keselamatan yang tinggi terutama jika berlaku kemalangan. Ia akan memutuskan (cut-off) aliran elektrik daripada kereta untuk mengelakkan kebakaran.

“Terdapat banyak sel pek bateri yang terdapat dalam bateri hibrid yang memungkinkan berlaku litar pintas sekiranya tiada cut-off dan ini perlu difahami pemilk kenderaan.

“Pihak pengeluar kenderaan perlu menerangkan secara terperinci bagaimana enjin hibrid atau mana-mana jenis trenkuasa ini berfungsi. Langkah ini bagi membolehkan pemilik kenderaan lebih memahami dan dapat mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Tambahnya, kawasan bateri hibrid itu harus tidak diletakkan barang yang sensitif yang memungkinkan berlakunya aliran kuasa elektrik positif (+VE) sekali gus boleh mengakibatkan objek plastik cair dan terbakar. HM



Kerap babit model baharu

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10, gegar segala gegar

Jangan tayang suami kalau takut disondol – Che Ta

Saya bukan orang ketiga antara Nafiez dan Fify – Neera

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker