Cekup dalang bikin filem Mentega Terbang

Cekup dalang bikin filem Mentega Terbang

Dalam menyambut baik perintah larangan terhadap tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang seperti diwartakan kerajaan sejak 1 September lalu, pelbagai pihak menggesa tindakan diambil terhadap ‘dalang’ di sebalik pembikinan naskhah kontroversi itu.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Hafiz Nafiah, berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) wajar mengambil tindakan susulan berikutan pembikinan Mentega Terbang melanggar batas penerbitan filem di Malaysia.



“Saya gesa FINAS ambil langkah seterusnya dengan menggantung syarikat penerbitan filem Mentega Terbang mengikut undang-undang.

“Saya setuju apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem ini. Tetapi, apa pula tindakan kepada syarikat dan individu terbabit?

“Jadi, untuk tindakan selanjutnya, mungkin FINAS boleh haramkan syarikat ini. Apabila tindakan ini diambil, ia jadi penanda aras supaya tiada lagi produksi lain melakukan perkara sama.

“Jika masih ada yang buat, maka, itulah kesan mereka terima. Garis panduan sudah ada, cuma tindakan selanjutnya perlu diambil kerana perkara ini sudah berlaku berulang kali.



“Bukan filem Mentega Terbang sahaja, ada lagi filem lain yang menyentuh sensitiviti Islam ini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan dilapor mewartakan perintah larangan terhadap penayangan filem kontroversi Mentega Terbang di seluruh negara.

Warta bertarikh 1 September lalu menerusi Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 itu turut mencakupi larangan pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem.

Warta itu ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 21 Ogos lalu.



Berdasarkan warta itu, jadual yang dimaksudkan merujuk kepada tajuk filem iaitu Mentega Terbang, arahan Khairil Anwar Jailani, terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment.

Filem Mentega Terbang menyentuh perbezaan dan persamaan agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di platform dalam talian.

Malah, tular sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak tular itu mengundang kemarahan warga maya yang mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.



Hafiz berkata, filem Mentega Terbang boleh menjejaskan keharmonian sesama masyarakat di negara ini.

“Saya secara konsisten tidak bersetuju dengan filem Mentega Terbang ini sejak awal lagi. Saya yakin banyak lagi kandungan atau isu yang boleh diangkat untuk menjadikan filem atau sesebuah cerita yang boleh memberikan kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyambut baik perintah larangan tayangan filem Mentega Terbang biarpun tindakan itu sepatutnya diambil sejak awal lagi.

“Saya setuju dengan pengharaman filem Mentega Terbang. Namun, mengapa ambil masa begitu lama? Disebabkan keputusan mengharamkan filem ini sedikit lambat, jadi, mungkin sudah ramai yang menonton.



“Bagaimanapun, saya bersetuju dengan langkah itu kerana ia mengekang daripada terus berleluasa,” katanya.

Nadzim berkata, sebagai langkah mengelak masalah sama berulang, mana-mana filem dikeluarkan perlu menjalani proses tapisan awal dengan betul.

“Mungkin KDN perlu teliti langkah yang lebih efisien dalam soal penapisan filem pada peringkat awal supaya isu begini tidak berulang.

“Sebagai pengajaran untuk produksi filem ini, mungkin perlu diambil tindakan daripada segi undang-undang. Perlu siasat sama ada filem itu diterbitkan dengan berniat jahat atau tidak.



“Jika sabit kesalahan, maka beri hukuman yang dirasakan sesuai,” katanya.

Nadzim berharap penggiat filem lebih peka dalam berkarya dan menetapkan matlamat yang menepati garis panduan sewajarnya agar tidak timbul lagi isu sama.

“Selepas ini, kalau boleh tiada lagi filem yang menyentuh pasal sensitiviti umat Islam di negara ini. Selain itu, setiap filem dihasilkan perlu ada matlamat yang ingin dibawa.

“Jika matlamat mereka untuk membuat orang ramai sakit hati atau berpotensi menjejaskan hubungan sesama kaum, maka ia tidak wajar ditayangkan,” katanya. BH

Cekup dalang bikin filem Mentega Terbang

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kak KM maki suami langgar kereta kesayangan? (Video)

Abah pilih dia ceraikan mak dan anak-anak sekali

Azhar Ali kembali ‘Scam’ jadi Perdana Fellow Di MITI?

Aisar Khaled payung ‘rider makanan’ motosikal baharu selepas motorsikal lama disita JPJ [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker