Ketua Pemuda UMNO layak sertai kabinet Kerajaan Perpaduan

Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena mencadangkan agar Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh disenaraikan dalam barisan kabinet Kerajaan Perpaduan sekiranya berlaku rombakan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu layak menganggotai kabinet kerana beliau mempunyai pengalaman, pengetahuan dan visi yang mampu menyumbang kepada pembangunan Malaysia Madani dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, proses pemilihan anggota kabinet seharusnya dilakukan secara telus dan berdasarkan kebolehan serta potensi individu yang terbaik bagi mewakili pelbagai segmen masyarakat.

“Ini bagi memastikan kabinet Malaysia Madani mempunyai kepelbagaian pandangan dan kemahiran yang diperlukan untuk berdepan cabaran semasa dan masa depan.

“Muhammad Akmal dikenali sebagai pemimpin muda yang berwibawa, berani dan berintegriti. Terbaharu, beliau menunjukkan komitmen tinggi kepimpinan dalam menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan dengan menerjah kilang-kilang beras yang enggan mengeluarkan beras tempatan pada harga ditetapkan,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Farhan berkata, sebagai seorang pemimpin muda yang berpengetahuan dan berdedikasi, Muhammad Akmal telah membuktikan dirinya dalam perpaduan nasional dan kemajuan ekonomi Malaysia.

“Selaku Exco kerajaan negeri Melaka yang bertanggungjawab dalam portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, beliau menunjukkan kebolehan untuk merentasi perbezaan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam mencapai matlamat bersama.

“Sokongan beliau terhadap program-program sosial dan ekonomi yang membantu golongan kurang bernasib baik mengukuhkan kehadiran UMNO sebagai parti yang peduli terhadap kebajikan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Muhammad Akmal mempunyai latar belakang pendidikan sebagai doktor perubatan selain ahli politik yang aktif memperjuangkan isu-isu semasa seperti peruntukan kepada sekolah persendirian Cina, kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi.

“Beliau juga telah menunjukkan kesediaan menyokong reformasi dalam sistem politik dan pentadbiran negara, malah mempunyai visi jelas tentang bagaimana untuk membawa perubahan positif melalui pemikiran segar dan pendekatan inovatif,” ujarnya.

Mohd Farhan percaya sikap Muhammad Akmal yang berpegang kepada nilai rekonsiliasi yang sangat penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini memberi kelebihan untuk beliau berkhidmat dengan cemerlang.

“Revitalisasi institusi-institusi penting akan memastikan Malaysia terus relevan dalam era global yang berubah dengan cepat. Kita memerlukan individu seperti beliau untuk memacu pembangunan negara,” jelasnya.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan rombakan kabinet bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan akan berlaku dalam masa terdekat.

Antara sebabnya berlaku kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Perdana Menteri dijangka mengumumkan rombakan kabinet sejurus mempengerusi mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Portal berita tersebut memetik sumber rapat kepada Pejabat Perdana Menteri mendakwa beberapa kementerian bakal menyaksikan pelantikan baharu serta pertukaran portfolio.

Namun pada Selasa, Anwar menegaskan belum mempunyai keputusan berhubung rombakan kabinet seperti diperkatakan dan menjelaskan tujuan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara adalah sempena mesyuarat prakabinet seperti kebiasaan.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Peminat mahu Kak Lina Pom Pom kembali, Elly Mazlein tak gedik

Ira Kazar terima kifarah – Nur Nilam

Jiggy komen pakaian renang Dhabitah

Tuah wajah iras Mira Filzah dapat watak utama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker