Sijil halal Jakim, 72 peratus milik syarikat bukan Islam

 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendedahkan hampir 72 peratus atau 165,026 daripada keseluruhan 229,204 produk yang mempunyai sijil halal di negara ini dimiliki oleh syarikat bukan Islam dan hanya 37,466 produk bumiputera.

Angka tersebut adalah untuk tempoh dari tahun 2021 hingga 10 April 2023.



Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim, Mohamad Zamri Mohamed Shapik berkata, pada tahun ini sahaja sehingga 10 April lalu terdapat 21,448 produk milikan bukan bumiputera yang mempunyai status halal Jakim berbanding 8,341 produk bumiputera.

Berdasarkan angka terkini pemegang pensijilan halal dikeluarkan Jakim, Mohamad Zamri menjelaskan hanya 41 peratus usahawan bumiputera Islam yang berminat mendapatkan sijil penting berkenaan.

“Syarikat bukan bumiputera lebih berminat mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berbanding syarikat milikan bumiputera disebabkan mereka menyedari signifikasi sijil berkenaan dalam memastikan produk dikeluarkan memenuhi piawaian halalan toyyiban yang diperlukan pengguna Islam,” katanya kepada Sinar Premium.

Untuk rekod berakhir pada 31 Disember 2022, sebanyak 7,742 syarikat menjadi pemegang pensijilan halal Malaysia dengan 59 peratus daripadanya adalah syarikat bukan bumiputera.



Menurut Mohamad Zamri, jumlah produk halal bumiputera masih rendah antaranya disebabkan penglibatan kaum bumiputera dalam sektor ekonomi dan perniagaan di negara ini masih belum mampu menyaingi bukan bumiputera.

Mengulas lanjut, Mohamad Zamri berkata, terdapat peningkatan yang ketara dalam pemilikan sijil halal bagi produk milikan bukan bumiputera daripada 68,686 pada tahun 2021 kepada 74,892 pada tahun 2022.

“Peningkatan tersebut menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin pulih dan industri halal semakin baik berbanding tahun 2021 ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Kita lihat industri halal lebih produktif dalam menghasilkan produk di samping menyedari keperluan pensijilan halal sebagai suatu permintaan yang tinggi bagi menembusi pasaran dalam dan luar negara,” katanya.



Terdapat 104,017 produk yang disahkan halal oleh Jakim pada tahun 2022, 29,125 adalah produk milik bumiputera.

Pada tahun 2021 pula, terdapat sebanyak 95,398 produk yang mempunyai pensijilan halal Malaysia iaitu 68,686 milik bukan bumiputera manakala 26,712 adalah milik bumiputera.

Bagaimanapun, penyertaan kaum bumiputera dalam sektor perniagaan dilihat meningkat saban tahun dan turut menyumbang kepada peningkatan permohonan SPHM dalam kalangan usahawan bumiputera.

“Dahulu hanya 30 peratus usahawan bumiputera yang mempunyai sijil pengesahan halal daripada Jakim.



“Kini, kesedaran untuk mendapatkan pensijilan halal dalam kalangan usahawan bumiputera bertambah 11 peratus lagi kerana kualiti SPHM mampu membawa produk mereka pergi jauh di pasaran domestik mahupun antarabangsa,” jelas Mohamad Zamri.

Tambahnya, Jakim sentiasa mengalu-alukan usaha para peniaga kecil untuk memohon SPHM bagi meningkatkan jumlah pemegang sijil itu dalam kalangan industri bumiputera.

“Antara inisiatif yang telah digerakkan oleh Jakim adalah berkolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan yang menjadi pembimbing usahawan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Kecil Getah (Risda), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia (MARDI), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Bermula 2023, promosi pensijilan halal Malaysia turut digerakkan melalui program Klinik Halal Malaysia yang dilaksanakan setiap tiga bulan,” jelas beliau.



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lebai berkopiah suka layan ‘ucapan lucah’, Dr. Maszlee bidas totok PAS



Pemain Bola Sepak Didakwa Belasah Teman Wanita Dalam Bilik Hotel

Remaja diseksa dan dipaksa berbogel

Komplot jahat doktor pakar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker