Rizalman saman fitnah dua pelakon

Rizalman saman fitnah dua pelakon

Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar memfailkan saman fitnah terhadap dua beradik bekas adik iparnya yang juga pelakon, Tengku Sariza Tengku Mohd Muzani atau Kuza dan Tengku Sariwani atau Kunie.

Saman difailkan di Mahkamah Sesyen di sini, 8 April lalu, melalui firma guaman, Tetuan Adnan Sharida & Associates selepas tular dakwaan bahawa kakak mereka, Tengku Sarina atau Kuna tidak dibenarkan bergambar dengan tetamu kehormat pada satu majlis perkahwinan kerana berstatus janda.

Selain Rizalman, 51, turut menjadi plaintif dalam saman fitnah itu ialah anak lelakinya, Nik Muhammad Hakimi, 27, iaitu anak sulung hasil perkahwinan ketua UMNO bahagian itu dengan Kuna sebelum bercerai pada 2001.

Writ saman itu menamakan Kuza dan Kunie, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Rizalman yang juga Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan dan Nik Muhammad Hakimi mendakwa Kuza dan Kunie mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka melalui laman sosial Instagram dan TikTok sekitar Februari lalu.

Kenyataan yang dikatakan fitnah itu dikatakan berkaitan dengan Kuna pada majlis perkahwinan Nik Muhammad Hakimi dengan anak Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada 17 Februari lalu.

Sehari sebelum majlis persandingan, satu raptai diadakan memandangkan tetamu jemputan kehormat majlis sebenar turut membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Pada majlis raptai itu, Kuna turut dijemput untuk persiapan majlis, namun selepas raptai selesai, pihak pengantin dimaklumkan oleh pihak Istana Negara, hanya dua wakil bagi setiap keluarga dibenarkan berada dalam bilik menunggu yang menempatkan pasangan diraja bagi tujuan bergambar.

“Plaintif pertama (Rizalman) memilih untuk hadir dengan isteri, Datin Syazlina Bahardin, menyebabkan plaintif kedua (Nik Muhammad Hakimi) terpaksa memaklumkan ibu kandungnya, Kuna tidak boleh hadir bersamanya ke bilik menunggu.

“Ia bagi mengelakkan percanggahan protokol berkenaan sesi penggambaran yang ditetapkan oleh Istana Negara. Apatah lagi, ia bukan majlis sebelah plaintif, sebaliknya majlis pengantin perempuan.

“Selepas plaintif kedua memohon maaf sebagai tanda hormat dan memaklumkan perkara itu, Kuna memberitahu plaintif kedua melalui nota suara WhatsApp, beliau terima ketetapan itu dan tiada sebarang masalah atau pertikaian timbul pada malam 16 Februari lalu,” kata penyataan tuntutan itu.

Pada majlis diadakan 17 hingga 19 Februari, Kuna ditempatkan semeja dengan Rizalman dan isterinya, selain Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan isteri, Timbalan Menteri Pertahanan bersama isteri dan beberapa kenamaan lain.

Kuza dan Kunie juga hadir dan ditempatkan di meja kenamaan serta diberi layanan istimewa selaku keluarga terdekat plaintif kedua.

Bagaimanapun, pada 26 Februari lalu, Kunie didakwa mengeluarkan kenyataan di Instagram miliknya mempertikaikan mengapa kakaknya, Kuna tidak dibenarkan berada di bilik menunggu bersama kenamaan lain dan mendakwa kejadian itu kerana pelakon berkenaan berstatus janda.

Kenyataan itu turut disokong oleh Kuza yang mengeluarkan komen didakwa berbaur fitnah di bahagian komen dan turut mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur fitnah di laman Instagram miliknya sendiri.

Kunie juga didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah melalui video yang diterbitkan di laman Instagram miliknya dan video sama disiarkan semua di laman Instagram milik Kuza.

Sehubungan itu, Rizalman dan Nik Muhammad Hakimi memohon perintah injunksi dikenakan terhadap Kuza dan Kunie bagi menghalang mereka atau ejen-ejen dua beradik itu mengeluarkan atau menerbitkan semula kenyataan fitnah itu dalam apa jua bentuk dan medium.

Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai.

Semakan pada sistem mahkamah mendapati saman fitnah itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Jun ini. BH

Rizalman saman fitnah dua pelakon

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Putri Ariani Di America’s Got Talent Bikin Meremang (Video)

Saya akan dedahkan apa dihisap Khairy minggu depan – Bung

Artis hamilkan anak orang

Durian duri hitam dijual RM98 1 kilogram di Vietnam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker