Tajaan biasiswa JPA dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi dihentikan

Stressed tired healthcare worker sitting on floor

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menghentikan penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi, berikutan bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai pada 2025.

Katanya, bekalan pegawai perubatan pada tahun 2021 dicatatkan berjumlah 72,812, berbanding permintaan iaitu berjumlah 70,721.

“Bekalan pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan memenuhi keperluan permintaan masing-masing pada tahun 2025 dan 2029.

Dalam hal ini, pelajar dalam tanggungan JPA tetap akan ditaja sehingga tahun 2027,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddon Wan Jan (PN-Tasik Gelugor) berhubung alasan kenapa kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi:

Armizan berkata, dijangkakan seramai 1,774 pelajar perubatan tajaan JPA akan menerima pengijazahan pada tahun 2023 dan diikuti oleh 69 pelajar pergigian serta 296 pelajar farmasi.

Katanya, seramai 2,029 pelajar perubatan, 68 pelajar pergigian dan 184 pelajar farmasi yang lain, akan menerima pengijazahan mulai tahun 2024 hingga 2027.

“Statistik ini bukti komitmen JPA dalam menaja pelajar walaupun akan berlakunya kebanjiran pegawai perubatan mulai tahun 2026 hingga 2030.

“Prinsip penajaan JPA menekankan penyerapan pelajar tajaan ke dalam perkhidmatan awam menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya.

Tambahnya, dalam hal itu, kajian yang dilaksanakan KKM mendapati terdapat kesukaran untuk menyerap keseluruhan pelajar perubatan tajaan kerajaan ke dalam perkhidmatan awam.

“Melalui langkah ini juga, JPA dapat memberikan penajaan lebih efektif kepada lebih ramai pelajar dalam bidang yang lain.

“Sebagai makluman, kos penajaan seorang pelajar perubatan adalah bersamaan dengan kos penajaan untuk 10 pelajar dalam bidang yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Armizan, berkata pelajar bidang perubatan boleh mendapatkan pembiayaan pengajian daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tanpa ikatan kontrak berkhidmat.

“Ini memberikan ruang dan fleksibiliti kepada pelajar perubatan dalam pemilihan institusi pekerjaan dan pelanjutan pengajian dalam bidang kepakaran pada masa akan datang,” katanya.

VIDEO BERKAITAN

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lebai berkopiah suka layan ‘ucapan lucah’, Dr. Maszlee bidas totok PAS

Pemain Bola Sepak Didakwa Belasah Teman Wanita Dalam Bilik Hotel

Remaja diseksa dan dipaksa berbogel

Komplot jahat doktor pakar

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker