Kisah penyondol hangatkan drama Melur Untuk Firdaus 2

Kisah penyondol hangatkan drama Melur Untuk Firdaus 2

Lebih santai dan tidak lagi terikat dengan novel, drama Melur Untuk Firdaus yang pernah mencetuskan fenomena sehingga ke Indonesia dan meraih 11 juta tontonan tahun lalu, kembali dengan musim kedua.

Mula menemui penonton sejak 16 Mac lalu menerusi slot Akasia TV3, naskhah yang meraih Drama Adaptasi Novel Terbaik dan Pasangan Drama Terbaik menerusi Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 itu menggandingkan bintang baharu, Anna Jobling dan Meerqeen selaku teraju utama yang kali ini tidak lagi bergantung kepada novel.



Pengarah, Zamri Zakaria, berkata jalan cerita drama sebanyak 35 episod itu menampilkan idea segar daripada Wan Mahani Wan Hassan.

Katanya, bergenre romantik komedi, drama itu lebih santai dan tidak terlalu serius, malah peminat setia drama yang berjaya mencetuskan fenomena itu bakal melihat kematangan Melur dan Firdaus dalam melayari rumah tangga.

Bukan mudah mencipta jalan cerita baharu. Lebih lagi, demi memastikan adanya kesinambungan cerita antara musim pertama dan kedua.

“Jadi, pasukan produksi bersama dengan stesen televisyen (TV) gigih berbincang bagaimana menarik penonton supaya melekat dengan jalan cerita untuk musim kedua sejak Oktober tahun lalu.



“Semestinya, tarikan drama ini pada ‘pick-up’ line digunakan. Tujuan hanyalah ingin penonton terhibur,” katanya kepada BH Online.

Zamri berkata, penggambaran drama dimulakan pada Januari lalu, namun watak ‘penyondol’ rumah tangga pastinya menambahkan kehangatan jalan cerita.

Bagaimana, Zamri menafikan ia sengaja diselitkan berikutan situasi industri seni yang kini kecoh dengan kisah ‘penyondol’.

Katanya, ia terjadi secara kebetulan kerana proses menyiapkan skrip dibuat lebih tiga bulan lalu ketika kisah ‘penyondol’ masih belum hangat diperkatakan.



“Watak ‘penyondol’ perlu ada dalam drama untuk menghangatkan jalan cerita, tetapi tiada kena langsung dengan situasi berlaku sekarang.

“Cuma, drama ini ditayangkan ketika isu ‘penyondol’ hangat diperkatakan, jadi mungkin tepat pada waktunya,” kata Zamri.

Sementara itu, hero kegilaan ramai, Meerqeen akur sekiranya drama Melur Untuk Firdaus 2 tidak berjaya mengukir kejayaan seperti musim lalu.

Katanya, dia sedar ramai meletakkan piawaian tinggi untuk drama itu.



“Saya tahu ramai meletakkan harapan tinggi untuk musim kedua, tetapi sekiranya tidak berjaya melakar kejayaan seperti musim pertama, tidak mengapa kerana kami sudah meletakkan 500 peratus usaha pada musim lalu,” katanya.

Anna pula tidak meletakkan harapan kerana melakukannya hanya untuk peminat.

“Kami tidak meletakkan apa-apa harapan sejak musim pertama, begitu juga musim kedua. Kami melakukannya untuk peminat dan ia satu keseronokan buat saya.

“Saya bersedia dikecam penonton, saya jayakan drama ini untuk peminat memberikan sokongan tak berbelah bahagi kepada kami.



“Mereka tidak suka atau ‘geli’ untuk menonton drama ini, tidak perlulah tonton. Ini kerana kami hasilkan untuk mereka yang memang hendak tengok,” katanya.

Drama Melur Untuk Firdaus 2 menemui penonton antara Khamis hingga Jumaat, jam 7 malam, manakala khas untuk bulan Ramadan ini, slot Akasia akan disiarkan antara Isnin hingga Ahad, jam 7 malam, bermula 20 Mac lalu.

Ia juga boleh distrim langsung dalam HD di Disney+ Hotstar.

Selain Anna dan Meerqeen, drama ini turut dibarisi Eyka Farhana, Azim Yusof, Fimie Don, Haleeda, Hairi Safwan, Taib Zamannuri dan Zainon Ismail. BH



Kisah penyondol hangatkan drama Melur Untuk Firdaus 2

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tak rasa bersalah ke jadi penyondol?

Farid Kamil, jumpa di mahkamah – Syamsul

Ramadhan telah tiba, jangan lakukan 10 perkara ini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker