Kanak-kanak 4 tahun maut tertinggal dalam kereta hampir 10 jam

Seorang kanak-kanak perempuan 4 tahun meninggal dunia selepas hampir 10 jam tertinggal dalam kereta bapanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu hanya disedari bapa mangsa yang berumur 30-an ketika hendak pulang ke rumah dari tempat kerjanya pada 6.20 petang.

“Sebelum kejadian, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori itu menghantar kakak mangsa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Bayu, Sungai Petani pada 7.30 pagi, sebelum ke tempat kerjanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang.

“Bapa mangsa sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir, namun terlupa mangsa berada di dalam kereta dan sedang tidur di tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, selepas sampai di tempat kerja, bapa mangsa keluar memandu lori ke beberapa kawasan, sebelum pulang semula ke tempat kerja pada 4.30 petang dan terus masuk ke pejabat untuk menguruskan kerja lain.

“Selepas selesai bekerja, bapa mangsa pergi ke kereta sebelum melihat mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta.

“Bapa mangsa terus membuat panggilan kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu, bagaimanapun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.”

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker