Dr Dzul sukar kembalikan sokongan di Kuala Selangor

Dr Dzul sukar kembalikan sokongan di Kuala Selangor

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) merupakan penampilan sulung menteri kewangan sementara, Tengku Zafrul Tengku Aziz dalam politik apabila dia dicalonkan untuk bertanding mewakili BN bagi merampas kubu bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad di kerusi parlimen Kuala Selangor.

Dzulkefly sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bersara, namun partinya Amanah mahu dia mempertahankan kerusi parlimen berkenaan pada PRU kali ini.

Dengan gerak kerja kempen yang lemah, penyandang kerusi parlimen itu dilihat sukar mendapatkan semula sokongan, terutama di kawasan pedalaman di Kuala Selangor.



Sabtu lalu (12 Nov), Tengku Zafrul menghadiri “Jamuan Mesra Rakyat” di Kampung Telok Piah, dengan ramai penduduk di situ memakai baju BN untuk menyambut kedatangannya dan bergambar dengan menteri berkenaan.

Bagaimanapun, ketika Malaysiakini melawat kampung itu Ahad lalu, penduduk menjelaskan mereka bukanlah ahli atau penyokong Umno.

Sebaliknya mereka mengundi Dzulkefly pada PRU14 lalu.

Seorang pengundi Wan Mohd Salleh, 47 menjelaskan, penduduk kampung sebelum ini sukar memohon bantuan daripada agensi kerajaan atau pejabat ahli parlimen.



Oleh kerana kecewa, katanya, mereka membuat tuntutan secara berkumpulan.

Wan Mohd Salleh yang juga seorang peniaga, berkata tidak mudah untuk pemimpin politik mengabaikan tuntutan mereka sekiranya ia dibuat secara berkumpulan.

“Bila kita buat tuntutan secara berkumpulan, bukan secara individu, ini bermakna ada banyak undi di sini,” katanya.

Sedia beri peluang kepada Zafrul



Atas sebab itu, penduduk kampung menubuhkan Persatuan Kebajikan Kampung Telok Piah tiga bulan lalu dan menjemput Zafrul ke kampung itu semasa tempoh berkempen.

Mereka berharap Zafrul akan menunaikan permintaan mereka selepas memenangi kerusi berkenaan, termasuk memberi peruntukan untuk membeli jengkaut berharga RM47,000, yang akan mempercepatkan kerja-kerja menggali kubur.

Pada masa ini, kampung itu mempunyai empat penggali kubur termasuk salah seorang yang telah mencecah usia 80 tahun dan mereka menggunakan peralatan lama untuk kerja-kerja berkenaan.

Menurut penduduk, tugas menggali kubur menjadi sukar sekiranya berlaku dua atau tiga kematian di kampung itu dalam satu hari.

Wan Mohd berkata mereka percaya Zafrul mampu membawa perubahan di Kuala Selangor meskipun tidak menolak kemungkinan Zafrul sukar untuk dihubungi selepas menjadi wakil rakyat.

“Jika kita tidak dapat cari Zafrul selepas pilihan raya ni, dan kakitangannya tak buat kerja, pilihan raya akan datang kita ucapkan selamat tinggal kepada dia,” katanya.

‘Pasukan Dr Dzul terlalu selesa, tak responsif terhadap aduan’

Hamdan Abdul Hamid, 51, salah seorang penduduk kampung yang bergambar bersama Zafrul.

Hamdan menzahirkan rasa kecewa kerana sejak Dzulkefly menjadi menteri, dia tidak begitu mengendahkan kawasan berkenaan dan aduan yang dibuat penduduk.

Justeru Hamdan berkata dia akan mengundi calon yang boleh membawa perubahan di Kuala Selangor ketika hari mengundi.

“Mungkin dia (Dzulkefly) menang banyak undi dalam pilihan raya lepas, dia selesa dan dah tak datang ke kampung kita, banyak aduan tidak dilayan oleh pegawai dia,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Nathan Shamugam Gotham berkata kawasan Kuala Selangor mempunyai banyak isu, termasuk kekurangan sumber di Hospital Tanjong Karang sehingga pesakit terpaksa menunggu berjam-jam di jabatan kecemasan.

Selain itu katanya, isu pengangkutan awam dan kekurangan telur serta ayam juga tidak diselesaikan penyandang kerusi parlimen berkenaan.

Beralih sokongan

Sementara itu di Pusat Daerah mengundi (PDM) Bukit Badong, Suhaidi Mat Salleh, 49 berpendapat Dzulkefly kurang memberi perhatian di Kuala Selangor setelah menjadi menteri.

Peniaga itu berkata dia telah membantu Dzulkefly pada PRU lalu namun kali ini dia akan menyokong Zafrul.

Suhaidi bagaimanapun mengakui Dzulkefly seorang yang baik dan lemah lembut, serta perwatakannya yang alim menyenangkan ramai penduduk kampung termasuk ahli PAS dan Umno.

“Dulu dia selalu datang (ke kampung), kenduri kahwin, orang mati pun datang. Kalau orang susah pun datang (bantu). Dua tahun jadi menteri dah kurang datang.

“Kadang-kadang dia datang ke masjid untuk solat subuh, ahli-ahli PAS melihatnya sebagai pemimpin yang sangat alim, oleh itu mereka sanggup mengundinya,” katanya.

Walaupun kecewa kerana Dzulkefly jarang melawat ke kampung itu, Suhaidi memahami kesibukan bekas menteri berkenaan.

Bagaimanapun Suhaidi lebih kecewa dengan pegawai Dzulkfely yang disifatkan tidak pantas dalam melakukan tugas mereka.

Di Bukit Badong, Dzulkefly pada PRU lalu memperoleh 1097 undi atau 40.63 peratus, manakala calon Umno memperoleh 955 undi atau 35.37 peratus. Mk

Dr Dzul sukar kembalikan sokongan di Kuala Selangor
Dr Dzul sukar kembalikan sokongan di Kuala Selangor


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Saya mohon maaf, saya hanya mahu ‘prank’ anak saudara

Takiyuddin bidas kembali kenyataan Muhyiddin, pendirian PAS terbuka

Teman lelaki Syazlin Zainal ziarah pusara kekasih

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker