Perbualan ‘Anwar-Zahid’: Polis mahu sahkan pembual, cari perakam, dan motif penyebaran

PETALING JAYA: Siasatan polis berhubung rakaman perbualan dikatakan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, tertumpu kepada mengesahkan pembual dan mencari perakamnya.

Polis juga mahu tahu sama ada rakaman itu diubah suai oleh pihak tertentu, dan apakah motif ia disebarkan, kerana dibimbangi bertujuan untuk mencetuskan kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni antara PKR dan Umno.

“Penularan rakaman audio perbualan tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat, berdasarkan kepada beribu komen warga net di media sosial, memandangkan kedua-dua individu berkenaan merupakan dua pemimpin politik yang berpengaruh,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam kenyataan.

Polis berkata siasatan dijalankan ekoran 18 laporan yang diterima daripada 17 orang wakil politik dan seorang individu awam yang kebimbangan.

Huzir mengesahkan siasatan dijalankan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu berkenaan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Lelaki Bangladesh ‘Melancap’ dalam LRT ditahan polis

Anwar, katanya, dipanggil ke Bukit Aman pagi tadi untuk berdepan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk melengkapkan siasatan.

“Tindakan memanggil Anwar merupakan suatu prosedur biasa,” katanya.

Awal bulan ini, satu rakaman audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU2020) pada akhir Mac lalu.

Bagaimanapun, Zahid berkata, tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas PAU2020, manakala Anwar menafikan beliau adalah pemilik suara dalam perbualan telefon itu.

Pada 10 April lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, kertas siasatan telah dibuka dan salinan audio itu dihantar ke makmal forensik untuk menentukan ketulenannya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker