Fitch Ratings turunkan penarafan Malaysia kepada ‘BBB+’

Fitch Ratings menyemak turun Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia kepada ‘BBB+’ dari ‘A-‘.

Agensi penarafan antarabangsa dalam satu kenyataan, berkata penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang telah menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Katanya, metrik hutang kerajaan juga telah merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

“Penarafan IDR ‘BBB+’ disebabkan jangkaan lebihan akaun semasa yang mengecil kepada 3.4 peratus dari KDNK tahun depan berbanding 4.2 peratus tahun ini ketika tekanan import Malaysia disebabkan COVID-19 semakin reda dan langkah perbelanjaan kerajaan ke atas pembangunan infrastruktur kembali.

“Malah, bahagian hutang kerajaan dalam mata wang asing juga rendah iaitu hanya dua peratus dari jumlah hutang, selain kerajaan juga masih bergantung kepada pembiayaan luar negara dengan pegangan asing dalam hutang domestik kira-kira 24 peratus.

“Ketidakpastian mengenai kemasukan Malaysia dalam indeks bon utama kekal berterusan dan dan pengecualian pada tahun 2021 berpotensi menghasilkan aliran keluar modal,” katanya.

Bagaimanapun, Fitch Ratings berkata, terdapat banyak faktor utama yang membolehkan penarafan Malaysia kembali positif termasuk membabitkan kewangan awam dengan kecenderungan penurunan hutang kerajaan atau KDNK.

“Ia termasuk pelaksanaan strategi pengukuhan fiskal yang kukuh selepas pandemik reda dan pemulihan standard tadbir urus berbanding negara lain termasuk lebih telus dan mengawal rasuah,” katanya.

Namun, menurut agensi itu, penarafan untuk IDR Malaysia boleh menurun ke peringkat negatif jika berlakunya peningkatan nisbah hutang kerajaan dalam tempoh jangka sederhana.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker