UMNO Kepentingan Pertiwi Diutamakan

UMNO Kepentingan Pertiwi Diutamakan. Menarik sekali tulisan Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Dr. Kamarul Zaman Yusoff bertajuk UMNO bukan lagi dalam era emas dalam Utusan Malaysia, Rabu lalu.

Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau bahawa keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu adalah keputusan tidak bergigi yang tidak membawa apa-apa kesan pun ke atas kedudukan kerajaan.

Ini kerana terbukti keputusan itu tidak diikuti oleh perletakan walau seorang pun ahli-ahli Parlimen UMNO daripada jawatan mereka dalam kerajaan walaupun penarikan balik dan penamatan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri diumumkan sebagai bersifat serta-merta.



Malah, sebaliknya kesemua mereka masih kekal berada dalam kerajaan. Terbaru, pengumuman semua menteri Kabinet termasuk sembilan menteri UMNO bahawa mereka kekal menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri seolah-olah memberikan satu tamparan terbuka kepada keputusan Mesyuarat MKT UMNO.

UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti sombong yang sentiasa mahu mendominasi parti-parti lain kerana suasana politik negara sudah jauh berubah berbanding sebelum dahulu. Apa yang lebih dipentingkan adalah muafakat setara dan saksama antara semua parti dan golongan rakyat.

Menakjubkan bila MKT UMNO sepertinya sudah lupa kenyataan berulang kali para pemimpin UMNO mengenai hasrat mereka untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama Pas serta untuk memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) dengan MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bila keputusan Mesyuarat MKT UMNO tersebut dibuat secara bersendirian tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Induk MN dan Dewan Tertinggi BN terlebih dahulu, maka UMNO dilihat terpencil daripada Pas serta parti-parti komponen BN lain yang rata-rata menjarakkan diri dengan keputusan ini, khususnya Pas yang mengambil pendirian berbeza.



Keputusan Mesyuarat MKT UMNO itu jauh bercanggah dengan hasrat rakyat bawahan yang rata-rata mahukan parti-parti Melayu utama di negara kita bersatu dalam satu pakatan yang kukuh.

Hasrat ini dapat dilihat dalam pelbagai dapatan kaji selidik, termasuklah yang dibuat oleh Merdeka Center dari 15 Julai hingga 10 Ogos 2020 bahawa 65 peratus pengundi Melayu mahu UMNO kekal bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dalam Perikatan Nasional (PN), berbanding hanya 20 peratus pengundi yang mahu UMNO bergerak bersendirian.

Begitu juga dapatan kaji selidik oleh INVOKE pimpinan tokoh PKR, Rafizi Ramli yang diumumkan 23 April lalu menunjukkan BN (8 peratus) berada jauh di belakang PN (16 peratus) dari segi sokongan pengundi jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan.

Perlu diingat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada 28 Mac lalu menyebut, kemenangan UMNO/BN dalam tujuh pilihan raya kecil setelah UMNO tersungkur membaham bumi pada PRU-14 adalah dengan bantuan Pas melalui MN.



Begitu juga kata-kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam forum pada 4 Januari lalu, kalau UMNO/BN mahu menang pada PRU-15 maka UMNO/BN kena bersama Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

MENELAN BALIK

Apa punca Ahmad Zahid dan Ahmad sepertinya mahu menelan balik kata-kata mereka sendiri dahulu seolah-olah UMNO/BN boleh menang pada PRU-15 secara bersendirian adalah sukar untuk ditelaah.

Keputusan Mesyuarat MKT UMNO berkenaan juga berbeza dengan keputusan PAU 2020 pada 28 Mac lalu dalam dua aspek ketara. Pertama, dari sudut bentuk penarikan diri dan kedua, dari sudut sebab penarikan diri.



Dari sudut bentuk, keputusan Mesyuarat MKT UMNO mahukan penarikan diri daripada menyokong Muhyiddin sedangkan keputusan PAU 2020 mahukan penarikan diri daripada menyokong kerajaan PN.

Dari sudut sebab pula, keputusan Mesyuarat MKT UMNO memberikan tujuh kegagalan kerajaan PN sebagai puncanya manakala keputusan PAU 2020 seperti ditegaskan oleh Ahmad Zahid, mahukan penarikan diri dibuat hanya jika Muhyiddin tidak menunjukkan sebarang tanda untuk membubarkan Parlimen dan melangsungkan PRU-15.

Perlu diingat, tidak logik untuk membubarkan Parlimen dan melangsungkan PRU-15 dalam keadaan pandemik Covid-19 masih menggila dengan kemunculan pelbagai varian baharu lebih bahaya. Apatah lagi bila UMNO sendiri sudah menangguhkan pemilihan pemimpinnya selama 18 bulan disebabkan faktor ini.

Sebab penarikan diri daripada menyokong Muhyiddin, iaitu tujuh kegagalan kerajaan PN juga boleh berbingkas dan memakan diri UMNO sendiri kerana asas utamanya, iaitu kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sebenarnya terpukul ke muka para pemimpin UMNO sendiri kerana menteri-menteri utama yang ditugaskan untuk menangani pandemik adalah menteri UMNO sendiri.



Jika dikaitkan kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19 secara berkesan dengan pengisytiharan darurat, bagaimanakah pula statusnya dengan 79 negara yang mengikut data sebuah badan hak asasi manusia berpusat di Geneva, Switzerland, Centre for Civil and Political Rights pernah membuat pengisytiharan sama seawal 1 April 2020 lagi, terbarunya di Indonesia dan di Jepun?

Dan bagaimanakah kerajaan boleh dikatakan memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah supaya Parlimen dibenarkan bersidang tatkala titah supaya Parlimen dibenarkan bersidang sebelum 1 Ogos telah dipatuhi dan tatkala semua Dewan Undangan Negeri lain termasuk di negeri-negeri diterajui UMNO hanya bersidang selepas 1 Ogos?

Sebab itulah saya bersetuju dengan saranan supaya UMNO memikirkan kembali secara lebih tenang, lebih rasional dan lebih sistematik pendekatan politiknya jika tidak mahu tersungkur lebih teruk pada PRU-15.

Ketepikanlah kepentingan diri, utamakanlah kepentingan pertiwi dan manfaatkanlah perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk kepentingan parti. Jangan dinampakkan UMNO hanya mengejar kuasa semata-mata.



Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri ialah Felow Penyelidik di Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM).

UMNO Kepentingan Pertiwi Diutamakan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Rafidah tanya 6 soalan kepada kerajaan

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker