Saya bukan perempuan murahan

Penampilan seksinya mampu menggoncang iman lelaki, namun pelakon jelita, Scha Elinnea, 21, tidak pernah menggunakan kelebihan yang dikurniakan menjadi seorang penggoda.

Imej seksi bukan perkara baru sering dikaitkan dengan pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek dan Nasi Kerabu Untuk Che Abe itu. Biarpun ‘berani mati’ dengan pakaian seksi dan seraut wajah menggoda, Scha bukan seorang bersifat ‘gedik’ dan suka mencairkan hati golongan Adam.

Bagaimanapun, dek disebabkan imej seksi, gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu seperti meletakkan dirinya dalam ‘bara api’ yang membakar diri secara perlahan-lahan. Seperti air yang menggelegak, darjah kepanasan termometer gadis kecil molek itu serta merta memuncak.

Nyata, khalayak pantas menghakimi dan menilainya hanya berdasarkan apa yang dilihat menerusi media sosial. Malah, ada yang tergamak mengaitkan Scha dengan kegiatan tidak bermoral, baru-baru ini.



Bukan sahaja menjadi bahan kecaman netizen, Scha juga mendedahkan perangai jelik lelaki berhidung belang yang menyangka dirinya mudah diajak ke ranjang.

Manis menguntumkan senyuman, Scha berkata, dia terkejut apabila dihubungi individu tidak dikenali menjadi ‘teman ranjang’ kepada seorang lelaki berstatus VIP.

“Saya tak pasti sama ada lelaki berkenaan rakan atau pembantu peribadi lelaki VIP berkenaan. Namun, kata-katanya cukup membuatkan saya terkejut dan takut. Dia bertanya berapa bayaran dikenakan jika mahu menjadikan saya teman beraksi atas ranjang. Apa, ingat saya pelacur ke?

“Ya, mungkin saya suka berimej seksi, tetapi saya bukan perempuan murahan. Manusia seperti ini, saya takkan bagi muka dan kena bertegas. Saya beri amaran akan mengambil tindakan sekiranya sekali lagi berani menghubungi saya dan bertanyakan soalan mengarut.



“Jika tidak mahu mendapat malu dan muka tersebar dalam laman sosial, jangan sesuka hati mengambil kesempatan ke atas golongan wanita,” tegas Scha berbaur amaran.

Andai melihat dari sudut luaran, pasti akan ada yang beranggapan gadis yang diperkenalkan menerusi drama Mr Grey itu nakal dan liar, sesuai dengan imej yang ditonjolkan. Namun, hakikatnya, Scha, seorang yang sangat sensitif dan mudah mengalirkan air mata.

“Jangan sesekali menilai buku daripada kulitnya. Jujurnya, saya mudah tersentuh dan berhati tisu. Disebabkan itu, saya cepat menitiskan air mata sekiranya membaca komen netizen dalam laman Instagram (IG). Cara menulis seolah-olah mengenali saya luar dan dalam.

“Daripada sibuk mahu menjaga tepi kain artis, lebih baik jaga anak bini mereka dahulu. Mungkin tak ramai yang tahu, saya juga seorang pemalu. Saya akan rasa kekok apabila perlu membawakan watak gedik, penggoda atau perampas suami orang. Rasa geli pun ada sebab tak biasa.



“Bagaimanapun, itulah cabaran sebagai pelakon. Lagipun, kita tahu karakter sedemikian hanya satu lakonan dan bukannya perangai sebenar saya,” katanya kepada BH Online.


Dihambat dengan pelbagai cerita panas hingga tahap mengaibkan, Scha bersyukur dikelilingi insan yang banyak memberi sokongan supaya tidak mudah kecundang.

“Walaupun sedih dan jiwa goyah, namun kata semangat yang diberikan keluarga, syarikat pengurusan, rakan dan peminat sedikit sebanyak mengubat hati serta memberi kekuatan untuk terus berdiri menentang setiap cemuhan.

“Syarikat pengurusan, Absolute Management mengambil berat mengenai saya, lebih lagi apabila dituduh menjadi pelacur kelas atasan, baru-baru ini.



“Saya tak kisah jika saya dikecam, tetapi jangan mengaitkan keluarga dalam isu ini. Nak kecam, hina saya seorang.

Jika ikutkan, saya boleh membawa tuduhan ke pihak berkuasa kerana saya memiliki bukti berdasarkan tangkap layar dibuat. Cuma, tak kuasa memanjangkan isu yang tidak memberi manfaat.

“Jadi, jangan sesekali mencabar tahap kesabaran saya,” tegasnya.

Scha berkata, cabarannya sebagai anak seni bukan sahaja godaan orang kenamaan, tetapi juga dalam kalangan rakan selebriti.



Mengulas pernahkah digoda selebriti lelaki, bekas penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jengka, Pahang itu tidak menafikan ada rakan artis cuba mendekatinya. Bagaimanapun, mahu bersikap profesional, cuba mengelak terjebak dengan cinta lokasi.

“Tipulah jika saya kata tak pernah. Tak dinafikan, ada rakan artis yang menghantar mesej untuk berkenalan lebih rapat. Kebiasaannya, saya takkan layan jika terima mesej sedemikian. Saya tak mahu soal peribadi menjejaskan hubungan profesional di lokasi penggambaran. Jadi, lebih baik saya buat tak tahu untuk mengelak wujud rasa kekok,” cerita Scha sambil tertawa.

Beralih soal jodoh, Scha atau nama sebenarnya, Natasha Mohamed Mubeen berkata, dia masih belum memikirkan soal berpacaran dengan lebih serius. Ini kerana masih banyak perkara yang ingin digapai, lebih lagi ketika kerjaya lakonan sedang memuncak.

“Buat masa ini, saya lebih selesa berkawan sahaja. Saya belum sedia untuk ke tahap serius. Saya mahu lebih fokus dengan kerjaya lakonan yang sedang memuncak. Saya juga tak mahu kontroversi cinta menjadi penghalang untuk saya membina nama dalam bidang seni.



“Jika ada lelaki yang sukakan saya, dia kena sanggup menunggu,” katanya yang turut membintangi filem Marabahaya Undeground dan Seandainya Kau Ada.

Dengan pakej yang dimiliki tentunya bukan calang-calang lelaki yang layak untuk menjadi bakal suaminya. Jika poket tidak tebal, jangan sesekali berani untuk mendekati gadis berwajah manis ini.

Saat mengulas pertanyaan itu, Scha berkata, dia bukan jenis gadis yang mendambakan duit lelaki.

“Saya kena ada duit sendiri, walaupun mungkin ditakdirkan bertemu dengan lelaki kaya. Ini bermakna, kena seimbang. Dengan cara ini, lelaki tidak akan mudah untuk memperlekehkan wanita yang berdikari. Apabila tidak terlalu bergantung dengan lelaki, mereka akan fikir banyak kali untuk meninggalkan kita,” luahnya.

Ketika ini, jadual penggambaran Scha cukup padat apabila perlu menyelesaikan tiga drama bersiri. Selain drama Perempuan Tanpa Dosa yang sedang rancak ditayangkan, Scha masih perlu menyelesaikan baki penggambaran untuk dua Hatimu Sedingin Salju dan Tak Sempurna Mencintaimu.

Sebelum ini, Scha pernah membuat laporan di Balai Polis Kuantan, Pahang ekoran dakwaan mengaitkan dirinya terbabit dalam sindiket pelacuran kelas atasan yang dibayar antara RM20,000 sehingga RM40,000 untuk satu malam. Ia dibuat susulan laporan sebuah blog yang menggunakan paparan skrin profil muka depan akaun IG sebagai gambar hiasan berhubung berita berkaitan isu skandal seks kelas atasan itu. BH

Dikata terbabit sindiket pelacuran kelas atasan, Scha Elinnea buat laporan polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker