Banyak ‘pelamar’ tetapi Masing percaya orang Dayak akan pilih GPS

Seorang pemimpin kanan Sarawak menyuarakan keyakinan bahawa komuniti Dayak akan terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah pada pilihan raya negeri itu akan datang.

James Jemut Masing, presiden Parti Rakyat Sarawak dan juga timbalan ketua menteri, mengakui persaingan bagi mendapatkan undi masyarakat Dayak semakin sengit, tetapi berkata beliau tidak terganggu dengan keadaan itu.

“Orang Dayak adalah komuniti terbesar di Sarawak, merangkumi 44% penduduk, jadi semua pihak mahukan undi ini, dan kita tidak boleh halang mereka daripada mencuba.



“Tetapi ia tidak menjadi masalah kerana orang Dayak tahu parti mana yang boleh jaga kepentingan mereka,” kata Masing.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan PRS adalah anggota GPS.

Pencabar mereka adalah parti pembangkang termasuk Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PKK), Aspirasi, PKR, DAP, dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS).

PSB, yang diketuai oleh orang kuat Sarawak Wong Soon Koh membina kepercayaan Dayaknya dengan menarik pemimpin seperti Ahli Parlimen Selangau Baru Bian, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat dan ADUN Opar Ranum Mina.



Masing berkata, kemunculan parti pecahan di Sarawak mendorong komuniti Dayak menjadi lebih peka dan lebih banyak terlibat dalam politik.

Katanya, orang Dayak cukup berani dalam politik.

Namun, pengundi Dayak akan memilih parti yang mampu menjaga kebajikan mereka.

“Tidak kira siapa yang akan lawan kita, kita mesti bersatu, dan itu sangat penting,” tegas Masing yang juga menteri prasarana negeri.



Beliau berkata, GPS telah membuktikan diri tidak seperti Pakatan Harapan (PH) yang membatalkan tiga projek jambatan ketika ia berkuasa.

Projek terbabit kini diambil alih oleh kerajaan Sarawak.

Projek tersebut adalah Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Igan, dan Jambatan Batang Rambungan yang menelan belanja sebanyak RM1.2 bilion.

“Kami dalam GPS mempunyai perjuangan dan objektif kami. Sekarang kita mahu membendung penyebaran Covid-19, sebaik sahaja kita kawal wabak ini maka kita dapat beralih ke langkah pasca-Covid-19, terutama menghidupkan semula ekonomi dan membangunkan Sarawak,” katanya, selain menambah bahawa rakyat sedar tentang hala tuju kerajaan negeri.



“Bagi saya, pembangkang hanya pandai bercakap. Sama seperti yang mereka buat sebelum pilihan raya umum ke-14.

“PH bercakap banyak dan membuat terlalu banyak janji. Saya rasa rakyat Sarawak tahu itu dan tidak mudah terpengaruh dengan janji mereka.”

Kata beliau, selepas pilihan raya itu PH berjaya membentuk kerajaan, tetapi tidak menunaikan janji mereka.

“Mereka hanya dapat bertahan selama 22 bulan kerana tidak gagal tepati janji. GPS berbeza, kita berjanji, kita mesti tunaikannya,” kata Masing.-FMT



Jangan benarkan ahli politik bertanding di dua kerusi serentak – Masing

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker