Angkat Bahasa Melayu mahawangsa bukan Bahasa Melayu Malaysia

Pakar bahasa, Profesor Emeritus, Dr Nik Safiah Karim menyifatkan penolakan salah seorang menteri dari Indonesia berhubung cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean sebagai salah faham.

Nik Safiah berkata ini kerana cadangan tersebut langsung tidak membawa maksud untuk mengangkat bahasa Melayu dari Malaysia sebagai bahasa kedua Asean.

Sebaliknya, Nik Safiah berkata bahasa Melayu yang dicadangkan sebagai bahasa rasmi kedua Asean itu adalah bahasa Melayu supra atau bahasa Melayu mahawangsa meliputi wilayah sejarah lampau Alam Melayu (Malay Archipelago) yang juga dirujuk Nusantara, sebelum kedatangan penjajah Barat.

“Saya rasa ini salah faham, sebab istilah Bahasa Melayu itu jangan dilihat dari segi bahasa sebuah negara.



“Kerana Bahasa Melayu ini dituturkan di kawasan yang meluas, ia dituturkan di Thailand, Singapura, Brunie dan Indonesia sendiri, semuanya satu bahasa yang lebih besar .

“Walaupun pada tahap negara, nama-nama ini mungkin diubah mengikut kesesuaian kenegaraan. Kalau di Indonesia Bahasa Melayu diberi nama Bahasa Indonesia, di Brunei dipanggil Bahasa Melayu Brunei, di Singapura dipanggil bahasa Melayu Singapura.

Atasi perbezaan, kelainan nama

“Jadi, apabila kita bercakap sebagai bahasa kedua Asean ini kita bukan katakan nak ambil Bahasa Melayu Malaysia sahaja, kita rumuskan sebagai bahasa supra, bahasa yang lebih tinggi pada peringkat antarabangsa



“Jadi, ini salah faham yang berhormat menteri. Saya rasa presiden dia lebih faham tentang usul terbabit, apabila dia bersetuju untuk bekerjasama,”

Nik Safiah mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim yang berkata dia menolak cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean, namun tidak menolak agar perkara itu terus dikaji dan dibahaskan.

Menurut laporan Kompas, Nadiem membangkitkan bahasa Indonesia lebih layak dengan mengambil kira faktor sejarah dan linguistik, serta merupakan bahasa terbesar yang dituturkan di Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Nik Safiah berkata semua pihak tidak perlu menjadikan kelainan nama dan perbezaan yang wujud dalam hal tertentu sebagai isu.



“Bahasa Melayu ini apabila dituturkan di kawasan daerah dia memperlihatkan ciri-ciri daerah.

“Bahasa Melayu pun ada loghat-loghat dia, ada bahasa Melayu loghat Johor, loghat Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.

“Jadi, memang sifat, kedaerahan itu akan muncul tetapi apabila kita bercakap pada tahap rasmi, yang lebih tinggi dia ada satu macam bahasa yang mengatasi segala perbezaan-perbezaan daerah.

“Demikian juga dengan bahasa Indonesia yang dituturkan di Jawa, di Palembang atau pun yang dituturkan di Pulau Bali dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Nik Safiah saranan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu merujuk kepada tahap perhubungan rasmi negara.

“Oleh itu, akan timbulah satu variasi yang rasmi. Sama juga dengan bahasa Inggeris pun kalau kita lihat ada perbezaan di England, Amerika dan Australia, tak sama tetapi bila kita bercakap tentang bahasa Inggeris ada satu ciri persamaan,” katanya.

Justeru, Nik Safiah menyeru Nadiem (gambar, bawah) meneliti semula saranan tersebut.

“Cadangan perdana menteri itu sebuah cadangan dan akan dibincangkan secara diplomatik di peringkat Asean dan akan diselesaikan beberapa perkara kecil seperti pandangan menteri Indonesia itu dan sebagainya.

“Saya juga melihat ini sebagai satu perkembangan dalam perbincangan dan kita doakan agar cita-cita perdana menteri Ismail Sabri itu akan tercapai setelah dibincangkan dan dibuang segala kemusykilan dan persoalan-persoalan,” kata Nik Safiah.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dr Awang Sariyan menegaskan penolakan terhadap cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Asean sepatutnya tidak timbul.

Penyandang Kursi Za’ba di Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu bagaimanapun berkata, melainkan ada pihak tertentu yang ingin menggagalkan usaha terbabit.

“Isu itu tidak perlu ditimbulkan dan dibesar-besarkan, kecuali ada niat pihak tertentu ingin menggagalkan usaha itu,” katanya.

Menurut Awang, dengan paduan semua negara berbahasa Melayu dan negara lain yang mempunyai penutur bahasa Melayu, cadangan mengangkat bahasa Melayu (sebagai bahasa supranasional yang merentas sempadan geopolitik) dapat dan patut diusahakan menjadi bahasa rasmi Asean, dengan permulaannya sebagai bahasa rasmi kedua.

“Sokongan Presiden Indonesia, Jokowi menambah peluang untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Asean dan bahasa di peringkat antarabangsa.

“Persetujuan dan sokongan serta janji untuk bergerak bersama-sama dalam pertemuan perdana menteri Malaysia dan Presiden Indonesia hari ini di Jakarta cukup besar maknanya,” katanya.

Tambahnya, cadangan Ismail itu juga disifatkan kesinambungan dan peningkatan usaha yang telah puluhan tahun dimulakan di peringkat serantau dan Indonesia.

“Usaha penyatuan negara serantau (Asean) melalui faktor bahasa besar ertinya,” jelas Awang lagi.

Aktivis Bahasa, Sastera dan Budaya, Dr Aminuddin Mansor pula senada dengan Nik Safiah bahawa menteri pendidikan Indonesia itu sebagai salah faham.

“Sepatutnya perkara ini tak timbul, sebab pada asalnya ia memang bahasa Melayu. Kemudian selepas Belanda menjajah Indonesia, dia tukar kepada bahasa Indonesia.

“Asalnya memang semua bahasa Melayu, semua rumpun Melayu. Jadi, tidak timbullah bahasa Indonesia ke apa dan sepatutnya ia boleh diterima sebab ia perkara yang baik bagi menyatukan bangsa di seluruh Asean.

“Menteri pendidikan Indonesia ini telah salah faham dengan seruan perdana menteri kita, sebab mereka ini fanatik dengan bahasa Indonesia tetapi perlu diingatkan semuanya asal dari bahasa Melayu,” tambahnya.

Wilayah pengaruh empayar kuno Srivijaya.

Walaupun bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia berkongsi akar rumpun linguistik yang sama ketika era empayar kuno Srivijaya namun faktor sejarah moden dan perkembangan budaya serta pengaruh kolonial Inggeris dan Belanda telah menjadikan perkembangannya berbeza.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa persatuan hasrat republik Indonesia bermula dengan peristiwa Sumpah Pemuda 1928.

Ia merujuk keputusan gerakan kemerdekaan Kongres Pemuda Kedua pada 28 Oktober 1928 di Batavia (Jakarta) yang menegaskan cita-cita negara moden “tanah air Indonesia”, “bangsa Indonesia” dan “bahasa Indonesia”

Untuk rekod, laporan Kompas.com pada Oktober 2020 memetik laman Badan Pengembangan dan Pembinaan Bahasa, Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia menyebut “bahasa Melayu mulai dipakai di kawasan Asia Tenggara sejak abad ketujuh.”

Laporan itu mengambil maklum susur galur bahasa Melayu lama sebagai akar bahasa negara bangsa moden Indonesia.

“Hal itu terbukti dari ditemukannya Prasasti Kedukan Bukit dan Prasasti Talang Tuo di Palembang, Prasasti Kota Kapur di Pulau Bangka, dan Prasasti Karang Brahi di Jambi. Prasasti-prasasti tersebut berangka tahun 680-an Masehi.

“Pada zaman Srivijaya, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa kebudayaan, yakni dalam buku pelajaran agama Buddha.

“Selain itu, bahasa Melayu juga digunakan dalam perdagangan, sebagai bahasa antara suku di Nusantara,” kata artikel berjudul “Sumpah Pemuda, Sejarah Lahirnya Bahasa Indonesia sebagai Bahasa Persatuan…”

Bahasa Indonesia sejak proklamasi kemerdekaannya dari Belanda pada 17 Ogos 1945 telah menjadi bahasa yang diperakui di persada antarabangsa, apalagi memiliki kekuatan penutur besar dengan populasi republik itu mencecah 273.8 juta penduduk setakat tahun lalu.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bazar Ramadan 2022: Ini senarai 18 bazar yang terbaik seluruh negara

Bayar atau tak boleh keluar dari Malaysia

‘Tiga beradik’ Juadah Istimewa Menjadi Rebutan Di Bulan Ramadan

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker