Tiada kekurangan stok paracetamol, masalah bekalan hanya babit satu jenama

Tiada kekurangan stok paracetamol, masalah bekalan hanya babit satu jenama

Negara tidak berdepan kekurangan stok paracetamol, sebaliknya masalah bekalan itu hanya membabitkan satu jenama.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang, berkata pihaknya telah melakukan tinjauan ke seluruh negara bagi mengetahui sama ada negara kini menghadapi kekurangan bekalan paracetamol.



“Secara keseluruhan, isu tiada bekalan ini membabitkan satu jenama yang ternama saja, manakala jenama yang lain tiada masalah.

“Saya dimaklumkan bahawa syarikat itu mengeksport paracetamol keluaran mereka ke negara luar dan perlu menjaga pasaran berkenaan, bukannya berdepan masalah bahan mentah termasuk paracetamol atau eksipien.

“Difahamkan, isu kekurangan bekalan ini akan diatasi dalam masa terdekat. Bagi jenama lain, masalah stok bekalan tidak berlaku,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, BH melaporkan gejala bermusim seperti demam, batuk dan sakit tekak yang biasanya dikaitkan dengan cuaca panas, perlu diberi perhatian serius kerana penyakit itu boleh lebih memudaratkan individu sedang menghidap COVID-19.



Keadaan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan, terutama banyak farmasi dilaporkan kini berdepan kekurangan stok bekalan ubat-ubatan.

Tinjauan BH di beberapa lokasi sekitar ibu negara mendapati banyak farmasi meletakkan notis kehabisan paracetamol serta ubat batuk bagi sesetengah jenama, dipercayai akibat putus bekalan daripada pembekal dan belian secara borong.

Menurut pembantu farmasi yang ditemui, ubat-ubatan untuk demam serta batuk sudah mengalami kekurangan bekalan sejak awal tahun ini, malah stok diperoleh sedikit berbanding sebelum ini, sehingga ada farmasi meletakkannya di kaunter dan bukan di rak seperti kebiasaan.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, pihaknya turut menghubungi ahli farmasi komuniti bagi memastikan stok bekalan paracetamol sentiasa ada.



Selain itu, beliau berkata, MPS mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah tertipu dan membeli ubat palsu menggunakan jenama tertentu.

“Kami menyarankan masyarakat mendapatkan ubat paracetamol daripada premis farmasi komuniti di seluruh negara.

“MPS menasihati masyarakat supaya jangan membeli daripada e-dagang yang bukan dimiliki ahli farmasi komuniti.

“Bagi penjualan secara e-dagang, ahli kami yang menjual di pelbagai platform itu akan diberikan verifikasi dengan syarat tertentu,” katanya.



Dalam pada itu, Amrahi berkata, ahli farmasi komuniti turut disaran memberikan khidmat nasihat kepada masyarakat yang mengunjungi farmasi mereka atau membeli daripada perkhidmatan e-dagang yang mereka sediakan.

“Ahli farmasi komuniti ini turut memberi perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan dan produk kepada masyarakat.

“Perkhidmatan tambah nilai ini sangat bersesuaian dalam perjalanan kita ke fasa endemik COVID-19,” katanya. BH

Tiada kekurangan stok paracetamol, masalah bekalan hanya babit satu jenama




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Amelia Henderson terima lamaran Aedy Ashraff (Video)



Zara dituduh guna duit NGO beli kereta mewah

Sajat bayar teman lelaki untuk ‘melekat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker