Bukan semua orang sesuai pegang kuasa

SEJARAH ketamadunan manusia tidak akan berkembang tanpa adanya pemimpin. Pemimpin dipilih dalam kalangan mereka yang berkarakter dan berpengaruh untuk mengarah, membimbing, melindungi, membuat keputusan dan menjaga kebajikan orang yang berada di bawah kekuasaan mereka.

Justeru, pemimpin diberikan kuasa untuk menjalankan kesemua fungsi sebagai pemimpin dengan penuh bijaksana dan adil.

Namun begitu, setelah berkuasa tidak ramai yang ingin melepaskan kuasa kerana sudah berasa seronok dihormati, dijulang serta dilayani melebihi daripada kelompok masyarakat biasa.



Bukan setakat pemimpin yang dilantik berasa terjejas jika melepaskan kuasa, namun pengikut-pengikut tegar mereka turut sama berasa tempias jika ketua mereka melepaskan kuasa.

Natijahnya, ‘gendang’ perebutan kuasa mula dipalu oleh kelompok masing-masing.

Sebetulnya, kuasa itu amat penting untuk perkembangan manusia. Jika kuasa tersebut diguna dengan baik, ia akan berjaya membangunkan rakyat dan negara dengan sejahtera. Pun begitu, dengan kuasa jugalah masyarakat dan negara boleh runtuh.

Masyarakat bermula daripada individu, kelompok kecil, kelompok besar sehinggalah pembentukan sistem pentadbiran yang kukuh dek kerana nafsu serakah pemimpin yang berkuasa hanya untuk kepentingan diri dan ‘budak-budak’ mereka.



Hakikatnya, tidak semua orang sesuai untuk memegang kuasa. Kadangkala, kita berasa pelik, walaupun kail mereka hanya sejengkal namun mengidam untuk mendapatkan hasil yang banyak di laut dalam. Orang seperti inilah, apabila peroleh kuasa akan berperangai seperti ‘Kadok naik junjung’.

Apa yang menyedihkan, kerana banyak wang, pandai bercakap, banyak pengaruh, nampak alim serta meneruskan legasi keluarga telah dijadikan kriteria utama oleh pendukung-pendukung mereka untuk diangkat sebagai pemimpin yang berkuasa.

 

PEMIMPIN YANG IKHLAS



Pada hemat saya, jika sebegitulah kriteria sebagai pemimpin dan tiada daya tindak yang ampuh dan berterusan daripada masyarakat untuk mengubahnya, selagi itulah kita akan dipimpin oleh orang yang tidak layak sebagai pemimpin.

Berkaitan hal kepimpinan ini, Nabi SAW bersabda, “Kamu semua akan sukakan jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan ketika hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Ini bermakna jika individu berkenaan begitu beria-ia untuk menjadi pemimpin dan menggunakan pelbagai cara dan kaedah agar dipilih sebagai pemimpin, sejujurnya individu berkenaan bukanlah antara kriteria yang baik untuk dipilih sebagai pemimpin dan berkemungkinan menjadi pendusta adalah tinggi setelah memegang tampuk kuasa.

Berkaitan dengan pendustaan, Abraham Lincoln berkata “Walaupun ada ketikanya seseorang itu berjaya mendustai sesetengah individu, namun mereka tidak akan berupaya mendustai semua individu pada setiap waktu”.



Ulasan berkaitan kepimpinan, Pak Hamka telah menitipkan pandangan yang cukup menarik menerusi bukunya, Pribadi Hebat.

Menurut beliau, ‘Para pemimpin yang memegang tampuk kuasa perlu mempunyai asas-asas kesempurnaan peribadi seperti mempunyai pandangan yang jelas tentang kehidupan, berterus terang, bertanggungjawab, sabar, ikhlas, bersemangat dan berperasaan halus’.

Jika kriteria tersebut dijadikan kayu ukur untuk memilih pemimpin yang berkuasa, sejauh manakah pemimpin-pemimpin di negara kita sama ada di peringkat organisasi, negeri dan negara telah memenuhi kriteria berkenaan?

Pendek kata, tidak ramai pemimpin yang mempunyai pandangan yang jelas tentang kepentingan memegang amanah untuk kemakmuran sejagat. Selain itu, berapa ramai yang menjadikan sifat berterus terang sebagai tonggak prinsip kepimpinan mereka?.



Di samping itu, pemimpin yang tidak ikhlas serta mempunyai perasaan halus terhadap mereka yang dipimpin, selagi itulah mereka hanya pandai beretorik tanpa berpijak di bumi yang nyata. Ingatlah, jika memegang kuasa masih dianggap sebagai ketinggian darjat bukannya melaksanakan amanah, terimalah ‘teguran’ daripada ALLAH SWT nanti.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

 

 



 

 

 

 

 

 

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Proton Preve bakal diganti model baru

Wulan Guritno berani berbikini

Pendakwa kemuka 2 tuduhan pindaan terhadap Syed Saddiq

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker