Lelaki Bangladesh dalam video Al Jazeera mohon maaf kepada kerajaan

Lelaki Bangladesh yang ditahan pihak berkuasa selepas mendakwa kerajaan memberi layanan buruk kepada migran ketika sekatan pergerakan Covid-19 dalam dokumentari Al Jazeera, hari ini memohon maaf kepada kerajaan atas kenyataannya yang mendakwa diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bercakap kepada wartawan selepas menemui Md Rayhan Kabir, peguam Selvarajaa Chinniah dan Sumitha Shaanthini berkata komen itu hanyalah pandangan peribadi anak guam mereka.

Selvarajaa berkata, Rayhan sedih melihat rakannya “ditahan dan dirantai” dalam serbuan ke atas PATI Mei lalu.

“Dia tidak berniat mendakwa pihak penguatkuasa,” katanya sambil menambah polis sudah mengambil keterangan Rayhan.



“Dia ingin pulang apabila mereka mahu menghantarnya. Dia mahu pulang untuk bersama keluarganya.”

Selvarajaa berkata, Rayhan memaklumkan dia dilayan dengan baik oleh pihak berkuasa sepanjang penahanannya.

“Dia diberikan layan sempurna dengan makanan baik. Katanya dia tiada aduan mengenainya.

“Kami akan menulis surat secara rasmi kepada Jabatan Imigresen mengenai tindakan lanjut mereka dan bila mereka akan menghantarnya pulang.”



Rayhan ditemubual dalam sebuah dokumentari terbitan Al Jazeera menerusi program 101 East yang mencetuskan komen xenofobia dalam kalangan pengguna media sosial dan dikecam kerajaan.

“Mereka pasang perangkap untuk kami,” katanya dalam laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

“Mereka mungkin beri makanan, mereka beri ubat. Semua benda ini mereka berikan. Jadi, tiada orang menjangka mereka akan menahan orang.

“Mereka bukan pembunuh. Mereka bukan penjenayah. Mereka hanya tiada dokumen.”



Pada 7 Julai lalu, Jabatan Imigresen menyiarkan butiran peribadi Rayhan, selepas gagal mengesannya untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Polus turut memulakan siasatan hasutan ke atas 6 penerbit, juruvideo dan wartawan dokumentari itu yang dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman awal bulan ini.

Isu itu mendapat perhatian dunia daripada aktivis hak asasi manusia yang mempersoalkan pendirian kerajaan atas kebebasan bersuara.FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker