Kes Covid-19 makin meningkat, petugas barisan hadapan kekal bertahan

PETALING JAYA: Walaupun beban kerja merawat pesakit Covid-19 berat, dua petugas barisan hadapan perubatan mendapati tugas ini “masih boleh ditanggung”.

Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur Dr Muhamad Shazwan Sazali berkata, walaupun terdapat peningkatan dalam kemasukan ke hospital berikutan gelombang wabak baru-baru ini, program vaksinasi negara banyak membantu petugas barisan hadapan.

“Hasil program vaksinasi, kes Kategori 4 dan 5 masih mampu ditangani berbanding gelombang sebelum ini,” katanya.



Tambahnya, walaupun keadaan di hospital tidak huru-hara seperti ketika wabak bermula pada 2020, petugas barisan hadapan masih mengalami sedikit tekanan.

“Kebanyakan pesakit yang menerima rawatan rapi adalah mereka yang masih belum menerima vaksin. Ada juga yang masih menolak vaksin walaupun terbukti keberkesanannya mengurangkan gejala,” katanya.

“Sangat mengecewakan”, katanya, melihat warga emas yang dinafikan hak menerima vaksin kerana anak mereka terdiri daripada golongan antivaksin.

Apabila ditanya apa yang boleh kerajaan lakukan untuk mengurangkan tekanan ke atas petugas penjagaan kesihatan, Shazwan berkata, mereka patut menyerap seberapa ramai kakitangan kontrak yang boleh ke dalam sistem sebagai menghargai bantuan mereka memerangi Covid-19.



Seorang lagi petugas barisan hadapan perubatan yang enggan dikenali berkata, persekitaran hospital telah bertambah baik berbanding ketika wabak mula-mula muncul.

Beliau berkata, peningkatan saringan Covid-19 tidak perlu, dan kerajaan harus memansuhkan kuarantin bagi kontak rapat dan saringan yang sia-sia.

“Satu-satunya cara untuk mengatasi wabak ini adalah berhenti menyebar ketakutan mengenai Covid-19. Buka semua sempadan dan benarkan kita hidup seperti dahulu. Fokus kita sepatutnya lebih kepada menganjurkan gaya hidup sihat, seperti membendung obesiti, yang semakin meningkat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Covid-19 bukan satu-satunya sebab hospital terbeban. Ia juga disebabkan oleh sikap orang ramai yang tidak mengambil berat tentang kesihatan, tambahnya.



“Covid-19 bukan musuh utama kita, tetapi kadar penyakit tidak berjangkit yang membimbangkan dan sikap acuh tak acuh orang ramai terhadap kesihatan … selesema biasa sekalipun boleh membawa kematian bagi pesakit diabetes dan obes,” katanya.

“Wabak ini telah meningkatkan kadar saringan diabetes sehingga 200% dalam masa satu tahun sahaja. Ini membuka mata orang ramai dan disebabkan Covid-19, mereka menjadi lebih peka tentang kesihatan.”


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




PRN Johor: Mahathir Melihat Maszlee Malik Sebagai Menteri Pelajaran Yang Bermasalah

Video beri gambaran impak sekiranya semua senjata nuklear meletup [VIDEO]



PRN Johor: Muhyiddin Menipu Apa Hari Ini?

Hasil Forensik, Polis Dedah Temui Luka Besar Di Paha Tangmo Nida, Calar Di Badan Penumpang Bot



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker