Dinamika kepuakan dalam PKR

 

SEBAGAIMANA nasib kebanyakan parti politik di seluruh dunia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak terelak daripada dilanda pergelutan dalaman dan politik kepuakan. Perpecahan kepemimpinan dalam PKR pada waktu ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya boleh dijejaki sejak 2015 lagi.

Pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal 2015 menyebabkan berlakunya kelompongan kuasa dalam pucuk pimpinan parti itu. Namun keadaan parti itu adalah relatifnya stabil sehinggalah pertengahan 2015 apabila Pakatan Rakyat (PR) dibubarkan, selepas Pas dan DAP membuat keputusan untuk tidak lagi menjalinkan kerjasama politik.



Situasi ini menyebabkan para pemimpin PKR berada dalam keadaan berbelah-bahagi. Satu kelompok diterajui pemimpin nombor dua PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mahukan PKR dan pakatan pembangkang cuba untuk terus cuba berbaik-baik dengan Pas. Satu pihak lagi dalam PKR, khasnya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Rafizi Ramli, melihat kerjasama dengan Pas adalah suatu hal yang sukar dicapai kerana sikap parti itu terhadap DAP – yang merupakan sekutu kuat PKR.

Perbezaan pendirian ini menyebabkan PKR bergerak dengan dua haluan berbeza di bawah pemimpin yang berbeza, tetapi dalam masa yang sama sikap Mohamed Azmin dalam mempertahankan model PR (kerjasama dengan Pas) adalah jelas. Beliau ketika itu adalah Menteri Besar Selangor. Jika model PR tidak dipertahankan, kerajaannya di peringkat negeri akan tergugat dan kurang stabil. Kerajaan PKR Selangor juga difikirkan berisiko untuk tumpas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika perlawanan tiga penjuru dibenarkan. Oleh itu, kem Mohamed Azmin lebih senang jika permuafakatan dengan diteruskan bagi mengekalkan Selangor di bawah penguasaan pembangkang pada ketika itu.

Kem Wan Azizah (dan Rafizi) pula, melihat kesukaran untuk meneruskan kerjasama dengan Pas, membina model gabungan pembangkang yang baharu iaitu Pakatan Harapan (PH) pada lewat 2015. Gabungan parti baharu itu membawa masuk parti serpihan dan kelompok progresif daripada Pas, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah). Hal ini menyebabkan kerajaan negeri Selangor berada di dalam keadaan rumit, yang mana Pas bekerjasama dengan PKR di peringkat negeri dengan Mohamed Azmin, tetapi bersikap dingin dengan PKR Pusat.

Dalam masa sama, kem Mohamed Azmin menjalinkan hubungan baik dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mula kritikal dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sejak lewat 2014. Wan Azizah pula menjarakkan diri daripada tokoh yang pernah memenjarakan Anwar pada lewat 1990-an itu. Hal ini memperkukuhkan lagi kepuakan dalam PKR sehinggalah pada September 2016, apabila Mohamed Azmin membantu Dr. Mahathir berjumpa Anwar bagi memperkukuhkan pakatan pembangkang. Namun begitu, kepuakan dalam PKR berterusan.



Selepas PH memenangi PRU-14 pada Mei 2018, Dr. Mahathir telah meminta Mohamed Azmin untuk menjawat Menteri Ekonomi pentadbiran beliau di Persekutuan. Ini menyebabkan Mohamed Azmin meletak jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor. Hubungan baik Mohamed Azmin dan Dr. Mahathir nampaknya kurang disenangi oleh pihak lain dalam PKR yang mula diterajui semula oleh Anwar selepas dibebaskan dari penjara beberapa hari selepas kejayaan PH ke Putrajaya.

Keadaan ini bertambah buruk apabila Anwar memberi lampu hijau untuk protege beliau, Rafizi mencabar kedudukan Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu pada Oktober 2018. Perlawanan itu cukup sengit dan merosakkan hubungan antara dua kem utama dalam PKR, dengan Mohamed Azmin memenangi perebutan itu berdasarkan majoriti kecil.

Meskipun kepulangan Anwar menguatkan kem beliau bersama Wan Azizah dan Rafizi, tetapi Mohamed Azmin juga mempunyai pengaruh yang besar dalam parti itu dan hubungan strategik dengan Dr. Mahathir serta parti Bersatu. Hal ini memperlihatkan keadaan kuasa yang seimbang di antara kem Anwar dan Mohamed Azmin. Namun keseimbangan itu diganggu dengan beberapa dakwaan kotor (skandal seks) pihak tertentu terhadap Mohamed Azmin lewat ini. Ini menyebabkan ramai memikirkan karier politik Mohamed Azmin akan berakhir.

Saya lihat hal ini (karier politik Mohamed Azmin), sangat bergantung dengan kebenaran dakwaan itu. Jika dakwaan itu disiasat dan Mohamed Azmin disabitkan, maka karier Mohamed Azmin dalam politik akan melalui liku-liku yang mencabar.



Sebaliknya jika tiada dakwaan mahkamah dibuat, Mohamed Azmin dijangka boleh bertahan dalam politik Malaysia sekurang-kurangnya satu dekad lagi meskipun kedudukannya cuba diimbangi oleh Anwar. Mohamed Azmin ialah tokoh lama dalam PKR dan merupakan watak penting parti itu sejak awal penubuhan lagi.

Walaupun ramai penyokong PKR menyayangi Anwar, namun Mohamed Mohamed Azmin dilihat sebagai pengganti semula jadi beliau. Di saat terdapat cubaan untuk menjatuhkan Mohamed Azmin sebagai orang nombor dua parti dalam pemilihan PKR, sesetengah penyokong dan pemimpin PKR setia menyokong Mohamed Azmin walaupun jelas bahawa Rafizi ialah calon yang lebih disukai Anwar.

Kedudukan Mohamed Azmin juga boleh tergugat jika Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri kelak. Namun pengaruh Mohamed Azmin dalam PKR tidak boleh diperlekehkan dan boleh melemahkan parti itu jika Anwar cuba menyekat kedudukan Mohamed Azmin nanti. Mohamed Azmin juga disenangi oleh pemimpin Bersatu, kebarangkalian untuk Mohamed Azmin melompat atau berpakat dengan parti itu turut wujud jika kedudukan beliau dicantas pihak lain.

Oleh itu, meskipun masa depan Mohamed Azmin dalam politik adalah kurang jelas, namun beliau mempunyai beberapa pilihan untuk kekal relevan dalam arena ini, melainkan beliau disabitkan dengan skandal itu – yang nampaknya sukar untuk berlaku (less likely) buat masa ini.



DR. MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR ialah Pensyarah Kanan, Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker