Hajar aswad, kenapa umat Islam diharamkan menciumnya?

Sunat hukumnya mencium hajar aswad namun boleh jadi haram jika mendatangkan mudarat.

Hajar aswad, kenapa umat Islam diharamkan menciumnya?

Hajar aswad adalah batu yang terletak di salah satu sudut Kaabah, tepatnya disebelah tenggara atau sebelah kiri Multazam. Batu ini berbentuk seperti telur dengan warna hitam kemerah-merahan. Di dalamnya terdapat titik-titik merah bercampur kuning sebanyak 30 buah dan dibingkaikan dengan perak setebal 10 cm. Orang pertama yang membingkaikannya ialah Abdullah bin Zubair r.a. iaitu salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. setelah terjadi kebakaran pada Kaabah.

Sebagaimana yang dikisahkan dalam riwayat, batu ini merupakan batu terakhir yang digunakan Nabi Ibrahim a.s untuk menyempurnakan bangunan Kaabah. Menurut Imam at-Thabari, ketika nabi Ibrahim a.s. dalam fasa akhir menyempurnakan Kaabah, di dapati ada satu bahagian yang kurang, lalu Baginda menyuruh anaknya Ismail a.s. mencari dan mendapatkan sebongkah batu bagi mengisi ruangan kosong tersebut.



Akan tetapi sekembalinya Ismail dengan sebongkah batu, didapati ruangan kosong pada bangunan Kaabah itu telah pun diletakkan sebuah batu hitam oleh ayahnya. Lalu dia bertanya,

“Wahai ayah! Dari manakah engkau mendapatkan batu ini?”

Nabi Ibrahim a.s. menjawab,

“Yang membawa batu ini adalah dia yang tidak dapat menunggumu, iaitu Jibril. Ia membawakan dari langit”



Hajar aswad bukanlah batu yang berasal dari bumi tetapi ia diturunkan dari syurga yang dibawa oleh malaikat Jibril. Keterangan ini bersandarkan kepada riwayat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan,

“Hajar aswad adalah batu dari batu-batuan syurga” (HR Tirmizi)

Dalam riwayat lain dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Hajar aswad turun dari syurga berwarna lebih putih dari susu lalu berubah warnanya menjadi kehitaman akibat dosa-dosa dari Bani Adam” (HR Tirmizi)



Adapun ketika ini setiap kali umat Islam menziarahi Baitullah sama ada melaksanakan ibadah umrah atau haji, pasti mereka berkeinginan untuk mencium hajar aswad. Perbuatan ini bukanlah sebahagian dari rukun haji atau umrah, akan tetapi ia hanyalah sunat sahaja kerana mengikuti apa yang pernah dilakukan oleh Baginda s.a.w. suatu ketika dahulu.

Menurut Aisyah r.ha, bahawa pertama kali dilakukan Baginda s.a.w. ketika di Mekah adalah berwuduk kemudian melakukan ibadah tawaf (HR Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain dari Jabir bin Abdullah r.a. tentang ibadah haji, disebutkan bahawa ketika sampai di Kaabah Nabi s.a.w. mengusap hajar aswad lalu berlari-lari kecil tiga putaran dan berjalan empat putaran. (HR Muslim).

Syukur aku tak jual agama demi konten – Ben Amir



Hanya sunnah bukan wajib

Perbuatan mencium hajar aswad ini turut dilakukan oleh para sahabat antaranya saidina Umar al-Khattab r.a. yang mengatakan ketika mencium hajar aswad,

“Sesungguhnya aku tahu bahawa kamu itu hanya sebongkah batu yang tidak boleh mendatangkan manfaat juga tidak boleh mendatangkan mudarat. Jika bukan kerana aku melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, maka aku tidak akan menciummu” (HR Bukhari dan Muslim)



Menurut Ibnu Jarir at-Thabari, Umar al-Khattab mengucapkan perkataan ini kerana manusia ketika itu belum lama meninggalkan peribadatan mereka terhadap berhala-berhala. Umar r.a. khuatir orang-orang bodoh mengira bahawa mengusap hajar aswad merupakan satu bentuk pemuliaan terhadap sebahagian batu sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Arab pada masa jahiliyah.

Umar r.a. hanya ingin memberitahu manusia bahawa mengusap atau mencium hajar aswad hanyalah kerana mengikut sunnah Nabi s.a.w. bukan kerana batu itu memberi manfaat atau mendatangkan bahaya sebagaimana keyakinan orang-orang Arab terhadap berhala-berhala mereka.

Jelas bahawa perbuatan mengusap atau mencium hajar aswad bukanlah wajib, hanya sunnah sahaja, buat dapat pahala dan tidak buat bukanlah berdosa. Akan tetapi pada hari ini umat Islam seolah gagal memahami apa yang ingin disampaikan oleh Umar r.a. sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mencapai hasrat melakukan ibadah ini.

Malah tular baru-baru ini di aplikasi Tik Tok sebuah video memaparkan seorang pempengaruh yang juga ahli perniagaan sanggup bersusah payah dan bersesak-sesak mengharung lautan manusia bersama isteri sehingga terdedah sebahagian tubuhnya hanya semata-mata untuk mencium hajar aswad.



Video ini mendapat kecaman dari warga maya kerana tindakan pempengaruh tersebut dilihat nekad sanggup merisikokan diri dan ahli keluarganya semata-mata hanya untuk mencium batu hitam itu yang hanya dihukumkan sunat dan bukan wajib. Kelihatan juga beberapa jemaah wanita termasuk isterinya sukar bernafas selepas bertolak-tolak dengan jemaah yang lain.

Jika menyebabkan masalah, kesihatan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, maka hukum mencium hajar aswad boleh menjadi haram.

Rata-rata warga maya turut mempersoalkan tindakannya yang merakam aksi tersebut dan memuat naik di media sosial seolah-olah itu hanyalah demi untuk meraih tontonan yang tinggi di platform media sosial dan tidak pula menghormati rumah Allah sedangkan ketika itu juga dia sedang melakukan ibadah yang wajib.

Rentetan dari isu ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkongsi dalam facebooknya menyatakan, tawaf merupakan satu ibadah sebagaimana mencium hajar aswad. Akan tetapi kedua ibadah ini berbeza di mana tawaf itu wajib sedangkan mencium hajar aswad hanyalah sunat.

Malah di sisi ulama Syafi’iyyah hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf lengang. Sekiranya sampai menyebabkan masalah, kesihatan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, maka hukum mencium hajar aswad boleh menjadi haram. Katanya lagi,

“Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari”

Mantan Menteri Hal Ehwal Agama ini juga turut menyatakan bahawa agak janggal apabila ibadah yang suci dan mulia ini dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya.

“Saya melihat perkembangan mutakhir ini, ramai yang memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial. Jika itu hanya sekadar “trend” (amalan kebiasaan) untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” tersebut yang merugikan.

“Sewajarnya di hadapan Baitullah kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah termasuk doa-doa kepada Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta “content”

Datuk Zulkipli menutup kenyataannya dengan berkongsikan firman Allah dalam surah al-An’am: 162 berbunyi,

“Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam” Utv

Hajar aswad, kenapa umat Islam diharamkan menciumnya?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Anggota APM kongsi detik misteri apabila ular sawa ditangkap mengilai

Ramai setuju kedai makan perlu laksana sistem ‘bayar dulu’

Ahli MKT UMNO sokong Presiden MCA berhubung isu SST, mahu kerajaan beri berita gembira

Anak golongan T20, Che Ta nafi keluar kenyataan riak

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker