Mokhzani digelar pemain piano ‘campak’

Mokhzani digelar pemain piano ‘campak’

Pengarah Muzik yang juga pemimpin Orkestra Radio Televisyen Malaysia (ORTM), Datuk Mokhzani Ismail, 62, pernah digelar pemain piano campak oleh Allahyarhamah Adibah Noor.

Ini kerana apa sahaja lagu yang ‘dicampak’ kepadanya boleh dibawakan dengan baik.



Mokhzani bukan sahaja menghayun ‘baton’ memimpin orkestra RTM, malah turut mengiringi bakat muda di Kampung Sijangkang, Selangor.

Dibesarkan dalam keluarga pendidik, Mokhzani mahu memperkasakan muzik tradisional dengan gubahan lagu Melayu lebih moden supaya dapat diangkat di persada dunia.

Hari ini, Mokhzani bukan sekadar bergelar Pengarah Muzik dan memimpin orkestra serta Bahagian Muzik RTM, tetapi turut menjadi pakar rujukan pelbagai perkara berkaitan muzik.

Mokhzani bersara wajib pada 2021, namun kini berkhidmat secara kontrak sebagai Pengarah Muzik RTM untuk sesi 2022-2024.



Itulah bakat dimiliki Mokhzani, anak jati Perlis yang dilahirkan pada 22 Februari 1962 ini.

Mokhzani berkata, gelaran pemain piano campak diberikan kepadanya selepas sering mengiringi persembahan Allahyarham Adibah.

“Saya sering mengiringi persembahan arwah sampai digelar pemain piano campak.

“Arwah selalu beritahu penonton, ini pemain piano campak, campaklah apa sahaja lagu dengan key berbeza.



“Beliau suka buat permintaan secara spontan atas pentas, jadi saya tunaikan permintaannya,” katanya.

Mokhzani berkata, dia juga sering dikelilingi rakan-rakan ketika menuntut di Maktab Perguruan Ilmu Khas (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas) dalam ketika usia remaja.

“Setiap hari rakan-rakan akan mengelilingi saya minta pelbagai lagu, daripada genre tradisional hingga jazz.

“Saya boleh mainkan lagu tanpa perlu membaca nota, itu mungkin kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada saya,” katanya.



Memulakan kerjaya sebagai guru antara 1982 hingga 1986 selepas tamat latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas pada 1981, sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Berklee College of Music, Boston, Amerika Syarikat untuk mendalami bidang muzik persembahan jazz dan penggubahan.

Katanya, dia bermula perjalanan baharu di RTM pada 1991 selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat.

“Pada 1993 buat julung kali saya diberi tugasan memimpin Orkestra RTM di Konsert Senada Seirama dari Medan, Indonesia.

“Saya menjadi pengurus orkestra dan mengetuai Jazz Band RTM ke Thailand International Jazz Fest dan bertemu bintang antarabangsa, Sergio Mendes, Dave Valentine, Benny Carter, David Sanborn dan ramai lagi pemuzik handalan,” katanya.



Beliau berkata, dia dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM pada 1999 dalam usia 37 tahun dan pada tahun sama, Perlis menganugerahkan darjah kebesaran Datuk Panglima Putra Jamallulail (DPPJ) membawa gelaran Datuk.

“Pada 1999, Kerajaan Persekutuan turut mengurniakan bintang Kesatria Setia Mahkota (KSM) dan pada 2003, rezeki saya terima anugerah Datuk dari Kerajaan Pahang.

“Saya sekali lagi dikurniakan anugerah Datuk dari Kerajaan Perlis pada 2016 dan terakhir pada 2021, sebelum bersara. Saya terima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Katanya, dia sempat bekerjasama mengadakan persembahan secara maya bersama artis Singapura dan Indonesia termasuk Datuk Shake di Paris, Perancis ketika fasa pandemik COVID-19.



“Saya juga mencipta dan menggubah lagu petugas barisan hadapan berjudul Satukan Jiwa, selain melakar sejarah menggabungkan tiga orkestra iaitu ORTM, Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dan National Symphony Orchestra (NSO) untuk lagu tema Hari Kebangsaan berjudul Malaysia Prihatin,” katanya.

Kini, Mokhzani memegang tanggungjawab sebagai Profesor Adjung Universiti Malaya dan sedang giat melatih pelapis generasi baharu menerajui industri muzik, selain bergelar pensyarah dan mengadakan masterclass di institusi pengajian tinggi.

Dengan pengalaman hebat, Mokhzani masih aktif membuat persembahan piano jazz, selain turut menjadi ketua juri dalam pelbagai anugerah utama.

Terbaharu, Mokhzani menyiapkan program baharu, The Big Band Project yang bakal dihoskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, tidak lama lagi

Katanya, Big Band Project 2024 sudah bermula dengan penerbitan album yang memuatkan 10 lagu dirakamkan di studio orkestra baharu di Angkasapuri Kota Media dengan menampilkan Suhaimi dan Ida Mariana menerusi lagu Sesaat Kau Hadir.

“Album sulung ini menggabungkan genre jazz Melayu dan Inggeris.

“Besar harapan saya supaya The Big Band Project dapat mengadakan persembahan di Eropah seperti North Sea Jazz Festival dan lain-lain.

“Selain itu, The Big Band Project bakal menjadi inspirasi kepada generasi muda yang ingin menjadikan kerjaya muzik lebih mantap dan matang,” katanya.

Menyorot perjalanan muziknya, banyak konsert dikendalikan sejak 2006 termasuk memimpin Malaysia Philharmonic Orchestra untuk Konsert World Tour pemain trumpet jazz, Chris Botti di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Mokhzani juga bertanggungjawab menghidupkan semula RTM Big Band pada 2010 yang menyaksikan kumpulan itu beraksi di peringkat antarabangsa di Java Jazz Festival pada 2010, 2012 dan 2015.

Beliau turut diberi peluang menjelajah untuk Masterclass dan Konsert Hagspiel di Liuzhou, Shenzen, Guangzhou, Zhongshan, Shanghai, Beijing, Hebei, Tianjin dan Inner Mongolia antara 2015 sehingga 2018.

Lebih membanggakan, Mokhzani mendapat dua pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai pemuzik pertama mengadakan persembahan langsung dari Tembok Besar China. BH

Mokhzani digelar pemain piano ‘campak’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

30 ekor gajah datang berkunjung

Johan gosok baju saya – Ozlynn

Bekain pemain Arsenal Podolski kini jutawan kebab, ais krim

Umpama kembar ‘Ronaldo’ jadi perhatian ramai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker