PRN Johor: Rundingan PH dengan Pejuang & Warisan gagal, Amanah boleh jawab!

SKUDAI: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub ditugaskan untuk mengetuai perbincangan dengan parti pembangkang lain seperti Pejuang dan Warisan untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor walaupun ia terbukti tidak berjaya.

Dalam sidang media di sini, hari ini, Lim berkata, Salahuddin adalah antara pemimpin utama yang ditugaskan untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti tersebut.

“Jadi Salahuddin, antara pemimpin lain, adalah konduit untuk berkomunikasi dengan parti-parti ini sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH).



“Namun nampaknya ia tidak membuahkan hasil,” katanya.

Apabila ditanya mengapa rundingan tidak berjaya, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, soalan itu perlu diajukan kepada Salahuddin.

Pejuang sebelum ini mengumumkan akan bertanding solo di 42 kerusi, manakala Warisan hari ini mendedahkan calonnya untuk enam kerusi. Kedua-dua parti itu akan bertembung dengan PH di beberapa kawasan.

Lim berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan ini bermakna sesiapa sahaja berhak bertanding, walaupun mengakui wujud kebimbangan penyertaan berbilang parti pembangkang di kerusi yang sama akan memecahkan undi mereka dan menguntungkan pihak lawan.



“Walaupun (Warisan) berasal dari Sabah, mereka rakyat Malaysia, jadi mereka boleh datang ke Semenanjung untuk bertanding,” katanya.

“Kami serah kepada rakyat Johor untuk memutuskan sama ada parti itu berbaloi disokong dan jika mereka secara konsisten memperjuangkan hak (pengundi) atau mereka hanya datang semasa pilihan raya.

“Biar rakyat lihat sama ada ini untuk menguatkan pembangkang atau Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).”

Jangan politikkan pendidikan, Lim beritahu Najib



Lim juga membidas Najib Razak atas lawatannya baru-baru ini ke Sekolah Menengah Foon Yew di Johor Bahru dengan memberitahu bekas Perdana Menteri itu agar tidak mempolitikkan pendidikan atau cuba memancing undi di sekolah.

Beliau berkata, PH boleh sahaja membangga-banggakan apa yang dilakukannya untuk sekolah di seluruh negara semasa menguasai Putrajaya, tetapi ia tidak berbuat demikian kerana langkah itu tidak beretika.

“Pendidikan dan politik mesti dipisahkan. Apa sahaja yang dilakukannya untuk sekolah adalah tanggungjawabnya sebagai Menteri Pendidikan pada masa itu,” kata Lim.

Beliau menegaskan bahawa sekolah adalah tempat pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran, selain menambah, sektor pendidikan perlu didemokrasi dan direformasikan.



Najib mengunjungi sekolah menengah itu semalam, dengan jawatankuasa pengurusan sekolah membawanya melawat sekitar premis itu.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata, enrolmen ke sekolah vernakular Cina harus dihormati kerana ibu bapa mempunyai hak untuk memilih jenis pendidikan yang mereka mahukan untuk anak-anak.

PRN Johor: Rundingan PH dengan Pejuang & Warisan gagal, Amanah boleh jawab!


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19

Dakwaan petunjuk baharu MH370



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker