Pengalaman Puad mampu menang DUN Rengit

SHAH ALAM – Penampilan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan dianggap masih relevan dan mampu memberi saingan kepada pihak lawan.

Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit menggantikan penyandang, Ayub Jamil yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

Dianggap tokoh politik yang lantang menentang musuh-musuh UMNO, penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, Mohd Puad dijangka berpeluang untuk menang di DUN Rengit yang mempunyai ramai pengundi Melayu.



“Berdasarkan pengalaman dan kelayakan beliau dijangka boleh menang, paling tidak kemungkinan menang tipis itu ada berikutan banyak parti bertanding, UMNO dilihat akan menjadi pilihan selain faktor DUN Rengit mempunyai ramai pengundi dan penyokong tetap UMNO,” ujar Ahmad Atory kepada Sinar Premium pada Khamis.

Mengimbas secara ringkas perjalanan politik Mohd Puad, beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Pahat setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008.

Bagaimanapun pada PRU13 pada tahun 2013, Mohd Puad tewas di tangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Mohd Idris Jusi.

Seterusnya pada PRU14 pada 2018, nama Mohd Puad tidak terpilih sebagai calon UMNO di Batu Pahat sebaliknya peluang diberikan kepada Ketua Wanita UMNO Batu Pahat, Haliza Abdullah yang akhirnya tewas kepada calon PKR.



Menurut Ahmad Atory, karakter dan perjuangan Mohd Puad dikenali bukan sahaja kawan tetapi juga lawan, namun beliau tidak menolak pelbagai kemungkinan yang terjadi pada hari pengundian kelak.

Ahmad Atory
Ahmad Atory

“Dibimbangi peratusan mengundi mungkin berkurangan sekiranya pengundi luar Johor tidak pulang mengundi. Selain itu, faktor Covid-19 juga boleh menjejaskan jumlah pengundi yang keluar mengundi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Atory turut berpendapat, Mohd Puad berpotensi cerah untuk dicalonkan sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO pada pemilihan terdekat ini memandangkan prinsip parti yang dipegang teguh olehnya.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib, berbekal pengalaman luas dan rekod prestasi baik di Johor sedikit sebanyak pasti memberi kelebihan buat bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu.



“Bukti Mohd Puad mempunyai rekod prestasi yang baik adalah apabila ramai pengundi kawasan Batu Pahat termasuk komuniti Cina meminta maaf kepada Mohd Puad kerana anak-anak mereka yang kebanyakannya bekerja di Singapura menyebabkan kekalahan beliau pada PRU13 dengan beza lebih 1,000 undi kepada parti lawan.

“Anak-anak mereka tiada kefahaman dan sentimen sentimental terhadap sumbangan Mohd Puad di kawasan tersebut berbanding ibu bapa mereka,” ujar Kartini.

Katanya lagi, Mohd Puad turut mempunyai peluang untuk menang pada saingan PRN Johor kerana beliau dilihat mempunyai kematangan dan kaedah analisis yang berbeza dalam mendekati dan membantu masyarakat.

“Diharapkan kelebihan ini akan dapat membantu beliau namun soal menang atau tidak hanya akan terjawab melalui undi oleh penduduk kawasan Rengit yang mengetahui rekod prestasi beliau,” ujarnya lagi.



Menurut Kartini, dengan penamaan 30 peratus calon muka baharu dan 70 peratus muka lama memberi keseimbangan kepada kekuatan UMNO/BN di Johor, ditambah faktor kem parti itu pastinya telah menilai sambutan kawasan setempat terhadap calon-calon yang akan bertanding.

PRN Johor: Pengalaman Puad mampu menang DUN Rengit

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19



Dakwaan petunjuk baharu MH370



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker