Juara dunia tumbang ditangan Lee Zii Jia

Lee Zii Jia mengetepikan penyandang juara dunia Loh Kean Yew, dan memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, menentang Singapura.

Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia mengetepikan penyandang juara dunia Loh Kean Yew, dan memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, menentang Singapura.

Zii Jia, 23, berada pada prestasi terbaik untuk membalas dendam terhadap musuh zaman kanak-kanaknya itu, dengan mudah menang 21-6, 21-14 pada masa hanya 30 minit, dengan sokongan padu daripada 200 penyokong tuan rumah pada perlawanan Kumpulan B di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Kemenangan ke atas pemain nombor 12 dunia itu, menjadi perangsang untuk meningkatkan keyakinan buat Zii Jia selepas terpaksa berhadapan prestasi tidak konsisten sepanjang tahun lepas, yang akhirnya membawa kepada kontroversi keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini.

“Saya cuba untuk beri fokus, lebih tenang dan tidak menggunakan emosi sewaktu bermain macam tahun lepas. Saya rasa seluruh rakyat Malaysia juga menantikan perlawanan hari ini dan saya gembira apabila menang.



“Sasaran tahun ini adalah untuk menstabilkan prestasi saya, perlawanan ini mungkin satu daripada cara untuk menstabilkan emosi, saya cubalah apa-apa cara yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Menerusi kemenangan hari ini, Zii Jia kini telah memenangi tiga daripada lima perlawanan menentang atlet kelahiran Pulau Pinang, Kean Yew.

Zii Jia menewaskan Kean Yew pada Cabaran Antarabangsa Smiling Fish 2016 dan Terbuka China Fuzhou 2019, tetapi gagal mengatasi pemain berusia 24 tahun itu pada Terbuka Perancis 2021 dan peringkat akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman, apabila beliau terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Ditanya mengenai kemungkinan menentang Kazakhstan esok, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berkata terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan sama ada akan menurunkannya atau memberi peluang kepada pemain muda, bagaimanapun beliau sentiasa bersedia untuk bermain demi negara pada bila-bila masa.



Sementara itu, Kean Yew yang hanya beraksi pada kejohanan kedua selepas muncul juara pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol Disember tahun lepas, mengakui beliau tidak berada pada tahap terbaik hari ini.

“Zii Jia bermain dengan sangat baik…saya rasa setiap kejohanan akan berbeza, prestasi beliau sangat bagus hari ini. Saya masih perlu mengatasi apa sahaja dan belajar daripadanya,” katanya sambil berharap rakan sepasukannya dapat beraksi lebih baik untuk membawa Singapura ke separuh akhir.

Ketika ditanya sama ada kuarantin lima hari setibanya di Malaysia menjejaskan prestasinya, beliau berkata: “Pastinya ia pengalaman berbeza, pengalaman pertama, saya ingin lihat bagaimana aksi selepas kuarantin, jadi inilah prestasi saya selepas kuarantin, saya boleh belajar daripada pengalaman ini”.

Kean Yew yang mengakui tidak menjangka menjuarai Kejohanan Dunia berkata matlamat jangka panjangnya adalah ingin merangkul pingat emas Olimpik.



– Bernama

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




SPRM tahan pengarah jabatan lulus tiket penerbangan anak isteri

Khemah kenduri kahwin halang pintu rumah jiran



Twin Jets Resort Berkonsepkan Kapal Terbang Bakal Dibuka Tak Lama Lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker