WhatsApp, WeChat diguna jerat remaja, kanak-kanak dengan interaksi seks

WhatsApp, WeChat diguna jerat remaja, kanak-kanak dengan interaksi seks

Aplikasi sembang, WhatsApp dan WeChat menjadi platform media sosial yang paling banyak digunakan dalam eksploitasi seksual membabitkan mangsa daripada kalangan kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun di negara ini.

Rekod Bukit Aman menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada 1,160 keseluruhan kes seksual di negara ini yang dilaporkan kepada polis sejak 2017, membabitkan penggunaan platform berkenaan.

Berdasarkan statistik Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman setakat 18 September lalu, sebanyak 354 kes seksual membabitkan mangsa bawah 18 tahun mempunyai kaitan dengan penggunaan aplikasi WhatsApp.

Sebanyak 322 kes lagi berpunca daripada interaksi dalam aplikasi Wechat, manakala Instagram menjadi punca bagi 158 kes dan 124 lagi melalui penggunaan Facebook (FB).

Mengulas perkara itu, Penolong Pengarah D11, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata sekiranya tidak dibendung dari awal, lebih ramai kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun dikhuatiri dieksploitasi oleh penjenayah siber pada masa akan datang.

“Daripada keseluruhan 1,160 kes seksual direkodkan dalam tempoh itu, jenayah rogol membabitkan mangsa kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun adalah yang paling tinggi, iaitu 860 kes.

“Daripada jumlah 860 kes itu pula, 303 kes berpunca daripada interaksi dalam WeChat, diikuti WhatsApp dengan 261 kes, Instagram babitkan 96 kes dan 87 kes lagi disebabkan interaksi melalui FB,” katanya kepada BH.

Katanya, lebih 10 peratus daripada 1,028 kes rogol dilaporkan tahun lalu juga, yang dipercayai berpunca daripada interaksi dalam laman sosial dan aplikasi sembang, membabitkan mangsa dari kalangan usia berkenaan.

“Dalam tempoh 2021 hingga September, 137 kes rogol yang direkod membabitkan mangsa kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun.

“Secara keseluruhan, kes jenayah seksual dilaporkan dalam tempoh berkenaan adalah 3,165 dan daripada jumlah itu, 236 membabitkan mangsa dari golongan usia terbabit,” katanya.

Selain rogol, Siti Kamsiah berkata, kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun menjadi mangsa jenayah seksual luar tabii dengan enam kes direkodkan tahun lalu, amang seksual fizikal dan bukan fizikal (37), pornografi (13) dan pengantunan (4).

“Mangsa jenayah seksual ini cenderung ketagihan seks atau menjadi pemangsa pula jika tidak diberi rawatan dan pemulihan, terutama dari sudut psikologi.

“Mereka juga boleh hilang jati diri dan nilai budaya kerana tidak memahami perlakuan seksual adalah satu kesalahan dan menganggap ia amalan biasa.

“Justeru, ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak terutama di media sosial,” katanya menambah, kebanyakan pemangsa adalah orang luar yang tidak dikenali berikutan jenayah bermula dalam talian tanpa pelaku dan mangsa saling mengenali.

Katanya, mangsa selalunya tidak menyedari dieksploitasi pada awal perkenalan di alam siber berikutan pelaku biasanya menarik perhatian dengan cara mengambil berat masalah bakal mangsa mereka, mengumpan dengan tutur bicara manis dan pandai memujuk sehingga mangsa terjebak dalam perangkap.

“Mangsa kemudian dijemput berbual, sama ada melalui panggilan telefon atau teks, contohnya melalui WhatsApp dan WeChat.

“Juga diminta melakukan aksi yang cenderung ke arah seksual sehingga mereka terpedaya dan terdorong mengikut segala arahan pelaku, termasuk muat naik gambar bogel diri sendiri kepada pelaku,” katanya.

Apabila sudah terjebak, katanya, pelaku menunjukkan tembelangnya dengan meminta video atau gambar bogel daripada mangsa, sama ada untuk kepuasan sendiri atau mendapatkan keuntungan melalui pasaran gelap siber.

“Mangsa juga akan diugut gambar mereka akan disebar kepada ahli keluarga atau kawan sekiranya permintaan pelaku untuk mendapatkan gambar atau video bogel tidak ditunaikan.

“Atas ketakutan dan malu dengan keterlanjuran mereka, mangsa ada kala terpaksa juga memenuhi permintaan pelaku.

“Akibat kejadian yang berulang ini, mangsa sentiasa diselubungi rasa bersalah dan tertekan hingga trauma. Ia kemudian secara perlahan-lahan mengubah sikap dan perwatakan mereka ke arah kemurungan dan mempunyai kecenderungan untuk bunuh diri,” katanya.

Dalam membantu menangani isu sedemikian, beliau berkata, polis bukan sahaja menjalankan siasatan, tetapi turut menyediakan Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) dan pusat khidmat sokongan mangsa berkonsep mesra kanak-kanak bagi mengurangkan trauma dialami mangsa. BH

WhatsApp, WeChat diguna jerat remaja, kanak-kanak dengan interaksi seks


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Penyanyi Tersohor Negara Datuk Sheila Majid Sambut Menantu Sulung [VIDEO]

Doktor ‘cabut lari’ selepas pelanggan sukar buka rahang

Sanusi serang UMNO setiap hari

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker