Pembedahan bariatrik kurangkan makanan masuk perut



KEGEMUKAN atau obesiti merupakan masalah dihadapi kebanyakan masyarakat kita. Malah, kadar obesiti di Malaysia direkodkan tertinggi di Asia Tenggara.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, statistik menunjukkan 50.1 peratus daripada orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan.

Namun, ada antara masyarakat yang mengambil alternatif bagi mengatasi masalah tersebut dengan melakukan pembedahan bariatrik.

Pakar Perunding Am, Pembedahan Gastrointestinal Atas dan Obesiti, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Azrina Abu Bakar berkata, pembedahan bariatrik pada asalnya dilakukan untuk menurunkan berat badan dengan mengurangkan kemasukan makanan ke dalam perut.

Menurutnya, kemudian para doktor mendapati, selain menurunkan berat badan, pembedahan itu juga dapat mengawal penyakit yang berkait rapat dengan obesiti seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dan sebagainya.




“Maka, lahirlah terma pembedahan metabolik kerana bariatrik mampu mengubah suai elemen metabolik badan pesakit, sekali gus membantu mengawal penyakit seperti yang disebutkan.

“Fungsi sebenar pembedahan bariatrik adalah untuk kesihatan, bukannya kosmetik seperti anggapan sesetengah pihak berikutan bentuk badan pesakit berubah selepas penurunan berat,” jelasnya.

Secara umumnya, pembedahan bariatrik mempunyai elemen-elemen restriktif yang mengehadkan pengambilan makanan, secara tidak langsung mengurangkan pengambilan kalori membolehkan berat badan diturunkan secara terkawal.

Bagaimanapun jelasnya, bagi memastikan proses penurunan berat badan berjaya, ia harus disertai dengan diet yang sesuai dan aktiviti fizikal untuk membakar kalori sedia ada.

Pembedahan bariatrik mempunyai beberapa kaedah termasuk sleeve gastrectomy dan pintasan gastrik.




Sementara itu, kata Dr. Azrina, bagi pesakit yang menjalani prosedur sleeve gastrectomy, pengambilan makanan sangat terhad dan pakar pemakanan akan menyediakan regim khas bagi memastikan pengambilan kalori dan protein yang cukup, terutamanya pada peringkat awal selepas pembedahan.

Tegasnya, sesetengah kesan jangka panjang bergantung kepada jenis pembedahan.

“Terdapat sebahagian pesakit yang tidak sanggup mengikuti regim diet yang disediakan, menyebabkan mereka kekurangan zat makanan dan seterusnya berasa lemah badan.

“Komplikasi jangka panjang berkaitan sleeve gastrectomy seperti masalah refluks dan pengecilan di saluran makanan baharu berbentuk tiub.

“Ini menyebabkan pesakit muntah berulang kali yang memungkinkan mereka memerlukan kaedah pintasan gastrik dibuat bagi mengatasi masalah itu,” jelasnya.




Tambahnya, beberapa komplikasi selepas pembedahan pintasan gastrik timbul seperti pengecilan saluran makanan baharu disebabkan parut pembedahan.

Gambarajah pembedahan bariatrik melalui kaedah pintasan gastrik (kanan).

Ini jelasnya, boleh menyebabkan pesakit muntah, selain mengalami pendarahan ulser di saluran makanan baharu, selain usus tersumbat disebabkan terbelit dan ini memerlukan pembedahan lain.

Dalam pada itu, pesakit harus memahami tujuan menjalani pembedahan bariatrik.

Setelah keputusan dibuat, pesakit harus menjalani penilaian termasuk ujian darah untuk mengesan masalah diabetes dan kolesterol tinggi.

Kaedah gastroendoskopi kemudian digunakan untuk melihat keadaan di dalam perut seperti masalah refluks, hiatus hernia, ulser atau ketumbuhan.




Teknik ultrasound turut digunakan untuk menilai hati dan organ lain seperti adrenal atau ovari bagi wanita.

“Obesiti adalah penyakit melibatkan pelbagai disiplin. Jika pesakit ada diabetes tidak terkawal atau masalah kardiovaskular, mereka dirujuk kepada pakar endokrinologi atau kardiologi.

“Jika pesakit disyaki mempunyai Obstructive sleep apnoea, rujukan kepada pakar telinga hidung dan tekak (ENT) atau respiratori akan dilakukan untuk menilai keperluan penggunaan alat seperti Continuous Positive Airway Pressure (CPAP),” jelas Dr. Azrina.

Tambahnya, ia penting untuk pengurusan pesakit selepas pembedahan sama ada perlu dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau Unit Rawatan Pergantungan Tinggi (HDU).

Setelah penilaian dilakukan, pesakit digalakkan menjalani diet kalori sangat rendah yang mengehadkan pengambilan kalori sebanyak 800kcal sehari selama dua minggu hingga sebulan.

Ini sangat sesuai bagi pesakit yang mempunyai berat berlebihan dan juga membantu bersiap sedia dengan cara pemakanan selepas pembedahan yang akan diatur oleh pakar pemakanan.

Dr. Azrina menegaskan, tiada istilah cepat dan selamat dalam usaha menurunkan berat badan.

Menurutnya, terdapat banyak kaedah untuk menurunkan berat badan sama ada secara pembedahan atau tanpa pembedahan.

“Pokok pangkalnya adalah seseorang harus mempunyai kesedaran kesihatan dan kecekalan untuk menurunkan berat badan yang ideal.

“Setiap prosedur mempunya potensi risiko dan komplikasi tersendiri. Kini terdapat kaedah menurunkan berat badan tanpa melakukan pembedahan seperti memasukkan belon ke dalam perut (intragastric balloon) secara endoskopi atau tidak,” katanya.

Katanya, prosedur seperti ini tidak memerlukan pesakit menghadapi risiko pembedahan, tetapi terdapat risiko-risiko rendah atau kesan-kesan lain yang harus difahami pesakit yang memilih kaedah ini.

Pembedahan bariatrik kurangkan makanan masuk perut


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Shahrol Shiro bakal ambil tindakan undang-undang

Jong-un dirakam berjalan tempang [VIDEO]

Pakar tangkap ular kritikal dipatuk tedung selar [VIDEO]



Leave a Reply

Your email address will not be published.