Zuraida macam tidak wujud dalam Bersatu

Zuraida macam tidak wujud dalam Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman mempertahankan kenyataan beliau membangkitkan isu perbincangan parti mengenai cadangan pemecatan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Jelas beliau, isu itu dibangkitkan parti menerusi mesyuarat MPT baru-baru ini disebabkan Zuraida sekarang seolah-olah sudah tidak wujud dalam Bersatu meskipun Ahli Parlimen Ampang itu merupakan salah seorang ahli MPT dilantik.

Ujarnya, Zuraida juga disahkan tidak hadir dalam mesyuarat ahli MPT lebih daripada tiga kali, satu tindakan yang sepatutnya sudah diberikan surat tunjuk sebab atau tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin Bersatu.

“Saya akui ada memberitahu media mengenai isu status keahlian Zuraida dalam Bersatu dengan perkara itu kemudiannya dibincangkan dalam mesyuarat MPT baru-baru ini.

“Memandangkan tindak-tanduk beliau secara kebelakangan ini amat meragukan termasuk kewujudan bukti bergambar menunjukkan Zuraida mendekatkan diri dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Zuraida sepatutnya memberi penjelasan kepada parti, namun langsung tidak berbuat demikian. Bahkan beliau juga seolah-olah tidak wujud dalam Bersatu apabila sudah tiga kali tidak hadir mesyuarat MPT selain langsung tidak aktif dalam grup komunikasi MPT Bersatu,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pucuk kepimpinan Bersatu ada membincangkan status keahlian Zuraida dalam Bersatu termasuk pertimbangan keputusan memecat beliau dalam satu mesyuarat MPT pada 25 Januari lalu.

Perbincangan itu dibangkitkan susulan Zuraida dan beberapa pimpinan Bersatu yang pro kepada beliau didakwa terlibat dengan PBM.

Satu hantaran daripada bekas Setiausaha Politik Zuraida yang mengaitkan bantuan mangsa banjir disampaikan PBM di Karak, Pahang adalah daripada pihak Zuraida sendiri.

Pada Disember lalu, bekas Setiausaha Politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad mengumumkan keluar dari Bersatu untuk menyertai PBM dan membawa bersama 53,000 ahli Penggerak Komuniti Negara (PKN), sebuah NGO yang dikaitkan dengan Zuraida.

Meskipun acap kali dinafikan Zuraida, desas-desus beliau bersama seorang lagi bekas pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sedang merancang untuk menyertai PBM masih menjadi buah mulut orang sehingga kini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz mencadangkan Lembaga Disiplin Bersatu lebih bertegas dalam menangani isu melibatkan Zuraida dan mana-mana ahli Bersatu lain yang dikaitkan dengan PBM.

Jelas beliau, satu siasatan dalaman atau pemberian surat tunjuk sebab perlu dikemukakan ke atas Zuraida dalam masa terdekat sebagai isyarat Bersatu tegas dalam mendepani isu ahli yang tidak serius menyelami hala tuju perjuangan parti.

“Selain itu, ada juga watak-watak pemimpin sehaluan dengan Zuraida yang masih memegang jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam kementeriannya, sedangkan mereka ini sudah menyertai PBM. Mengapa perkara ini dibiarkan Zuraida?

“Secara peribadi, saya melihat beliau tidak lagi mempunyai sebarang kesetiaan kepada Bersatu dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin (Yassin). Saya berkata ini berdasarkan maklumat dalaman yang saya terima mengenainya,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang sumber pemimpin MPT Bersatu sewaktu dihubungi Sinar Premium mengesahkan isu berkenaan Zuraida sebagaimana dibangkitkan Muhammad Faiz, sememangnya ada dibincangkan dalam mesyuarat parti itu baru-baru ini.

“Saya enggan ulas lanjut. Tetapi apa dijelaskan Muhammad Faiz memang ada kebenarannya.

“Kita serahkan sahaja kepada Lembaga Disiplin dan Biro Politik Bersatu untuk buat pertimbangan terbaik,” katanya. Sinar

Zuraida macam tidak wujud dalam Bersatu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker