Salah mak bapak bagi lampu hijau!

SHAH ALAM- Sejak beberapa tahun lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah menerbitkan beberapa kertas kerja mengenai kadar kematian dan kemalangan motosikal yang tinggi melibatkan remaja dan kanak-kanak.

Dalam satu kertas penyelidikan yang diterbitkan pada 2018 bertajuk ‘Mengenal pasti faktor tingkah laku di kalangan penunggang motosikal muda’, para penyelidik mendapati bahawa ibu bapa di kawasan luar bandar (57.6 peratus) dan bandar (42.4 peratus) tiada masalah untuk membenarkan anak mereka menunggang motosikal saban hari walaupun mereka tidak memiliki lesen menunggang atau di bawah umur.

Kajian Miros itu dijalankan di kawasan yang mencatatkan kadar kematian jalan raya tahunan tertinggi di selatan, timur, utara dan tengah semenanjung.



Seramai 921 pelajar sekolah menengah telah menyertai kajian itu dari umur 15 hingga 18 tahun dari 32 sekolah di Kajang, Kuala Selangor, Kuantan, Rompin, Ipoh, Manjung, Johor Bahru dan Batu Pahat.

Kebanyakan mereka adalah penunggang tidak berlesen (62.4 peratus), dengan kapasiti enjin di bawah 250cc (95.1 peratus) dan mempunyai pengalaman menunggang motosikal ke sekolah (82.4 peratus).

Daripada tinjauan Miros, ia mendedahkan 9 daripada 10 remaja mengaku telah mula menunggang motosikal sebelum mencecah 16 tahun (umur minimum layak menduduki ujian lesen menunggang) dengan 54.5 peratus adalah mereka di bandar kecil atau luar bandar dan 45.4 peratus di bandar dan pinggir bandar.

Kajian itu juga mendedahkan bahawa 26.7 peratus responden mula menaiki motosikal ketika di darjah enam dan diikuti oleh 18.5 peratus responden pada usia 13 tahun.



“Umur tunggangan pertama pada usia enam tahun dan purata tunggangan pertama ialah 12.75 tahun. Sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai pengalaman mendapat saman polis (87.9 peratus) walaupun majoriti daripada mereka pernah menunggang tanpa lesen di jalan raya (89.8 peratus).

“Purata pengalaman menunggang ialah 3.84 tahun dengan minima satu tahun dan maksima 11 tahun,” menurut butiran kajian itu.

Dalam kertas kerja lain yang diterbitkan pada 2011 bertajuk, ‘Tinjauan keseluruhan kecederaan lalu lintas jalan raya dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia dan implikasinya terhadap strategi pencegahan kecederaan lalu lintas jalan raya’, Miros telah mengenal pasti nahas jalan raya sebagai punca utama kemasukan kanak-kanak dan remaja (0–19 tahun) akibat kecederaan ke hospital.

Dapatan kajian menyatakan bahawa bilangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital selama 10 hari dan lebih akibat nahas jalan raya adalah lebih tinggi daripada jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital kerana jenis kecederaan akibat faktor lain.



Dalam Laporan Status Global 2018 mengenai Keselamatan Jalan Raya, pengarah Penentu Sosial Kesihatan WHO, Dr Etienne Krug, mengaitkan peningkatan dalam kelajuan purata dan penjagaan selepas nahas yang tidak memuaskan sebagai antara faktor yang menjadikan kecederaan lalu lintas sebagai pembunuh nombor satu global untuk golongan berumur lima hingga 29 tahun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menganggarkan 3,000 kanak-kanak dan orang muda terbunuh di antara 3,700 nyawa yang terkorban secara keseluruhan pada setiap hari atau 1.35 juta setiap tahun di seluruh dunia.

Dianggarkan 50 juta lagi kanak-kanak cedera parah dalam nahas jalan raya setiap tahun, dengan kebanyakan dari mereka lumpuh atau cedera kekal.

Salah mak bapak bagi lampu hijau!




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Netizen Tells Mahadi: “Next Time You Can Record Heliza Helping You With Your Undies”



Bumbung pakir Pasaraya Giant diterbangkan ribut [VIDEO]

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker